Monday, June 23, 2008

Pas berubah atau keliru?


Pemimpin dan ahli-ahli Pas yang akan mengadakan Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos ini sudah tentulah berbangga. Ini kerana muktamar kali ini akan menyaksikan lebih ramai pemimpin-pemimpin Pas bergelar Yang Berhormat (YB) akan hadir.


Pas kini mempunyai 83 Ahli Dewan Undangan Negeri dan 23 Anggota Parlimen.

Selain itu, jika sebelum ini hanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sahaja akan hadir sebagai Menteri Besar, tetapi kali ini beliau akan diiringi oleh dua orang lagi bertaraf Menteri Besar iaitu Azizan Abdul Razak (Kedah) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak).

Namun begitu dalam keghairahan mereka menyambut kemenangan di luar jangkaan pada pilihan raya umum lalu, ahli-ahli Pas juga harus memahami bahawa prinsip perjuangan mereka semakin terhakis.

Pas kini mahu tidak mahu sudah dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi merebut kekuasaan politik dan lebih buruk lagi sanggup duduk semeja dengan pihak yang sebelum ini dianggap kalau berkawan boleh menjadi kafir.

Sememangnya, penulis menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat memilih pemimpin Pas menjadi YB dan mengundi parti itu untuk memerintah Kedah, menjadi Menteri Besar di Perak serta terus berkuasa di Kelantan.

Malah penulis juga menghormati keputusan rakyat menerima kesepakatan pemimpin-pemimpin Pas untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi memerintah Selangor.
Tetapi apa yang hendak diperingatkan ialah bagaimana Pas kini semakin lari daripada prinsip perjuangannya.

Dalam satu surat yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam ruangan Forum pada Jumaat lalu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Pa'Sheikh menggariskan apa yang disifatkan oleh beliau, Pas sudah berubah
Antara hujahnya:
1) Pas pernah menganggap suara wanita adalah aurat sehingga Kelantan tidak menghantar wakil bagi majlis tilawah tetapi sekarang ketua pembangkang di Parlimen adalah seorang wanita.
2) Sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu fatwa Pas - Wanita tidak boleh menjadi calon tetapi mengikut keadaan fatwa berubah dan ia dibolehkan. Yang anehnya ada kawasan pilihan raya, yang mana calon Pas seorang lelaki dan calon UMNO seorang wanita. Semasa kempen pilihan raya di kawasan tersebut, Pas berkempen tidak boleh mengundi calon wanita. Sesiapa mengundi calon wanita adalah dayus kerana wanita tidak boleh menjadi pemimpin.
3) UMNO bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain (parti orang-orang kafir) menurut Pas adalah haram. Sekarang Pas berada dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP).
Inilah antara hujah-hujah beliau bagi menunjukkan bagaimana Pas telah berubah dan mengikut keadaan semasa.


Dalam soal ini, sudah tentulah pemimpin dan ahli Pas yang taksub akan tetap menyokong langkah saf kepimpinan kononnya atas dasar demi menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia.
R

esahTetapi kita juga yakin ada di kalangan ahli-ahli Pas yang semakin merasa resah dengan sikap tidak konsisten parti itu dalam usaha untuk memperoleh kuasa politik. Malah sesetengah orang Melayu atas pagar yang menyokong Pas dalam pilihan raya umum lalu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Pas yang ternyata sanggup mengamalkan sikap matlamat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan politik.


Sebelum ini kita harus akui, Pas dilihat parti alternatif kepada orang Melayu, Pas sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam, ertinya yang haram tetap haram, yang halal tetap halal.
Namun ternyata akibat keghairahan untuk bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat dan ditambah pula kejayaan di luar dugaan dalam pilihan raya, Pas sudah melupakan asas-asas perjuangannya.

Mungkin bagi Pas sekarang:
1) Suara wanita bukanlah lagi aurat, justeru mereka menerima Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang dan meletakkan calon wanita bertanding dalam pilihan raya.
2) Berkawan dengan parti bukan Islam tidak lagi kafir atas sebab itu mereka sanggup membantu berada dalam satu kerajaan dengan DAP di Perak dan Selangor. Biarpun hakikatnya di Perak, Pas tidak ubah hanya menjadi boneka kepada DAP.
3) Tidak apa menyokong dasar yang salah demi mempertahankan kekuasaan atas sebab itulah mereka menyokong projek ternakan babi di Selangor.

