Monday, June 16, 2008

Menangani masalah rakyat secara hikmah

MASIH lagi cerita mengenai minyak. Seperti yang dijangka, rentetan kenaikan harga 'emas hitam' itu membawa pelbagai kesan. Tidak perlu dibincangkan lagi. Tetapi itulah hakikatnya. Suka atau tidak terpaksa diterima. Kehidupan mesti diteruskan. Terimalah realiti, tidak seharusnya kita mengimpikan yang indah-indah hanya dengan kata-kata dan janji-janji kosong. Tindakan mengadakan pelbagai bantahan atau demonstrasi tidak mampu menyelesaikan masalah. Satu hari nanti, minyak akan habis juga. Apa yang penting ialah mencari jalan yang sebaik mungkin bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dan negara tidak mengalami masalah.

Seperti kata Tengku Razaleigh Hamzah kelmarin, negara boleh bankrap sekiranya kerajaan secara berterusan memberikan subsidi minyak kepada rakyat untuk mengimbangi kenaikan harga minyak dunia. Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh Petronas dan dengan kadar pengeluaran sebanyak 600,000 tong sehari pada masa kini, Ku Li berpendapat, simpanan minyak dan gas negara mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan negara dalam tempoh lima tahun lagi.

Malaysia selepas itu, terpaksa menanggung kos yang tinggi dan bergantung sepenuhnya dengan import minyak dari negara luar untuk menampung kegunaan negara. Sekarang pun kita dah import dari Arab Saudi kerana hasil minyak dari perut bumi di negara ini termasuk di Terengganu tidak sesuai untuk keperluan kita seperti tar dan diesel. Kita terpaksa menapisnya terlebih dahulu di Singapura sebelum membawanya masuk ke Malaysia. Begitulah pandangan Ku Li.

Berdasarkan kenyataan itu jelaslah, harga minyak boleh meningkat lagi tidak kira siapa yang menjadi pemimpin. Bagaimanapun kerajaan sudah memberi jaminan, tidak ada lagi kenaikan. Tetapi selama mana kita mampu bertahan? Jika ditakdirkan naik lagi, apa yang hendak dilakukan oleh rakyat dan kerajaan?


Banyak pandangandan bercakap mengenai kesan kepada rakyat, banyak pandangan dilontarkan termasuk oleh orang politik. Terserahlah kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya supaya langkah yang diambil dapat melegakan rakyat. Antara cadangan yang sampai kepada penulis ialah mengurangkan cukai pendapatan. Tidak perlu menunggu sehingga belanjawan akan datang. Sebaliknya ambillah tindakan mulai sekarang kerana setiap bulan ramai yang terpaksa membuat potongan cukai berjadual (PCB).


Bukan bermakna menghapuskan terus PCB sebaliknya buatlah pemotongan yang sewajarnya. Walaupun PCB dipotong sekadar 10 peratus, ia dapat membantu golongan pekerja sekurang-kurangnya menampung kenaikan tambang bas sekolah dan kenaikan harga makanan di kantin sekolah. Mungkin dengan tindakan itu, wang bulanan untuk orang tua di kampung tidak tergelincir. Ini juga perlu diberi perhatian kerana ia berkait juga dengan politik - hubungan anak di bandar dengan ibu bapa di kampung.


Ada yang mengeluh selain PCB, cukai tertunggak cukai juga terpaksa dipotong. Maknanya dalam satu bulan dua potongan diambil sekaligus. Malahan mereka yang membuat potongan zakat fitrah masih dikenakan PCB. Kenapa tidak diberi pilihan? Pemotongan caruman KWSP juga mungkin boleh dikurangkan bagi 'menambah' pendapatan pekerja.

Begitu juga dengan sistem pengangkutan awam. Pengalaman menaiki komuter sememangnya amat menarik kerana ia lebih cepat dan jimat tetapi khidmat pengangkutan sokongan antara stesen ke tempat yang hendak dituju amat mendukacitakan. Malahan hampir tidak ada. Kekurangan tempat letak kereta di stesen-stesen komuter juga menjadi rungutan. Ada juga stesen yang kedudukannya di tempat sunyi, menakutkan pengguna untuk meletak kereta dan penumpang berjalan kaki. Mungkin stesen baru boleh dibuka bagi mengatasi kesesakan yang ada.


Contohnya laluan antara KL Sentral ke Seremban. Satu kawasan yang kepadatan penduduknya tinggi ialah antara Bandar Seri Putra ke Bukit Mahkota. Di sini ramai yang bekerja di KL atau Seremban. Mereka perlu melalui jalan bertol atau jalan lama yang berbahaya tetapi tidak ada pilihan kerana stesen terhampir bagi penduduk di sini ialah Bangi yang dianggap terpencil. Maka ada yang mencadangkan supaya satu stesen baru diwujudkan antara stesen Bangi dan Batang Benar. Masih ada kawasan di tepi landasan komuter. Ini antara usaha untuk memantapkan sistem pengangkutan awam.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu memberi perhatian untuk menambah koc kerana ketika ini, komuter ibarat bas mini.


Di dalamnya bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak atau berlaku gangguan perjalanan. Sebenarnya, bukan sekadar komuter malahan bas dan transit aliran ringan (LRT) juga sama. Sistem yang tidak cekap menyebabkan pengguna bosan. Maka ketika kerajaan menggalakkan rakyat mengubah gaya hidup dengan menggunakan pengangkutan awam tetapi hakikatnya sistem yang ada amat buruk.


Akhirnya, seruan kerajaan dipandang sinis. Ada yang berkata, mereka boleh naik LRT, komuter atau ERL tetapi mereka tidak ada pemandu yang sedia menanti di stesen berikutnya untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju.