Saturday, January 29, 2011

Penyakit Sakit Jiwa Suami Calon Pas Bahayakan Orang Awam

LABIS 29 Jan - “Orang yang mengalami kemurungan atau tekanan, kebiasannya wajah mereka tidak ceria, tetapi berbeza dengan Maarof (Abdul Mutalib), dia kelihatan begitu ceria membantu isterinya berkempen dan mampu tersenyum lebar ketika bertemu orang ramai.

“Biasanya mereka yang mengalami penyakit seperti itu tidak mahu bertemu orang ramai, penyakit ini biasanya berpunca daripada masalah tekanan perasaan atau jiwa dan suka memencilkan diri kerana tidak mahu bertemu dengan orang ramai,” kata Datuk Hamidah Osman, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia.

Hamidah berkata, dari apa yang dilihat pada gambar yang disiarkan, raut wajah Maarof tidak seperti mereka yang mengalami masalah atau tekanan jiwa, malah dia nampak begitu ceria dan bersemangat membantu isterinya, Normala Sudirman, calon Pas pilihan raya kecil DUN Tenang, 30 Januari nanti.

“Kemurungan ini sebahagian daripada keluarga penyakit sakit jiwa, mereka yang ada penyakit ini sepatutnya duduk di rumah bukannya bertemu orang ramai, pesakit seperti ini boleh melakukan tindakan tanpa diduga kerana hilang kawalan, dia boleh melakukan tindakan di luar dugaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Hatta Ramli yang menyatakan Maarof mengambil cuti sakit yang panjang kerana mengalami masalah sakit jiwa.

Perbuatan Maarof yang mengambil cuti sakit yang panjang tetapi kelihatan sering bersama isterinya berkempen di DUN Tenang sejak dari tarikh pencalonan PRK DUN Tenang menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak bagaimana dia mendapat cuti akit yang panjang dan berkempen em.

Tindakan menggunakan cuti Maarof untuk berkempen di Tenang telah menimbulkan pelbagai pertanyaan di kalangan orang ramai kerana penyalahan guna cuti sakit yang diberi kepadanya.

“Jika benar dia mengalami masalah itu, sepatutnya sudah di rujuk kepada pihak hospital kerana Maarof dilaporkan sakit sehingga dia diberi cuti sakit sehingga 21 hari, sedangkan dia kelihatan berkempen bersama isterinya.

“Kalau sakit kata sakit, jangan gunakan alasan sakit untuk dapat cuti kemudian pergi bantu isteri berkempen, ini suatu penipuan, pihak terbabit perlu menjalankan siasatan bukan sahaja kepada Maarof tetapi kepada mereka yang mengeluarkan cuti sakit itu”, ujarnya.

Sementara itu, Normala kelihatan cuba melindungi suaminya, dengan meminta jawapan mengenai kewajaran cuti sakit suaminya itu daripada pihak yang terbabit dalam pengeluaran sijil cuti sakit.

Hamidah menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan penipuan yang dibuat oleh Pas bukan sahaja membabitkan isu malah turut membuat penipuan mengenai kesihatan diri demi kepentingan politik.

“Benarlah Pas adalah parti penipu, kesihatan diri pun turut dijadikan modal untuk menipu sehingga sanggup mengaku adala masalah kemurungan, kemurungan itu adalah sakit jiwa,” katanya. -MediaUMNO


Bookmark and Share

PRK Tenang: Cikgu Mala tak mesra rakyat. Ibunya pula ahli UMNO

LABIS, 28 JAN – Penduduk di Felda Sekijang hari ini mengakui calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Normala Sudirman bukanlah seseorang yang suka bercampur gaul dengan masyarakat setempat.

Malah mereka turut terkejut melihat Pas memilih Cikgu Mala di Tenang kerana sepanjang pengetahuan mereka, calon Pas yang dijaja di seluruh DUN Tenang itu bukanlah seseorang yang mesra rakyat

Saya terkejut apabila Cikgu Mala diumumkan sebagai calon Pas di sini. Bagaimanakah Pas boleh memilih dan meletakkan beliau sebagai calon mereka untuk bertanding di sini. Apakah Pas tidak selidik terlebih dahulu latar belakang beliau.

“Sikapnya yang tidak bergaul dengan masyarakat setempat dan hanya lebih tertumpu kepada “klik-klik” nya yang tersendiri membayangkan peribadi beliau yang tidak suka bergaul dengan penduduk setempat,” kata Kamsani Kesut, 45.

Beliau yang telah mengenali dan duduk sekampung dengan Cikgu Mala seterusnya memberitahu kemesraan cikgu Mala sepanjang tempoh berkempen sehingga ke hari ini adalah lakonan semata-mata.

“Kemesraan beliau bersama pengundi di sini hanyalah hipokrit dan sekadar lakonan semata-mata. Saya katakan begitu kerana kalau ada kenduri pun di Felcra Sekijang dia tidak akan hadir.

“Kita ni kalau duduk sekampung sekurang-kurangnya kalau ada kenduri dan majlis tertentu, masa itulah kita boleh bergaul dengan jiran tetangga dan sebagainya,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengakui dakwaan yang mengatakan ibunya, Murmini Yahya merupakan seorang penggiat UMNO.

“Pada mesyuarat UMNO Cawangan Felcra Sekijang 2010, ibu beliau hadir pada mesyuarat berkenaan. Ini lagi menimbulkan persoalan kepada saya,” katanya.