Semua tindakan ini dengan jelas membuktikan Pas sudah berubah. Pas bukanlah lagi sebuah parti yang sentiasa istiqomah dalam perjuangannya. Justeru muktamar Pas kali ini diharapkan akan menjadi landasan kepada ahli-ahli Pas yang masih sayangkan parti itu untuk menegur kealpaan pemimpin- pemimpin mereka.


Tidak salah untuk menegur perkara yang betul kerana Rasulullah SAW bersabda, katalah benar, sekalipun ia pahit.

Oleh itu ahli-ahli Pas harus bermuhasabah dan mengkaji keterlanjuran yang semakin banyak dilakukan oleh pemimpin-pemimpin atasan mereka.

Teguran yang dibuat bukanlah bertujuan untuk melemah atau menjatuhkan Pas tetapi sekadar peringatan supaya Pas tidak terus tenggelam dengan keghairahan untuk merebut kuasa politik sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP. Lebih daripada itu untuk kembali kepada asas perjuangannya seperti mana yang disiarkan suara rasmi Pas, Suara Islam bertarikh 17 Mac 1957 yang menyatakan:
"Tertubuhnya Pas adalah semata-mata kerana umat Islam di negeri ini ingin mewujudkan dan mengisi perjuangannya dengan apa yang menjadi keyakinan dan pandangan hidupnya sebagai umat Islam dan sebagai hamba Allah yang patuh kepada ajaran tuhannya.''


Justeru dalam melakukan apa juga keputusan dan pendirian, ahli-ahli Pas harus mengkaji kata saudara Amaludin Darus dalam buku beliau bertajuk, Kenapa saya tinggalkan Pas terbitan tahun 1977. Antara lain beliau berkata, : "Saya tidak mahu menyertai satu kumpulan yang bercakap tetapi tidak berbuat. Menegur orang lain, tetapi memejam mata kepada kesilapan-kesilapan golongan sendiri.''


Tetapi dalam keadaan sekarang ahli- ahli Pas masih mempunyai kesempatan untuk memperbetulkan keadaan.


Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah menyatakan kebenaran kerana Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan ke arah kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan jalan ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata benar sehingga di sisi Allah dicatat sebagai ahli berkata benar."


Persoalannya, mampukah ahli-ahli Pas melakukannya? Mungkin sekali lagi pandangan dalam tulisan ini akan dianggap untuk memecah-belah Pas kerana maklumlah Pas kini dilihat semakin kuat.
BermaharajalelaPenulis tidak menafikan fakta ini bahawa Pas semakin mendapat sambutan tetapi dalam masa yang sama ahli Pas tidak boleh membiarkan kesilapan pemimpin-pemimpin mereka bermaharajalela di depan mata.


Orang Melayu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Dewan Ulama Pas yang sebelum pilihan raya lalu begitu lantang menegur kesilapan yang dilakukan oleh Pas.

Apakah Dewan Ulama juga sudah memasuki 'zon selesa' berikutan kejayaan Pas dalam pilihan raya umum lalu? Bagaimana pula dengan Dewan Pemuda Pas? Kenapa terus berdiam diri biarpun mereka tahu ada beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin utama mereka telah melanggar prinsip perjuangan atau fatwa parti itu?


Apakah dewan itu sudah tidak berani lagi bersuara kerana bimbang dianggap mempunyai semangat 'pepsi cola'?

Namun persoalannya, apakah ketika ini Pas masih 'pening' akibat arus tsunami politik yang berlaku sehingga memungkinkan mereka melihat apa sahaja yang boleh menguntungkan politik mereka harus diterima?

Oleh itu bagi mengelakkan pemimpin-pemimpin Pas terus alpa sehingga mengelirukan orang Melayu dan ahli Pas khasnya, mereka perlu diperingatkan semula mengenai matlamat perjuangan parti. Pas seharusnya tidak terlalu ghairah untuk mengejar kuasa politik sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja.


