Jika dilihat dengan kanta yang lebih mendalam, tema utama dalam senario politik semasa ini pula ialah bagaimana dasar-dasar populis yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat begitu releven dan dekat di hati rakyat.
Namun sebagai rakyat yang rasional, kita perlu bertanya; adakah cadangan-cadangan yang dilemparkan ini berdasarkan fakta yang sahih atau hanya sebagai peluru politik yang digunakan untuk memenangi hati rakyat.
Rakyat rasional yang sudah jelak dengan politik ingin melihat dasar yang benar-benar boleh membantu dan bukan hanya bersifat populis. Sebagai contoh, dasar pembangunan modal insan yang sudah sekian lama menjadi teras pembangunan di bawah pentadbiran Dato’ Sri Abdullah Badawi merupakan satu dasar yang perlu diberi sokongan yang padu. Pengenalan dan pemberian fokus kepada teras ini merupakan bukti bahawa dasar Kerajaan sentiasa mementingkan pembangunan rakyat.
Jika kita lihat dengan kanta rasional, belanjawan tahun ini memenuhi kehendak rakyat dari aspek pembangunan modal insan. Ini terbukti dengan apabila sejumlah RM47.7 bilion ringgit, atau hampir 23 peratus daripada Bajet, diperuntukkan untuk pendidikan dan latihan.
Belanjawan yang merangkumi insentif untuk latihan dan pembangunan insan peri penting dalam membolehkan negara kita melangkah setapak lagi ke hadapan. Sejumlah RM2.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi mempertingkatkan kemudahan serta menjalankan program latihan dan kemahiran. Di dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan pancaroba globalisasi ini, kita perlu akur bahawa kekayaan sumber tidak mapan dan akhirnya, modal insan jugalah yang berperanan membantu warga Malaysia melangkah untuk kemajuan.
Dilihat Kerajaan telah mengenalpasti kerjaya yang mempunyai permintaan yang tinggi tetapi kurang pendedahan dan penyertaan. Insentif ini akan menjadi pemangkin untuk anak-anak muda kita menjurus ke dalam ruang yang lmayan ini. Sebagai contoh, latihan terkini untuk kerjaya sebagai jururawat, jurutera aranotik, pakar IT amat dialu-alukan.
Jika Pakatan Rakyat menunding jari kearah Kerajaan kerana tidak mementingkan pendidikan untuk anak bangsa, bagaimana mereka mahu menjelaskan peruntukan RM31 bilion yang diberi kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk 5.8 juta pelajar tanpa mengira kaum? Tambahan pula, bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan RM14.1 bilion disediakan untuk Kementerian Pengajian Tinggi.
Sebenarnya, insiatif seperti inilah yang diperlukan bagi memudahkan kehidupan rakyat taktala negara dilanda kesempitan global ini.
Pembangunan modal insan boleh diumpamakan sebagai pelaburan yang dibuat untuk mengaut keuntungan pada masa hadapan. Inilah lunas-lunas perjuangan Kerajaan yang ada pada hari ini, bukan dasar jangkamasa pendek yang dapat menyenangkan rakyat hanya untuk hari ini, tetapi untuk memastikan warga Malaysia dapat bertanding di gelanggang sama rata pada masa hadapan.