Berdasarkan semakan laman web ini, ibu Cikgu Mala memegang nombor keahlian UMNO 0117148.

Sementara itu seorang lagi penduduk yang tinggal sekampung dengan Cikgu Mala, Mohd Rafi Ngadenyn turut mengakui perkara yang sama dan menggesa pengundi di DUN Tenang menolak calon yang hipokrit.

“Macammana nak jadi pemimpin kalau tidak mesra dengan rakyat. Bukti sudah ada depan mata. Saya dah kenal dan tahu selok belok pergaulan keluarga beliau di sana. Jangan gadaikan masa depan penduduk di Tenang ini kepada seseorang yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Kalau di sana pun bersikap sedemikian rupa, apatah lagi di sini. Sikap mesra beliau hari ini itu hanyalah lakonan. Takkan pengundi di sini mahu pilih beliau. Fikirkankah dengan mendalam sebelum buat pilihan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi Ngadenyn, 37 dari kampung Felcra Sekijang meminta pengundi muda khususnya memilih calon anak tempatan, Tok Ai sebagai calon pilihan.

“Kalau saya yang duduk dan sekampung dengan Cikgu Mala serta kenal dengan lebih dekat kehidupan beliau mahu memilih Tok Ai, takkan pengundi di DUN Tenang ini mahu pilih Cikgu Mala lagi.

“Saya tidak mahu burukkan Cikgu Mala tetapi secara peribadi, saya akan pilih Tok Ai untuk dijadikan mata dan telinga demi memastikan kebajikan dan kepentingan penduduk Tenang terbela,” katanya. -MediaUMNO



Bookmark and Share

Tuesday, January 25, 2011

PAS Kelantan: Masjid tak bina, Kedai Arak nak ditambah



18 Januari 2011, Takiyuddin Hassan (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan) telah menyatakan kerajaan PAS Kelantan akan menambah pengeluaran lesen premis minuman arak di Kelantan mengikut keperluan penduduk bukan Islam. Takiyuddin Hassan bercakap demikian dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Hotel Crown Garden di Kota Bharu, Kelantan (baca sini).

Menurut Takiyuddin lagi, setakat ini kerajaan negeri Kelantan telah mengeluarkan 28 lesen premis minuman keras, termasuk di kawasan Jalan Kebun Sultan yang dikenali sebagai “China Town”. Jika dicampur dengan jumlah yang pernah diluluskan Nik Aziz pada 1994, ianya akan menjadi 72 lesen arak kesemuanya (baca sini).

"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan." - kata Nik Aziz dalam Utusan Malaysia, 26 November 1994. Berapa banyak PAS buat masjid di Kelatan berbanding markas PAS? Selang seminggu, Ronnie Liu membenarkan orang Islam bekerja di premis arak, PAS Kelantan pula mengambil langkah untuk membuka lebih banyak premis arak di bandar raya Islam Kota Bharu. Selepas ini PAS Kelantan pula akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan negeri tersebut untuk berbuat pekeliling yang sama seperti Ronnie Liu.

PAS Kelantan sudah amat kemaruk untuk mendapatkan hasil negeri. Hutan di Lojing habis digondol untuk balak, penyelewengan Baazar Tok Guru, derma yang dikutip dari orang ramai dan kini PAS terpaksa mencari sumber dari arak untuk survival mereka. PAS sudah jelas lari dari nama partinya sejak berkawan baik dengan DAP. Mengikut dan meniru apa sahaja jejak langkah yang dibuat DAP untuk menambahkan hasil negeri. Masih layakkah Kota Bharu dipanggil bandaraya Islam?



Bookmark and Share

Monday, January 24, 2011

MCA optimis pada pengundi Cina di Tenang


Sebaik kempen bermula di Tenang, rasa optimisme jelas kelihatan di pihak BN apabila pekerja kempen mula turun padang bagi memenangi hati dan fikiran para pengundi terutama di kalangan masyarakat Cina.

MCA, parti komponen BN bagi masyarakat Cina, yang membangkitkan isu-isu seperti negara Islam dan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS sejak pilihan raya umum lalu.

Ini sedikit sebanyak menyebabkan barisan pembangkang berada dalam kedudukan defensif.

"Masih ada lagi bilangan ketara pengundi berusia yang bimbang dengan isu-isu seperti negara Islam dan agama yang digunapakai PAS.

"Kita masih boleh menggunakannya di Tenang walaupun sesetengahnya berpendapat bahawa ini tidak terpakai lagi," kata seorang pemimpin tempatan MCA, yang tidak mahu dikenali, apabila merujuk kepada corak perancangan parti.

Sebagai sebahagian kawasan mengundi luar bandar dan di Johor yang dikuasai BN, pertimbangan pengundi di Tenang adalah berbeza berbanding kepada kawasan mengundi yang beransur-ansur menjadi bandar dan ini menjelaskan mengenai peratusan tinggi kaum Cina menyokong BN di negeri ini.

"Mana lagi anda boleh dapati lebih 30 peratus pengundi Cina mengundi untuk BN pada pilihan raya umum lalu? Di Tenang, 43 peratus kaum Cina mengundi BN pada pilihan raya umum lalu," kata Timbalan Pengerusi MCA Johor Tan Kok Hong.

Tan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bekok dan Exco Negeri Johor, berkata pengundi Cina di Tenang nampaknya mula mesra dengan BN walaupun mereka dilihat "lebih pro-pembangkang" pada pilihan raya umum lalu.