Jika ahli-ahli Pas, selepas 8 Mac lalu begitu lantang mengkritik UMNO dalam pelbagai perkara, mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menegur kepimpinan Pas. Ahli-ahli Pas tidak boleh selama-lamanya melihat sahaja satu demi satu tindak tanduk yang bercanggah dengan prinsip perjuangan parti itu dilanggar oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Kedah Juara Piala FA 2007-2008



Kedah mengesahkan kejaguhannya di arena bola sepak negara walaupun tanpa dua tonggak import dengan mempertahankan Piala FA selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam perlawanan sengit akhir edisi ke-19 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Barisan bimbingan Azraai Khor Abdullah itu berjaya membawa kembali trofi persaingan kalah mati kebangsaan ini menerusi jaringan Fadly Baharom, Khyril Muhymeen Zambri dan Syafiq Jamal pada minit pertama, m-32 dan m-50 masing-masing sekali gus merapati cita-cita mengulangi pencapaian tiga gelaran seperti 2007 selepas menjuarai Liga Super, Mei lalu.
Di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton di tempat lawan yang tidak terjejas dengan kehangatan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008 dan harga tiket yang didakwa agak mahal, Kenari berjaya menghampakan Gergasi Merah.
Dua gol Selangor dijaringkan gol Amirul Hadi Zainal (m-13) dan penyerang import dari Liberia, Frank Seator (m-70) menerusi sepakan penalti.Tahniah diucapkan kepada pasukan KEDAH..pulun kedah pulun....

Saturday, June 21, 2008

Anwar Ibrahim dan pendedahan Ahmad Lutfi Othman di AnwardotcomJune 19, 2008 —





















Buku Ahmad Lutfi Othman : “Anwar Boneka Barat?”. Buku itu menyorot peranan media massa antarabangsa kawalan Amerika menyokong Anwar Ibrahim.
Barangkali boleh disimpulkan, pengkaji pertama yang cuba menghuraikan persoalan di atas adalah Ahmad Lutfi Othman, sekarang ini, Ketua Pengarang Harakah, organ dwi bulanan PAS.
Salah satu buku yang dihasilnya bertajuk ” Anwar Boneka Barat ?”, ditulis dan diterbitkan pada tahun Januari 1999, sejurus selepas era reformasi.
Dalam buku itu, Ahmad Lutfi menghimpunkan semua keratan media antarabangsa kawalan Amerika seperti Newsweek, International Herald Tribune, Asia Wall Street Journal, Financial Times, Time, Far Eastern Economic Review, Asiaweek dan sebagainya menyorot sokongan mereka terhadap Anwar.
Ironisnya, Anwar bukan manusia pertama yang dipenjarakan dalam sistem kehakiman Malaysia, tetapi Ibrahim Ali, Mokhtar Hashim, Harun Idris, Mohamad Sabu dan ramai lagi pernah dipenjarakan, tetapi media barat tidak pula menunjukkan rasa simpati terhadap mereka.
Malah, barangkali jika mana-mana tokoh pemimpin UMNO, PAS atau DAP dikenakan hukuman penjara, tiada sokongan media antarabangsa sehebat sokongan terhadap Anwar.
Persoalan sama juga turut disentuh oleh S. H. Alattas dalam bukunya bertajuk ” Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka”, terbitan Jaharah Enterprise, 1999.
Anwar Ibrahim bersama empat wartawan Asiaweek, di bilik bacaan peribadinya.
Dalam muka surat 153, buku S.H. Alattas itu, penulis memuatkan sekeping foto Anwar diinterbiu wartawan Asiaweek dengan nukilan kata-kata ” Ketika wartawan tempatan begitu sukar untuk membuat wawancara eksklusif dengan Anwar, wartawan Asiaweek dibenarkan masuk ke bilik Anwar walaupun jam sudah hampir 11.00 malam. Bukankah Asiaweek yang melaga-lagakan Anwar dan Mahathir?”
Sama ada kebetulan atau dirancang, anehnya kedua-dua penulis mempunyai sudut pandang yang hampir sama iaitu melihat trend sokongan media antarabangsa terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim.
Persoalan lebih menarik perlu ditanya, benarkah media-media kepunyaan Amerika itu merupakan alat instrumen Zionis menguasai dunia sepertimana yang terkandung dalam
Protokol 12 ?
Ahmad Lutfi pula mengajak pembaca berfikir, benarkah “Anwar Boneka Barat?”. Walaupun dalam kandungan tulisan bukunya itu, penulis tidak membuat kesimpulan terhadap persoalan yang dikemukakan, tetapi pemilihan tajuk yang dibuat hasil taakulan penulis itu sudah tentu membawa pengertian yang sangat mendalam.
Misalnya, dalam bab ke-48 buku itu, Ahmad Lutfi sama ada sengaja atau tidak, menyelitkan sebuah rencana bertajuk “Ucapan Gore merugikan reformasi”.
Al Gore, berbangsa Yahudi, bekas Naib Presiden Amerika
Tulis rencana itu ” Beberapa minit selepas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore memberikan restunya kepada gerakan “reformasi” dan mengakibatkan berjuta-juta rakyat Malaysia marah..lebih daripada 20,000 rakyat telah memanggil talian panas tersebut untuk mengecam ” campur tangan asing” dan menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir Mohamad”.



