Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Saturday, August 1, 2009

ISA: Mansuh, pinda atau gubal akta baru?


AKTA Keselamatan Dalam Negeri atau ISA adalah undang-undang yang sering dijadikan polemik, dipertikai dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang mencari sokongan secara murahan.

Mereka mengeksploitasikan ISA untuk menyerang kredibiliti pemerintah kerana undang-undang ini mudah untuk membakar emosi rakyat jika disorot secara cetek dan hanya sepintas lalu.

Kritikan dan kecaman terhadap ISA selalunya diperkukuhkan dengan penggunaan konsep-konsep asing seperti hak-hak asasi manusia sejagat dan demokrasi liberal.

Saya pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali. Pertama selama dua tahun (1974-1976) kerana terlibat dalam demonstrasi Baling. Kedua, selama 60 hari akibat demonstrasi ketuanan Melayu di Kuala Lumpur pada 1978.

Tetapi saya tidak pernah menentang ISA. Saya yakin undang-undang ini perlu dan penting. Ia bersifat preventif atau pencegahan dan bukannya kuku besi.

ISA hanya dikenakan ke atas individu untuk mencegah mereka daripada bertindak menjejaskan ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Sewaktu berucap di Dewan Rakyat atau di majlis-majlis umum, saya sentiasa menegaskan ISA adalah penting dan perlu kepada Malaysia yang majmuk penduduknya. Saya juga sering nyatakan, ISA wajar dipinda dan diperbaiki.

Bukannya dimansuhkan sama sekali seperti desakan sesetengah pihak.

Ini kerana undang-undang yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan itu sangat penting untuk mencegah kegiatan subversif dan terorisme.

ISA berbeza dengan Kanun Keseksaan. ISA bertujuan mencegah sesuatu jenayah keganasan. Kanun Keseksaan pula untuk menghukum individu setelah berlakunya jenayah.

Jika tahanan ISA dibicarakan di mahkamah, tentunya pendakwaan akan gagal kerana tidak dapat memenuhi elemen-elemen pembuktian kes jenayah iaitu mens rea dan actus reus.

Mens rea merujuk kepada niat seseorang, sama ada dia memang berhasrat untuk melakukan sesuatu jenayah atau sebaliknya. Sementara actus reus pula merujuk kepada tindakan sebenar penjenayah tersebut.

Contohnya, sekumpulan individu ditahan di bawah ISA kerana merancang untuk mengebom sebuah bangunan awam di negara ini. Mereka dihadapkan ke mahkamah. Tetapi, bolehkah mahkamah menjatuhkan hukuman apabila serangan belum berlaku dan tiada siapapun yang tercedera?

Dalam kes seperti ini elemen mens rea mungkin boleh dibuktikan. Tetapi, elemen actus reus pastinya gagal untuk dibuktikan.

Oleh itu, jika tahanan ISA dibicarakan di mahkamah, tentu tahanan itu akan dibebaskan. Apabila bebas, individu terbabit dengan mudahnya akan merancang tindakan lain untuk mengancam keselamatan negara.

Saya berpendapat kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri dalam mengenakan tahanan ISA perlu dimansuh dan digantikan dengan kuasa sebuah badan bebas. Badan ini mungkin boleh dinamakan sebagai Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKDN).

Panel yang menganggotai MKDN pula termasuklah Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Pengerusi Suhakam.

Pengerusi MKDN pula wajar dilantik daripada kalangan bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang berwibawa.

MKDN juga perlu diletakkan di bawah Parlimen supaya tindakannya dilaporkan terus kepada Parlimen Malaysia.

Ini kerana ISA adalah undang-undang yang digubal dengan kuasa khas Parlimen menerusi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Sebab itulah Parlimen berkuasa menggubal dan meminda ISA dengan menafikan hak-hak individu dalam Perlembagaan Persekutuan.

ISA boleh digubal dan dipinda dengan mengenepikan Perkara 5 mengenai kebebasan individu; Perkara 9 mengenai kebebasan bergerak; Perkara 10 mengenai kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan serta Perkara 13 mengenai kebebasan pemilikan harta. Ini bermakna ISA adalah undang-undang yang tujuannya adalah digariskan sendiri oleh Perlembagaan. Oleh sebab itulah pelaksanaan ISA perlu dipantau oleh Parlimen.

Saya yakin cadangan-cadangan ini boleh menjadikan ISA semakin telus, pemerintah tidak akan menyalahgunakannya sementara pihak-pihak tertentu pula tidak akan mengeksploitasikannya.

Perkasa di bawah pimpinan saya akan mewujudkan sebuah panel khusus untuk mengkaji beberapa peruntukan dalam ISA yang wajar dipinda demi kebaikan semua pihak.

Cadangan-cadangan Perkasa akan dikemukakan kepada kerajaan. Inilah sebaik-baik cara jika kita ikhlas dan bukannya menggunakan ISA untuk matlamat yang sempit.

Saya juga menyokong pendapat Datuk Ruhanie Ahmad dalam Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa ISA penting untuk keselamatan pribumi, keselamatan etnik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi.

Ini bermakna, ia adalah undang-undang yang diperlukan oleh sesiapa sahaja yang memerintah Malaysia kerana negara ini adalah majmuk dan sentiasa berdepan dengan masalah etnik dan agama.