"Kali ini, apabila kita turun padang, mereka nampaknya mesra dengan kita. Tiada jaminan bahawa petanda sedemikian boleh diterjemahkan kepada undi 100 peratus bagi kita, tapi sekurang-kurangnya ia adalah petanda positif," katanya sambil menambah bahawa jentera BN sudahpun mula bergerak, bekerja keras bagi menarik sokongan melalui satu pendekatan untuk berhubung dengan sekumpulan kecil pengundi pada satu-satu masa.

Tan juga berkata kerjasama di kalangan pelbagai unit dalam MCA seperti pasukan siber, publisiti dan pasukan pilihan raya adalah lebih baik, yang seterusnya meletakkan pekerja kempen dalam mod "propaganda pilihan raya yang kreatif" bagi menyentuh hati dan fikiran pengundi Cina.

Seorang pemimpin cawangan tempatan MCA, Cheong Kim Seng, juga bersetuju bahawa pekerja kempen MCA kini lebih bersemangat melalui petanda-petanda positif dari pengundi Cina kali ini.

Tinjauan rambang dengan beberapa pengundi ini menunjukkan bahawa mereka mula mesra dengan BN. Sebagai contoh, pandangan penoreh getah Tay Kim Seng, 48, dari Kampung Air Panas:

"Bagi saya, apabila Perdana Menteri berkata biasiswa awam akan diberikan kepada mereka yang mendapat keputusan 13A ( dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak kira latar belakang kaum, ini merupakan perubahan yang kita nanti-nantikan.

"Sebagai bapa, kita lihat ini adalah penting kerana bukan semua bapa mampu menghantar anak mereka ke universiti walaupun anak mereka mendapat keputusan yang baik," katanya.

Tindakan positif pemimpin tertinggi BN yang sedemikian memang diharap-harapkan oleh pekerja pilihan raya kerana respons positif sedemikian semakin bertambah apabila hari pengundian semakin dekat memandangkan kebanyakan pengundi Cina di Tenang melibatkan diri dalam pertanian.

Pendekatan inklusif yang digunapakai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghuraikan kebaikan meraikan kekayaan kepelbagaian rakyat Malaysia melalui konsep 1Malaysia, telah menambat hati ramai, malah melunakkan pengundi yang sebelum ini merupakan "pro-pembangkang".

Sementara itu, beberapa pengundi di Tenang juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap ADUN yang mereka dakwa "membiarkan mereka" dengan tidak turun padang bagi memahami masalah dan aspirasi mereka.

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha dari BN pada 17 Dis. Sulaiman menewaskan Mohd Saim Siran dari PAS dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya pada 30 Jan ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat Mohd Azahar Ibrahim, 39, dari BN dan bekas guru Normala Sudirman, 38, dari PAS.

Apapun yang diperkatakan mengenai masa lalu, satu perkara yang pasti dalam pilihan raya kecil ini -- saingan bagi mendapatkan undi diperhebatkan malah sebelum penamaan calon semalam di mana kedua-dua pihak tidak mahu mengambil mudah mengenai sesuatu perkara.

BN lebih fokus dalam kempen-kempennya dan ini membimbangkan barisan pembangkang dan menurut seorang pekerja pilihan raya pembangkang yang secara peribadi mengulas bahawa MCA nampaknya telah menggunapakai strategi yang betul yang digunakan buat pertama kali pada pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan pada 4 Nov tahun lalu.

"Mereka menganjurkan makan malam 1Malaysia bagi menyamai sesi cermaah dan juga makan malam dan dibuat dalam kumpulan yang kecil dan lawatan ulangan. Di Galas, strategi ini terbukti sangat berkesan memandangkan tidak ramai kita dapat jumpa," katanya tanpa mahu dikenali.

"Ini menjelaskan kenapa di saluran mengundi Cina di Galas, undi yang diperolehi oleh calon kita (PAS) jatuh dengan ketara. Kami percaya bahawa MCA menggunapakai strategi yang sama dalam pilihan raya kecil kali ini," katanya.

Sama ada MCA menggunakan formula yang telah membawa kemenangan atau sebaliknya, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak banyak mendedahkannya.

"Jika kita mahu mendedahkan kepada kamu strategi kami, maka tak ada lagi strategi," kata Dr Chua.

--Bernama



Bookmark and Share

MCA guna iPad berkempen di Tenang

LABIS 23 Jan. — Gajet moden seringkali menjadi peralatan yang penting dalam melaksanakan tugas seharian namun bagi MCA, komputer tablet terbaru iPad, yang dimajukan dan dipasarkan oleh Apple, menjadi peralatan terkini yang digunakan untuk membantu petugas parti semasa berkempen.

MCA menghantar empat pasukan iPad dari ibu pejabat parti itu untuk membantu petugas kempen di lapangan melaksanakan tanggungjawab, misalnya membolehkan pengundi menyemak pusat pengundian mereka, ketika mengadakan kempen dari rumah ke rumah.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang merupakan julung kali MCA menguji penggunaan gajet berkenaan yang pada dasarnya, masih di peringkat percubaan, membabitkan beberapa modul yang diwujudkan dalam perisian untuk membantu petugas kempen.

"Namun kami percaya penggunaannya akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka,” katanya.

Selain itu, katanya tugas pasukan berkenaan termasuk mengumpul data berdasarkan modul tertentu yang dibangunkan oleh jabatan teknologi MCA selain merekod dan mengumpul maklum balas serta aduan.