Persoalannya kenapakah penulis menyelitkan rencana Al Gore yang bukan setakat dikenali sebagai Naib Presiden Amerika Syarikat, malah turut dikenali sebagai salah seorang rangkaian pemikir berketurunan Yahudi.
Adakah penulis ingin memberi justifikasi kepada pembaca bukunya bahawa “Reformasi”, Anwar disokong oleh tokoh Amerika berketurunan Yahudi ?
Lebih menarik lagi, buku itu ditulis ketika Anwar baru sahaja dipecat daripada UMNO dan meletusnya “Gelombang Reformasi”.
Ketika itu, Ahmad Lutfi “penulis bebas” bekerja di syarikatnya sendiri, Penerbitan Pemuda, Ampang, Selangor.
Sama ada dilabel sebagai “penulis bebas”, tetapi simpatisme kepada PAS dari dulu hingga kini tidak boleh dipertikaikan. Sekiranya penulis benar-benar seorang opportunist, beliau boleh menulis sudut pandang yang berbeza yang boleh menguntungkan Pakatan Rakyat (dulu dikenali Barisan Alternatif).
Adakah ini bermakna penghasilan karya penulis seperti itu mencerminkan sikapnya yang terus menerus mencurigai Anwar ?
Buku Ahmad Lutfi Othman : “Memo Buat Bakal PM”
Malah jika diteliti daripada sejarah penulisan Ahmad Lutfi, lebih daripada 16 buah buku dihasilkan khususnya menyentuh mengenai Anwar Ibrahim. Bermula dengan buku paling tebal bertajuk “Anwar Lawan Ghafar” (1993)hinggalah “Anwar Boneka Barat ?” (1999)
Bukunya bertajuk “Memo Buat Bakal PM” (1993) dan “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi ?” (1998) juga mengandungi pemikiran mendalam penulis kepada Anwar.
Foto Anwar berdailog dengan Tan Chee Koon di Majlis Gereja Wesley pada 11 November 1979. Penulis buku itu menggambarkan semasa dailog pengikut gereja memuji-muji keterbukaan penganut Islam bernama Anwar Ibrahim
Malah, dalam buku “Memo Buat Bakal PM”, penulis sengaja menyelitkan sekeping gambar perbincangan Anwar dan Tan Chee Koon di Majlis Gereja Wesley dengan nukilan kata-kata ” Anwar bersama Tan Chee Koon dalam satu majlis ceramah yang dianjurkan oleh Majlis Gereja Wesley, pada 11 November 1979. Kata Anwar, Islam menentang dasar nasionalis yang sempit. Anwar di waktu itu dikenali sebagai tokoh yang terbuka; sekarang bagaimana ?”
Untuk tujuan apa, penulis menyelitkan gambar itu di dalam buku hasil karyanya. Sudah tentu penulis mempunyai maksud tersirat yang difahami dirinya sendiri yang mahu dikongsi dengan pembaca-pembacanya.
Barangkali, Ahmad Lutfi amat memahami maksud tersirat itu dan berminat menyoroti perubahan pemikiran Anwar Ibrahim sepertimana kesungguhannya menghasilkan berpuluh-puluh buku menyoroti tokoh karismatik itu.
Buku Ahmad Lutfi Othman : Layakkah Anwar Ketuai Reformasi ?
Seakan-akan penulis mengakui karismatik manusia bernama Anwar Ibrahim, terutamanya dari segi retorik, tetapi di dalam bukunya bertajuk “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi”, penulis membuat kesimpulan Anwar tidak layak pimpin reformasi.
Kalau Anwar diakui tokoh karismatik, kenapa penulis menyimpulkan tidak layak pimpin reformasi ?
Mungkin penulis lebih mengetahui,berdasarkan pemerhatian dan kajiannya sebelum ini.
Jika dahulu, Ahmad Lutfi membuat kesimpulan Anwar tidak layak pimpin reformasi, adakah sekarang penulis masih tidak bersetuju Anwar jadi Perdana Menteri ?
Amat menarik kedua-dua persoalan ini. Barangkali Ahmad Lutfi dari dulu hingga sekarang tahu jawapannya…
Anwaribrahimdotcom16 Jun 2008