ISA juga diperlukan untuk mempertahankan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Undangundang ini mencegah tindakan menukar sistem pemerintahan negara secara tidak demokratik.

Di samping itu, ISA diperlukan untuk mencegah masalah keselamatan bukan tradisional seperti perkauman, terorisme, sabotaj, ekstremisme, cauvinisme dan pengkhianatan terhadap negara.

Selama ini ISA dipolemik dan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan sesetengah rakyat terpengaruh kononnya akta itu menindas dan mencanggahi hak-hak asasi manusia.

Persepsi seperti ini menyebabkan sesetengah rakyat gagal memahami falsafah serta matlamat ISA yang sebenarnya digubal untuk menjamin keselamatan negara.

Perkasa tetap berpendirian ISA adalah perlu dan penting kepada Malaysia. ISA tidak akan menjadi masalah jika tidak ada pihakpihak tertentu yang perjuangannya bergantung kepada isu dan kontroversi.

Pada 1 Ogos 2009, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bercadang mengadakan satu perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak pemansuhan ISA.

Apa perlunya perhimpunan itu? Bukankah kerajaan sudah berjanji untuk meminda ISA supaya jadi lebih telus? Atau, mungkinkah perhimpunan ini disengajakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada "kes-kes dan perkembangan tertentu" mutakhir ini?

Jika GMI meneruskan rancangannya, Majlis Gerakan NGO Penyokong Kerajaan (Magaran) pula akan mengadakan satu perhimpunan, juga di Kuala Lumpur, pada hari dan waktu yang sama.

Ini adalah untuk membuktikan kepada umum bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang mahukan ISA dikekalkan, tetapi dengan pindaan-pindaan yang sewajarnya.

Magaran akan meneruskan perhimpunan itu jika GMI tidak membatalkan rancangannya. Dalam perkembangan seperti ini pasti akan berlaku pertembungan yang tidak diingini.

GMI perlu memikirkan implikasi ini. Bayangkanlah apa yang mungkin terjadi jika berlaku pertembungan antara GMI dan Magaran. Kita sangat berharap ketenteraman awam tidak diganggu gugat sekali lagi.

Monday, September 15, 2008

Masjid Kinrara sokong Teresa kena ISA




Pengerusi Masjid Bandar Kinrara, yang menerima petisyen membantah penggunaan pembesar suara untuk beberapa kegiatan agama, bersetuju dengan tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas exco kanan Selangor, Teresa Kok.


Abdul Rahman Nasir berkata, secara umumnya, perkara sensitif membabitkan agama "tidak boleh dimainkan"."Perkara ini tidak boleh dimainkan. Terutama sekali di negeri Selangor ini, bukan saja (berkenaan) agama Islam, tetapi apa agama pun (tidak boleh dimainkan)."


Penahanan Teresa dipercayai mempunyai kaitan dengan petisyen sekumpulan 189 penduduk sekitar Seksyen 5, Bandar Kinrara yang meminta pihak masjid tersebut memperlahankan penggunaan pembesar suara untuk aktiviti keagamaannya.Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Teresa, yang juga ahli parlimen Seputeh.


Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Abdul Rahman bagaimanapun enggan memberikan komen lanjut berkenaan isu itu kerana pihaknya cuma sebagai penerima petisyen dan tidak tahu-menahu tentang perkara lain di sebalik isu itu.Masyarakat Islam setempat pula, menurut Abdul Rahman tidak memberikan sebarang reaksi terhadap penahanan itu dan bertindak seperti biasa."Kita tidak ada apa. Sudah lama dah masjid ini dibina.


Itulah, persoalannya, kenapa sekarang? Kalau tidak puas hati, pindahlah. "Dari dulu lagi waktu hendak beli rumah, pelannya sudah ada, sini masjid, sini taman permainan. Kenapa dulu beli di sini?" katanya.Selain Teresa, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng turut ditahan di bawah akta kontroversi itu, Jumaat lalu.Tan bagaimanapun dibebaskan sehari selepas itu.

Sunday, September 14, 2008

Teresa Kok di tahan ISA atas isu tulisan jawi







Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pukul 11.20 malam ini. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan penahanan itu di bawah Seksyen 73 (1) akta berkenaan.Masih belum ada pengesahan yang jitu berhubung dengan penahan Teresa Kok berbanding dua lagi atas Isu Datuk Ahmad Said dan Laman kontroversi RPK.Adakah Teresa Kok di tahan kerana isu Tulisan jawi? Kalau ya isu ini sudah lama, bulan Ogos lalu kenapa sekarang baru bertindak!




(Gambar: Teresa yang anti Tulisan jawi)
Teresa Kok mengepalai satu petisyen penduduk di Puchong kepada Datuk Satim Diman (ADUN Seri Kembangan) mencadangkan agar azan diperlahankan kerana didakwa menggangu ketenteraman penduduk. Ianya sama seperti cadangan Tan Seng Giaw (Ahli Parlimen Kepong) dalam parlimen pada tahun lepas. Di manakah Hassan Ali (Exco dari PAS) dalam hal ini? Bukankah tindakan itu jelas jelas menentang Islam?