“Ia sangat bagus dan pantas kerana boleh memberitahu pengundi dengan cepat tempat pengundian mereka. Satu-satunya kelemahan ialah kadang kala ia bergantung kepada rangkaian hubungan 3G. Di Labis ini, hubungan tidak berapa bagus tapi kami masih boleh menggunakannya untuk membantu pengundi,” kata Wee.

— BERNAMA


Bookmark and Share



Sunday, January 23, 2011

Jenazah Terbiar: PAS sanggup buat Fitnah lagi...


Suruh Cikgu Mala minta maaf bagi pihak PAS

“Takkanlah penduduk di sini begitu jahil dan begitu zalim sekali membiarkan jenazah Allahyarham sedemikian rupa. Janganlah buat dakwaan karut-marut semata-mata musim pilihan raya kecil ini,” katanya

LABIS 22 JAN – Imam Masjid An-Nur, Felda Tenang, Hj Mohd Shariff Hj Hasan kesal dan kecewa dengan tindakan penyokong Pas yang mempolitikkan Fardhu Kifayah semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka.

Menurut beliau dakwaan bahawa jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, terbiar dan tidak diuruskan oleh kariah Felda Tenang adalah satu penipuan dan pembohongan melampau.

“Beliau sebenarnya Setiausaha UMNO cawangan Kolam Air…..Saya sendiri yang baca Talqin manakala proses menggali kubur dan sebagainya diuruskan oleh jawatankuasa khairat kematian yang diketuai oleh Hj Hamzah Abd Manaf. Jika mereka mengatakan jenazah terbiar, itu adalah satu kenyataan yang tidak benar

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pas bahawa jenazah Setiausaha UMNO Cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61,terbiar dan tidak diuruskan. Mereka seterusnya mendakwa ianya diuruskan oleh petugas Pas daripada Pahang.

Menceritakan lebih lanjut, beliau seterusnya berkata Allahyarham yang menetap di Segamat telah meninggal dunia secara mengejut pada awal pagi 18 Januari di Hospital Segamat.

“Dan setelah selesai segalanya, jenazah Kemudiannya dimandi dan dikafankan di Hospital terbabit. Pada waktu itu, kita difahamkan jenazah hendak disemadikan selepas solat asar.

“Memandangkan bapanya adalah seorang peneroka di sini, dan atas permintaan keluarga agar jenazah di semadikan di Felda Tenang, kita telah menghantar van jenazah daripada Masjid Felda Tenang untuk di bawa ke masjid ini kerana rumahnya tidak lagi didiami. Jenazah kemudiannya sampai lebih kurang pada pukul 11.30 pagi.

“Dan secara kebetulan, pada tarikh berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan ke Felda Tenang. Dan saya akui saya turut pergi ke majlis berkenaan yang berdekatan dengan rumah saya.

“Semasa ketibaan jenazah, Bilal, Mohd Yusof Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid serta Pengerusi Jawatankuasa Khairat Kematian, Hj Md Salleh Md Ali turut menyambut ketibaan jenazah terbabit. Apakah ini mengatakan kita membiarkan jenazah berkenaan,” katanya.

Sambung cerita berkenaan, beliau seterusnya memberitahu setelah jenazah sampai, mereka mengambil keputusan untuk mengkebumikan selepas solat Zohor.

“Saya yang ketika itu berada di majlis bersama PM kemudiannya bergegas pulang setelah dimaklumkan oleh Hj Hamzah. Dan ketika pulang kerumah, rumah pula berkunci kerana ianya dipegang oleh isteri saya yang kebetulan turut pergi ke majlis bersama Datuk Seri Najib.

“Oleh kerana saya mahu menyegerakan urusan jenazah terbabit, saya memecahkan tombol pintu rumah saya untuk mempersiapkan diri bagi mengimamkan solat jenazah. Namun setelah sampai di masjid yang berhampiran dengan rumah saya, jenazah telah disembahyangkan.

“Saya kemudiannya bertanya kepada Hj Hamzah perkara berkenaan dan dijawab oleh beliau bahawa perkara itu berlaku terlalu pantas. Saya kemudiannya mahu menunaikan solat jenazah bersama beberapa penduduk yang lain, namun jenazah terbabit telah diangkat secara tergesa-gesa oleh sekumpulan yang memakai baju tertera lambang Pas,” katanya.

Katanya lagi, beliau berperasangka baik dan tidak mengesyaki apa-apa niat yang buruk serta menganggapnya satu kebaikan.

“Saya berpendapat jika mereka ikhlas Alhamdulillah…Namun jika ada niat tersembunyi mereka adalah golongan yang tidak beriman kerana sanggup memperalatkan fardhu kifayah untuk memburukkan pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hj Md Salleh Md Ali menyifatkan budaya sedemikian adalah budaya orang luar yang cuba memporak-porandakan perpaduan penduduk setempat.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini kerana masyarakat Felda Tenang menghormati antara satu sama lain. Malah tidak timbul langsung soal sama ada BN atau Pas.

“Ini kerana masing-masing tahu itu hanyalah politik dan soal pergaulan tidak terbatas oleh parti. Malah kenduri kendara sekali pun kita tidak tidak ambil kisah sama ada mereka itu Pas atau UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Bilal Masjid Masjid An-Nur Mohd Yusof Hashim berkata isu berkenaan tidak sepatutnya diperbesarkan dan dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

“Benda ini tidak sepatutnya berlaku. Saya secara peribadi tidak terlibat dalam mana-mana parti politik dan kejadian yang berlaku Selasa lalu menunjukkan perangai Pas begitu “hodoh” kerana sangggup memburukkan pihak tertentu demi politik.