Monday, June 16, 2008

Menangani masalah rakyat secara hikmah

MASIH lagi cerita mengenai minyak. Seperti yang dijangka, rentetan kenaikan harga 'emas hitam' itu membawa pelbagai kesan. Tidak perlu dibincangkan lagi. Tetapi itulah hakikatnya. Suka atau tidak terpaksa diterima. Kehidupan mesti diteruskan. Terimalah realiti, tidak seharusnya kita mengimpikan yang indah-indah hanya dengan kata-kata dan janji-janji kosong. Tindakan mengadakan pelbagai bantahan atau demonstrasi tidak mampu menyelesaikan masalah. Satu hari nanti, minyak akan habis juga. Apa yang penting ialah mencari jalan yang sebaik mungkin bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dan negara tidak mengalami masalah.

Seperti kata Tengku Razaleigh Hamzah kelmarin, negara boleh bankrap sekiranya kerajaan secara berterusan memberikan subsidi minyak kepada rakyat untuk mengimbangi kenaikan harga minyak dunia. Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh Petronas dan dengan kadar pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari pada masa kini, Ku Li berpendapat, simpanan minyak dan gas negara mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan negara dalam tempoh lima tahun lagi.

Malaysia selepas itu, terpaksa menanggung kos yang tinggi dan bergantung sepenuhnya dengan import minyak dari negara luar untuk menampung kegunaan negara. Sekarang pun kita dah import dari Arab Saudi kerana hasil minyak dari perut bumi di negara ini termasuk di Terengganu tidak sesuai untuk keperluan kita seperti tar dan diesel. Kita terpaksa menapisnya terlebih dahulu di Singapura sebelum membawanya masuk ke Malaysia. Begitulah pandangan Ku Li.

Berdasarkan kenyataan itu jelaslah, harga minyak boleh meningkat lagi tidak kira siapa yang menjadi pemimpin. Bagaimanapun kerajaan sudah memberi jaminan, tidak ada lagi kenaikan. Tetapi selama mana kita mampu bertahan? Jika ditakdirkan naik lagi, apa yang hendak dilakukan oleh rakyat dan kerajaan?


Banyak pandangandan bercakap mengenai kesan kepada rakyat, banyak pandangan dilontarkan termasuk oleh orang politik. Terserahlah kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya supaya langkah yang diambil dapat melegakan rakyat. Antara cadangan yang sampai kepada penulis ialah mengurangkan cukai pendapatan. Tidak perlu menunggu sehingga belanjawan akan datang. Sebaliknya ambillah tindakan mulai sekarang kerana setiap bulan ramai yang terpaksa membuat potongan cukai berjadual (PCB).


Bukan bermakna menghapuskan terus PCB sebaliknya buatlah pemotongan yang sewajarnya. Walaupun PCB dipotong sekadar 10 peratus, ia dapat membantu golongan pekerja sekurang-kurangnya menampung kenaikan tambang bas sekolah dan kenaikan harga makanan di kantin sekolah. Mungkin dengan tindakan itu, wang bulanan untuk orang tua di kampung tidak tergelincir. Ini juga perlu diberi perhatian kerana ia berkait juga dengan politik - hubungan anak di bandar dengan ibu bapa di kampung.


Ada yang mengeluh selain PCB, cukai tertunggak cukai juga terpaksa dipotong. Maknanya dalam satu bulan dua potongan diambil sekaligus. Malahan mereka yang membuat potongan zakat fitrah masih dikenakan PCB. Kenapa tidak diberi pilihan? Pemotongan caruman KWSP juga mungkin boleh dikurangkan bagi 'menambah' pendapatan pekerja.

Begitu juga dengan sistem pengangkutan awam. Pengalaman menaiki komuter sememangnya amat menarik kerana ia lebih cepat dan jimat tetapi khidmat pengangkutan sokongan antara stesen ke tempat yang hendak dituju amat mendukacitakan. Malahan hampir tidak ada. Kekurangan tempat letak kereta di stesen-stesen komuter juga menjadi rungutan. Ada juga stesen yang kedudukannya di tempat sunyi, menakutkan pengguna untuk meletak kereta dan penumpang berjalan kaki. Mungkin stesen baru boleh dibuka bagi mengatasi kesesakan yang ada.