“Malah terlintas di hati saya pada ketika ini, mungkin masa mereka angkat takbir ketika solat jenazah, mereka mungkin terfikir dah ada satu isu untuk dipolitikkan…Itu adalah hati kecil saya. Saya cukup marah dan amat sedih sekali,” katanya.

Beliau seterusnya bekata pihaknya tidak pernah menyangka perkara itu terjadi sedemikian rupa.

“Saya tidak sangka Pas sanggup mempolitikkan perkara ini. Sungguh saya tidak sangka sama sekali…,” katanya. -MediaUMNO



Bookmark and Share

Thursday, January 20, 2011

Mohon maaf sahaja tidak cukup!




JUMAAT lalu, genap seminggu tempoh diberikan oleh Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik supaya memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pekerja sebuah restoran nasi kandar semasa operasi penyitaan di premis itu, dua minggu lalu.

Wei Aik akhirnya akur dengan desakan tersebut dan berbuat demikian secara terbuka terhadap pemilik Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, 42.

Bertempat di restoran berkenaan yang terletak di Gat Lebuh Macallum di sini, kedua-dua mereka kelihatan berjabat tangan pada hari tersebut sebagai tanda penyelesaian isu.

Meskipun menerima permohonan maaf itu, hati dan perasaan Syed Kassali sebenarnya masih terguris.

Ungkapan "Tutup kedai, balik India" yang dilontarkan dari mulut Wei Aik pada hari kejadian nyata terlalu sukar untuk beliau lupakan begitu sahaja.

"Saya sebenarnya dalam keadaan terpaksa untuk menerima maaf dia (Wei Aik), atas tindak-tanduknya yang begitu agresif terhadap restoran dan pekerja saya.

"Saya masih tidak boleh lupakan kata- katanya tempoh hari yang menyinggung perasaan kami semua.

"Memang saya dan pekerja-pekerja saya dengar dia kata begitu, tapi kita tiada rakaman (audio dan visual) untuk ditunjukkan," katanya.

Sebenarnya, bukan Syed Kassali seorang yang memendam perasaan tersebut.

Ramai lagi kaum India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak yang tersinggung dengan ungkapan Wei Aik itu.

Di tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang selepas solat Jumaat baru-baru ini, kira-kira 50 orang India Muslim berhimpun.

Menggelarkan diri mereka Suara Anak- Anak Mamak Pulau Pinang, mereka mendesak Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu meletakkan jawatannya.

Sambil membawa kain-kain rentang yang tertulis 'DAP parti samseng', 'Enough mess of Guan Eng, new Chief Minister please' dan 'Malacca rejected Guan Eng, Penang should do the same', mereka berkumpul kira-kira sejam di situ.

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar, Mohamed Ghani Abd. Jiman yang mengetuai kumpulan tersebut berkata, Wei Aik sepatutnya melepaskan jawatannya sekarang.

Ia kerana, jelas beliau, tindakan wakil rakyat tersebut mengetuai operasi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu ternyata merupakan satu kesalahan berat.

Menurutnya, sebagai ADUN, Wei Aik telah campur tangan dalam tugas penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Semasa mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dulu, dia (Wei Aik) ada melafazkan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai ADUN dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Sekarang ini, dia sudah melanggar etika-etika yang ditetapkan, dia sudah melanggar perintah, sepatutnya sudah letak jawatan," ujarnya.

Justeru, tegas beliau, pihaknya akan terus mendesak sehingga Wei Aik melepaskan jawatan bukan sahaja Setiausaha Politik Ketua Menteri tetapi juga ADUN.

"Perlakuan buruk Wei Aik menyebabkan imej Guan Eng sebagai Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP tercalar.

"Dia bukan saja menjadi masalah kepada rakyat tetapi juga liabiliti besar buat Guan Eng dan pakatan pembangkang di Pulau Pinang," tegasnya.

Lebih dikesalkan Mohamed Ghani, Guan Eng sehingga kini masih belum memberikan respons berhubung tindak-tanduk anak buahnya itu, sentiasa cuba mengelak daripada memberikan komen.

"Sepatutnya dia (Guan Eng) bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala tindakan anak buahnya itu," katanya lagi.

Pada tengah malam 2 Januari lalu, Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar yang terletak di Gat Lebuh Macallum kecoh apabila kakitangan MPPP merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di dalam premis tersebut.

Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kereta berhampiran restoran itu pada kira-kira pukul 10.10 malam.

Sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tua merempuh sebuah kereta lain yang dinaiki sepasang suami isteri sebelum terbabas sehingga ke kawasan kaki lima restoran berkenaan.

Tidak lama kemudian, Wei Aik bersama-sama kakitangan MPPP 'menyerbu' restoran berkenaan dan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk berunsur perkauman kepada pekerja restoran berkenaan.


Bookmark and Share


Wednesday, January 19, 2011

Debat: anwar kena jawab 10 soalan


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjawab 10 soalan terlebih dahulu sebelum layak berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, ini termasuk sama ada beliau berani bersumpah menggunakan al-Quran di masjid bahawa dia tidak meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau pasti 'Pelan 100 Hari' yang dicadangkan Anwar bukan berkisar kepada isu ekonomi sebaliknya kemungkinan ada kepentingan peribadi pemimpin pembangkang.