Contohnya laluan antara KL Sentral ke Seremban. Satu kawasan yang kepadatan penduduknya tinggi ialah antara Bandar Seri Putra ke Bukit Mahkota. Di sini ramai yang bekerja di KL atau Seremban. Mereka perlu melalui jalan bertol atau jalan lama yang berbahaya tetapi tidak ada pilihan kerana stesen terhampir bagi penduduk di sini ialah Bangi yang dianggap terpencil. Maka ada yang mencadangkan supaya satu stesen baru diwujudkan antara stesen Bangi dan Batang Benar. Masih ada kawasan di tepi landasan komuter. Ini antara usaha untuk memantapkan sistem pengangkutan awam.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu memberi perhatian untuk menambah koc kerana ketika ini, komuter ibarat bas mini.


Di dalamnya bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak atau berlaku gangguan perjalanan. Sebenarnya, bukan sekadar komuter malahan bas dan transit aliran ringan (LRT) juga sama. Sistem yang tidak cekap menyebabkan pengguna bosan. Maka ketika kerajaan menggalakkan rakyat mengubah gaya hidup dengan menggunakan pengangkutan awam tetapi hakikatnya sistem yang ada amat buruk.


Akhirnya, seruan kerajaan dipandang sinis. Ada yang berkata, mereka boleh naik LRT, komuter atau ERL tetapi mereka tidak ada pemandu yang sedia menanti di stesen berikutnya untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju.

Sunday, June 15, 2008

Ubah sikap dalam kepayahan

TIDAK dinafikan kehidupan pada era harga minyak dunia yang melambung sememangnya memeritkan. Namun kita masih mempunyai pilihan sama ada untuk bergerak ke arah perubahan ataupun sebaliknya. Apa yang jelas, segala-galanya tidak lagi semudah seperti mana sebelumnya.

Barang keperluan bertambah mahal dan keperitan menanggung kos sara hidup yang tinggi mulai menyelinap, semuanya gara-gara permintaan yang tinggi terhadap komoditi emas hitam di pasaran dunia dan kegilaan para spekulator mengejar untung segera ketika dunia terus berdebat untuk mencari punca yang sebenar kenaikan.

Sememangnya tiada siapa pun sukakan perubahan yang berlaku secara mendadak setelah bertahun-tahun menikmati keselesaan tetapi kita terpaksa beralih juga daripada kehidupan yang 'menyenangkan' kepada kepayahan kerana perkara itu adalah lumrah dalam alam ini.
Dan, keperitan yang dirasakan ini, dikhuatiri hanyalah merupakan satu permulaan terutamanya ketika terdapat ramalan bahawa minyak mentah dunia akan meningkat ke paras AS$150-AS$200 setong dalam jangka terdekat.

Harga minyak telahpun melonjak mencapai paras tertinggi baru kepada AS$139 setong pada minggu lalu berbanding AS$55 setong tiga tahun lalu.

Pakar strategis tenaga firma terkemuka dunia Goldman Sach, Argun Murti yang sebelum ini berjaya meramalkan dengan tepat bahawa harga minyak akan melepasi AS$100 setong, mengunjurkan harga minyak mentah boleh melonjak sehingga AS$200 setong kurang daripada enam bulan lagi hingga 24 bulan.

Tidak sukar untuk dibayangkan keperitan yang bakal ditanggung sekiranya harga minyak mentah mencapai paras itu kerana pada masa ini, ramai di antara kita telah merasai bahangnya. Dan, ternyata keadaan yang ada tidak sama sekali menyenangkan.

Sekiranya benar apa yang diramalkan berlaku, harga petrol dan diesel yang kini dijual pada harga RM2.70 dan RM2.58 seliter berdasarkan harga minyak di pasaran dunia sebanyak AS$125 setong, bakal berada pada paras lebih tinggi dan kerajaan mungkin tidak mampu lagi untuk memberikan sebarang subsidi biarpun sebanyak 30 sen seperti mana sekarang.

Sehubungan itu, tindakan kerajaan mengumumkan bahawa harga minyak petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini merupakan satu langkah besar dan menyukarkan jika dilihat pada unjuran bahawa kemelut harga minyak mentah dunia belum selesai.

Cabaran yang besar dan berat dalam menangani isu kenaikan harga minyak diakui oleh Menteri kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: ''Apa yang berlaku adalah di luar kawalan'. Kerajaan tidak mampu untuk menentukan apa yang boleh dan akan berlaku kerana segala-galanya dipengaruhi faktor luaran.

KepentinganNamun begitu, tindakan demi tindakan diambil untuk faedah rakyat yang mana melebihi kepentingan untuk mencari populariti politik. Bersandar hakikat itu, kerajaan, terpaksa membuat perubahan iaitu melakukan tindakan yang sukar dan tidak disukai rakyat dengan mengurangkan subsidi minyak, sehingga menyaksikan harga bahan api di pam stesen minyak meningkat sebanyak 78 sen berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, kerajaan juga mengumumkan kenaikan tarif elektrik termasuk 18 peratus untuk rumah kediaman.

Kita harus memahami bahawa peningkatan harga minyak dunia bermakna lebih banyak wang kerajaan terpaksa dibelanjakan untuk menanggung subsidi dan sekali gus bakal mengurangkan kantung kewangan negara. Ia juga mengundang risiko bahawa bajet defisit yang diunjurkan sebanyak 3.2 peratus pada tahun ini, boleh meningkat.

Kegagalan menaikkan subsidi minyak akan menyebabkan ekonomi negara terjejas kerana kerajaan tidak lagi mempunyai dana untuk dibelanjakan bagi menguruskan negara ini apatah lagi peruntukan untuk mengadakan pembangunan yang boleh memberikan keselesaan kepada rakyat.

Begitu juga nasibnya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat utiliti tempatan yang diamanahkan untuk menghidupkan setiap lampu di rumah-rumah kediaman dan menjana tenaga sektor ekonomi seluruh negara. Peningkatan tarif yang diumumkan itu sebenarnya belum dapat menyelesaikan masalah kewangan dihadapi akibat kenaikan harga minyak dunia yang menjadikan kos untuk menjana tenaga elektrik menjadi lebih mahal.

Sudah pastinya kita tidak bersedia untuk tinggal di rumah yang bergelap atau sering kali terganggu bekalannya apabila syarikat itu di sebalik diuar-uarkan untung berbilion- bilion ringgit sebenarnya masih menanggung kos operasi yang jauh lebih tinggi kerana bahan mentahnya diperoleh dari luar. Malah, secekap manapun syarikat itu diuruskan, faktor luaran selain harga minyak dunia masih lagi mempengaruhi perjalanan operasi, sekali gus menurunkan aliran pergerakan graf keuntungannya.
Kita tidak boleh mengharapkan dana daripada Petronas, syarikat minyak negara, untuk menanggung subsidi sepenuhnya kerana segala-galanya mempunyai hadnya, lagipun Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak kerana menjelang 2014 jumlah penggunaan dijangka akan mengatasi bekalan. Ini bermakna minyak luar terpaksa dibeli pada harga yang mahal untuk kegunaan rakyat tempatan.

Selain itu, syarikat minyak negara juga berdepan dengan peningkatan kos yang tinggi di luar kawalan dan juga ketiadaan lagi telaga-telaga minyak yang besar untuk diterokai tetapi sebaliknya telaga yang kecil dan jauh ke dalam perut bumi yang mana hasil dan kos untuk mencari gali jauh tidak menguntungkan. Pada tahun ini, Petronas telah menyumbang RM55.7 bilion untuk Kerajaan Persekutuan dan RM6.2 bilion untuk kerajaan negeri.

Sehubungan itu, kita harus menerima hakikat bahawa Petronas tidak boleh menyerahkan semua hasil kewangan kepada kerajaan tetapi menggunakan sebahagian untuk membeli syarikat minyak asing dan juga menerokai telaga minyak baru di luar negara secara usaha sama supaya hasil minyak negara meningkat dan digunakan untuk membangunkan negara.

Segala sumber syarikat minyak negara tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya atau dibelanja untuk sesuka hati.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengambil kira kepentingan generasi dalam setiap tindakannya. Sememangnya tidaklah bertanggungjawab sekiranya kerajaan menyebut segala hasil minyak untuk kepentingan rakyat yang ada sekarang dan membiarkan generasi dan juga kerajaan yang ada kemudiannya merana akibat ketiadaan sumber kewangan.

MundurMungkin patut kita bertanya pada diri sendiri sama ada kita sanggup melihat anak cucu kita merasai atau menanggung keperitan yang jauh lebih besar dan negara menyaksikan pembangunannya jauh lebih mundur.