"Itulah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang cukup pintar berdolak-dalik, berbohong dan memanipulasikan keadaan supaya rakyat simpati kepada beliau.

"Banyak pihak memberitahu saya bahawa Anwar sebenarnya tidak layak untuk berdebat dengan mana-mana pihak pun, apatah lagi dengan Najib.

"Mereka memberi 10 pertanyaan mudah yang memerlukan Anwar menjawabnya secara terbuka terlebih dahulu sebelum ingin berdebat," katanya dalam entri terbarunya di http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

1. Menurut Syed Ali, persoalan lain yang 'wajib' dijawab Anwar ialah sama ada beliau sanggup menjelaskan kepada rakyat bahawa dirinya bukan tali barut dan alat kepada kuasa asing khususnya rejim Yahudi.

Katanya, persoalan lain yang perlu dijawab Anwar adalah:


2. Menyatakan kepada rakyat bahawa dia tidak bersubahat dengan DAP untuk hancurkan Melayu.

3. Beranikah beliau bersumpah bahawa dia tidak berbohong dalam isu politik di Selangor dan Perak?

4. Benarkah pengakuan Karpal Singh yang dibuat di Parlimen bahawa dia terbabit dalam kes liwat?

5. Jelaskan secara terbuka bahawa beliau berpakat dengan DAP untuk ketepikan Pas dalam pakatan pembangkang.

6. Mengaku bahawa beliau selama ini menggunakan media asing untuk memburukkan imej negara dan merosakkan nama baik kerajaan BN dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

7. Mengaku bahawa beliau tidak pernah terbabit sebagai ejen dan alat kepada Amerika Syarikat.

9. Menyatakan pendirian secara terbuka bahawa beliau tetap mempertahankan institusi raja-raja Melayu daripada diperlekehkan oleh DAP; dan

10. Mengaku bahawa beliau bukan petualang untuk menghakis ketuanan Melayu dan agama Islam di negara ini.




Bookmark and Share



Pas Dicabar, Apakah Anwar Pemimpin Islamik Yang Dicari Pas Selama Ini?

PAS khususnya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menilai dan memikirkan dengan mendalam kedudukan Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada layak atau sebaliknya untuk terus memimpin mereka.

Setiausaha UMNO Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata kekhuatiran timbul setelah melihat tindak tanduk Anwar hari ini yang tidak lagi ‘Islamik’ dan tidak sejajar dengan apa yang dilaungkan oleh pucuk pimpinan Pas.

Menurut beliau Pas perlu lihat adakah Anwar begitu serius untuk memimpin dalam soal perpaduan di negara ini atau mempunyai kepentingan politik peribadi khususnya menjayakan agenda yang terpendam setelah dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada satu ketika dahulu.

“Cuba kita imbau bagaimana Anwar selepas keluar daripada penjara sehingga ke hari ini yang mana kita tidak mendengar sebarang berita pemergian Anwar ke tanah suci Mekah baik untuk menunaikan umrah atau menunaikan haji. Sepanjang pengetahuan sayalah, kita tidak mendengar khabar beliau pergi ke sana. Paling-paling dekat dengan tanah suci pun, saya rasa sekadar di Dubai.

“Nik Aziz baru pun sahaja pulang daripada Mekah sebelum ini….takkan Anwar yang merasakan difitnah dan diaibkan tidak ada keinginan langsung untuk berdoa di depan Kaabah. Kalau nak kata tidak berkemampuan, itu tidak logik kerana Anwar mempunyai cukup syarat untuk menunaikan rukun Islam tersebut,” katanya kepada UMNO-Online.

Alwi yang juga ADUN Kok Lanas seterusnya menambah, atas faktor berkenaan, bersediakah Nik Aziz dan Hadi untuk menerima kepimpinan Anwar dalam menerajui kepimpinan pembangkang.

“Apa yang kita tahu, selepas keluar daripada penjara, beliau mendapatkan rawatan di Jerman selain kerap ke Amerika. Kebiasaanya, kita sebagai umat Islam, apabila berdepan dengan sebarang musibah, sudah pasti kita berhajat untuk ke ke tanah suci"


Tambahan pula tegas beliau, bukankah Hadi baru-baru ini menegaskan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan berhubung agenda negara Islam.

“Ini adalah soal asas kepimpinan Islamik. Apakah Anwar begitu ‘Islamik’ di mata Hadi dan Nik Aziz. Apakah tindak tanduk Anwar memenuhi ciri-ciri kepimpinan Islam yang Nik Aziz dan Hadi cari dari sejak dari dahulu hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau seterusnya meminta kepimpinan Pas menilai apakah status mereka dalam pakatan pembangkang hari ini sama ada “junior atau senior partner”.

“Kalau sekadar jadi ‘pak turut’ tidak ada maknanya. Bukankah Pas mempunyai jentera yang kuat dan adakah mereka rela melihat jenteranya diperkudakan oleh sekutu mereka DAP dan PKR,” katanya. -MediaUMNO




Bookmark and Share

Tuesday, January 18, 2011

Pas-DAP terus tidak sepakat dalam episod arak kedua




Apakah kerajaan campuran negeri Selangor dapat lakukan apabila hasrat Jabatan Agama Islam (JAIS) hendak melaksanakan undang- undang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjual arak nampaknya menerima tentangan daripada Exco kerajaan negeri itu.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sendiri mahu undang-undang itu dilaksanakan seperti termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Hassan ada sebab bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dengan urusan penjualan arak.