Malah, tidak dinafikan Malaysia yang sepanjang kemerdekaannya tidak pernah meminta bantuan kewangan luar untuk memulihkan ekonomi, mungkin terpaksa berbuat demikian sekiranya kerajaan meneruskan pemberian subsidi hanya untuk menjaga hati dan kekal popular.

Sehubungan itu, kita tidak boleh menangani isu yang ada di hadapan kita dengan hanya melihat kepada penyelesaian jangka pendek. Ini sekali gus bermakna kita perlu bersama-sama memberikan sokongan ke arah menjayakan apa yang dilakukan untuk mengharungi keperitan yang ada.

Ekonomi negara tidak akan sentiasa berkembang pesat tetapi apa yang pasti tanpa pengurangan subsidi minyak dan tanpa melakukan apa-apa tindakan, kadar defisit bajet akan meningkat jauh lebih tinggi melepasi paras enam peratus yang dicapai pada krisis kewangan 1997/98. Perkembangan ini tidak baik untuk negara kerana sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi dunia, Malaysia akan terjerumus sama dan menyukarkan dirinya untuk kembali pulih.

Seperti mana kata Nor Mohamed sebelum ini, langkah kerajaan mengurangkan kadar defisit bertujuan membolehkan negara mempunyai keanjalan dalam menangani masalah kewangan ketika berada dalam krisis terutamanya dunia kini dilihat berada di ambang kemelesetan berikutan krisis subprima yang berlanjutan dan juga krisis makanan serta bahan api yang tiada penghujungnya.

Biar apa pendapat yang kita ada mungkin sepatutnya kita mempunyai prasangka baik bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukanlah bertujuan menyusahkan rakyat, ini jelas apabila keperluan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana masih diambil kira. Mungkin apa yang tidak menyenangkan rakyat adalah cara pelaksanaan atau masalah kenaikan minyak ditangani.

Niat baik kerajaan itu dapat dilihat apabila subsidi masih lagi diberikan untuk dinikmati rakyat negara ini. Contohnya, kerajaan memberikan rebat tunai sebanyak RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2,000cc yang berjumlah RM5 bilion kesemuanya bukanlah satu jumlah yang kecil selain meningkatkan jumlah subsidi untuk makanan.

Sebenarnya kerajaan boleh bertindak menaikkan harga minyak sesuka hati tanpa mempedulikan perasaan rakyat tetapi parti pemerintah menyedari tentang keperitan yang ada dan mengharapkan tindakannya difahami dan disokong. Tindakan yang diambil bukanlah sesuatu yang mudah, tanpa sokongan rakyat baik apa juga kaum atau parti politik yang disertai, kerajaan boleh tumbang dan negara boleh menjadi papa kedana seperti mana di sesetengah negara dunia.

Kebangkitan anti kerajaan kini dapat kita lihat di sesetengah negara seperti Indonesia dan juga India berikutan tindakan pemerintahnya mengurangkan subsidi minyak yang dinikmati sekian lama dan kemelut seumpama itu dilihat tidak akan mempunyai kesudahan selagi harga minyak mentah dunia melonjak tinggi. Kegagalan untuk menerima perubahan yang berlaku boleh menyebabkan kemajuan negara boleh berakhir dengan kemusnahan.

Sehubungan itu, perubahan sikap perlu dilakukan semua orang dalam menyesuaikan diri kepada sebarang perkembangan yang ada dalam memastikan negara ini akan tetap teguh berdiri supaya kemakmuran terus dinikmati oleh anak dan cucu cicit kita seperti mana cogan kata 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Saturday, June 14, 2008

Sebuah parti komponen dijangka keluar BN - Ku Li

Adakah SAPP atau PBS?
MENTAKAB 14 Jun - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.
Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar daripada BN itu.
"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik.
Sementara itu, beliau secara terbuka menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gandingan paling sesuai baginya untuk bertanding pada pemilihan UMNO Disember ini.
Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada pemilihan itu bagaimanapun menjelaskan, keputusan muktamad untuk menentukan siapa regu terbaiknya akan tetap mengambil kira kehendak majoriti ahli parti sendiri.
''Pilihlah sesiapa sahaja untuk jadi timbalan saya tetapi Datuk Seri Najib lebih sesuai kerana beliau pernah bekerja dengan saya sebelum ini," katanya.