Sementara pendirian dua Exco daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu baru-baru ini membantah peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.


Ronnie menggunakan kuasanya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan Yang Dipertua MPSJ supaya menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Ronnie memberi alasan yang beliau bimbang kemungkinan akan ada umat Islam hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selain mendakwa undang-undang syariah itu tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan.

Mana air muka Pas apabila usaha pemimpin mereka ditolak mentah-mentah oleh DAP. Ini satu penghinaan kepada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Ia juga satu bukti jelas bahawa Pas dan DAP tidak boleh bekerjasama.

Kenyataan pemimpin tertinggi Pas kononnya Pas boleh bekerjasama dengan penentang nombor satu penubuhan negara Islam itu hanya retorik. Lebih mudah Pas hanya bertepuk sebelah tangan.

Dalam isu larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak di Subang Jaya pun kedua-duanya tidak sependapat.

Kasihan Pas Selangor, sudah beberapa kali arahan mereka diketepikan oleh pemimpin DAP.

Jika isu larangan menjual arak ini Pas dan DAP tidak sepakat, bagaimana urusan pentadbiran negeri Selangor yang lain?

Apa kata Menteri Besar Selangor daripada PKR?

Kita terkejut apabila Ronnie Liu mengatakan udang-undang syariah yang melarang umat Islam bekerja di premis arak sebagai tidak praktikal.

Baru dapat kuasa, sudah menunjukkan lagak sombong dan bongkak. Kenyataannya itu boleh membakar lagi bara kemarahan yang sedia ada dalam diri umat Islam negara ini.

Apakah orang yang berkuasa di Selangor, Menteri Besar sudah 'hilang suara' untuk menegur anggota Exconya khususnya bukan Islam supaya tidak menyentuh hal-hal yang sudah termaktub dalam undang-undang seperti Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jelas Ronnie Liu sudah dua kali mengganggu tugas pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini terlibat dalam satu kes rampasan arak di Shah Alam beberapa tahun lalu.

Nampaknya hasrat umat Melayu di Selangor untuk melihat tiada premis menjual minuman keras di kawasan majoriti Islam di negeri itu tidak kesampaian.

Episod arak kali kedua ini mendedahkan pandangan Pas Selangor tidak ke mana pun. Apakah Pas akan tetap bersama-sama DAP dan PKR di bawah satu pakatan



Bookmark and Share





Sapina Karpal Tepat, Selaras Dengan Akta Profesion Undang-undang 1976

Saranan yang dibuat oleh beberapa pihak agar Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menarik diri daripada kes perbicaraan liwat Ketua Pembangkang dan disapina sebagai saksi pendakwaan kes tersebut amat bertepatan dengan Akta Profesion undang-undang 1976.

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun berkata di bawah akta berkenaan terdapat satu peraturan kecil iaitu peraturan etika kepeguaman yang menjelaskan situasi yang dihadapi oleh Karpal Singh hari ini.

“Menerusi akta berkenaan, apabila seseorang peguam itu mempunyai fakta yang boleh samaada memperbaiki atau melemahkan kes anak guam yang sedang dia bela, maka beliau sepatutnya mengundurkan diri.

“Dan pengunduran diri itu atas alasan etika seorang peguam yang mana peguam itu perlulah bebas dan tidak berat sebelah dalam menjalankan tugasan dia. Jadi dalam kes Karpal ini, pada tahun 1997 yang mana beliau memperkatakan mempunyai bukti kukuh bahawa Datuk Seri Anwar terlibat dalam perlakuan salah laku liwat.

“Beliau tidak sepatutnya mengetuai pasukan peguam pembela Datuk Seri Anwar kerana beliau dalam bahasa Inggerisnya telah “embarrased” iaitu beliau ada konflik antara menjadi seorang peguam dan juga menjadi saksi,” katanya dalam temubual ekslusif bersama UMNO-Online di sini, hari ini.

Justeru tegas Hafarizam saranan yang dibuat oleh beberapa pihak agar Karpal mengundur diri dan di sapina menjadi saksi adalah bertepatan sekali selaras dengan Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan peratutan kecil iaitu etika kepeguaman yang dibuat oleh majlis peguam sendiri.

“Sekarang terpulanglah kepada Karpal sama ada beliau ingin mematuhi peraturan yang dibuat oleh Majlis Peguam itu sendiri dan menunjukkan beliau peguam yang beretika. Jika tidak ini ibarat cakap tidak serupa bikin.

“Bagi saya ini tidak lain melainkan permainan politik. Karpal merupakan seorang peguam yang telah menjadi peguam lebih 30 tahun dan tahu jika kes itu mempunyai fakta yang tersendiri, dan beliau tahu kedudukan kes itu dan seterusnya mewakili anak guamnya sudah tentu beliau mengkompromi kedudukan beliau sebagai peguam dan anak guam beliau,” katanya. -MediaUMNO




Bookmark and Share



Monday, January 17, 2011

Isu arak: Pas tumpas sekali lagi kepada DAP

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa Pas yang kononnya memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia tumpas sekali lagi kepada DAP dalam isu arak di Selangor.

Ia berikutan tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melalui exconya, Ronnie Liu membatalkan arahan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam berkerja di premis menjual minuman keras dengan alasan tidak adil.

Menurut Zulkifli, larangan tersebut meskipun disokong Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali tetapi, ternyata DAP lebih berkuasa mempengaruhi kerajaan negeri.

Malah, lebih malang katanya, terdapat segelintir pemimpin Pas Selangor yang sanggup bersekongkol dengan menyokong langkah Ronnie semata-mata mahu membodek DAP apabila turut mendakwa, prosedur tindakan yang diambil MPSJ salah serta tidak Islamik.

“Nampaknya Pas tumpas lagi, pendirian Hassan dan Pas Selangor dalam isu arak langsung tidak dihormati oleh kerajaan negeri walaupun tindakan yang diambil itu bertujuan untuk mengekang kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam, sebaliknya mereka membatalkan larangan MPSJ.

“Bagaimanapun teman (saya) tidak hairan kerana yang menentang larangan itu ialah Ronnie dan DAP. DAP memang terbukti sejak dahulu dan sentiasa konsisten dengan pendirian menentang Islam, menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud,” katanya.

“Tapi yang teman (saya) pelik, dalam isu ini ada juga ‘pak jangoat’ yang menyokong DAP walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa umat Islam diharamkan bekerja, menjual, membuat, menyediakan, membawa dan menghidang kerana hukumnya sama seperti peminum arak,” katanya.



Bookmark and Share

Umno Kedah mahu siapkan 672 'bilik perang'

Umno Negeri Kedah akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan "BN Menang Kedah Senang".

"Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan "bilik perang" yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada," katanya kepada pemberita selepas mengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri malam tadi.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Ahmad Bashah berkata persediaan untuk menghadapi pilihan raya ini juga akan diselaraskan dengan parti-parti komponen BN yang lain kerana mereka juga ada perancangan masing-masing.

Sementara itu, katanya, beliau belum merancang untuk melakukan rombakan kepada jawatan-jawatan lain dalam Umno negeri dan hanya berbuat demikian selepas mendapatkan pandangan ibu pejabat dan Presiden Umno.

"Jika rasa perlu, baru buat perubahan. Kita jumpa presiden dulu, sekiranya perlu perubahan kita akan adakan satu lagi mesyuarat. Bagi jawatan bendahari, masih dipegang oleh Datuk Mukhriz," katanya.

Beliau berkata Umno negeri bersedia memberi peluang kedua kepada calon-calon yang kalah pada pilihan raya umum 2008 jika mereka dilihat mempunyai peluang yang baik untuk menang pada pilihan raya akan datang.

"Mungkin dulu ada tsunami...mereka kalah. Kalau keadaan lepas ni mereka dilihat boleh menang, mereka boleh dicalonkan. Apa yang diputuskan... calon mestilah orang yang boleh menang," katanya.

--Bernama



Bookmark and Share

Pembangkang Patut Malu, Janji Lama Tak Tunai Ini Pula Pelan 100 Hari



Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek menyelar pakatan pembangkang yang tidak berasa malu apabila mengutarakan Pelan 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Katanya, manifesto mereka pada PRU-12 pun tidak ditunaikan tetapi sekarang mereka mahu menyajikan janji-janji lain pula.

“Pembangkang patut sedar bahawa janji-janji mereka yang diutarakan dalam PRU-12 adalah satu akujanji yang termetrai antara para pengundi dengan mereka sekiranya mereka menang dalam PRU, justeru akujanji tersebut perlu dilaksanakan kerana rakyat membuat penilaian atas apa yang berlaku,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau lagi, sewajarnya pemimpin-pemimpin pembangkang yang bijak berkata-kata ini memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan janji-janji lama yang gagal ditunaikan dan bukan mengaburi rakyat dengan kata-kata manis yang baru pula.

“Mereka (pakatan pembangkang) seharusnya memohon maaf kepada rakyat khususnya pengundi-pengundi yang telah memberi mandapt kepada mereka untuk mentadbir dan mempunyai kuasa politik kerana rakyat bukanlah patung yang tidak bernyawa.”

"Pembangkang telah melakukan satu penganiayaan kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka sedangkan sebelum ini rakyat dijanjikan pelbagai tawaran, imbuhan, hadiah dan macam-macam lagi"

Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata demikian ketika mengulas berkaitan Pelan 100 hari pakatan pembangkang yang dikecam oleh kerajaan sebagai amat populis dan tidak berpaksi di bumi nyata.

“Pembangkang telah melakukan satu penganiayaan kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka sedangkan sebelum ini rakyat dijanjikan pelbagai tawaran, imbuhan, hadiah dan macam-macam lagi.

“Samalah seperti kononnya mahu menawan Putrajaya pada 16 September tapi lihatlah sudah berapa kali September berlalu namun kerajaan Barisan Nasional (BN) makin kukuh sedangkan pakatan pembangkang pula yang kucar-kacir,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, PKR, Dap dan Pas yang membentuk pakatan atas satu nama mengeluarkan satu kenyataan baru dalam usaha mereka untuk mengekalkan populariti dan mengaburkan pengundi.

“Rakyat yang mengundi pembangkang pada PRU lalu hauskan janji-janji yang sebelum ini dilaungkan oleh para pemimpin mereka ketika meraih perhatian untuk mendapatkan kuasa pada PRU lalu tetapi apa yang diberikan oleh pembangkang kepada para pengundinya?”

Bulan lalu, pakatan pembangkang mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari yang antaranya menjanjikan penghapusan kutipan tol di semua lebuh raya di negara ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti selain merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.- MediaUMNO






Bookmark and Share