Monday, March 29, 2010

'Bahtera' siapa semakin bocor?


BEBERAPA minggu lalu, ketika ditanya oleh wartawan apakah mungkin akan berlaku penggabungan Pas ke dalam Barisan Nasional (BN), Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak akan menaiki kapal yang bocor.

Maksud beliau, BN kini dalam masalah, oleh itu adalah lebih baik jika Pas terus kekal 'sekapal' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang.

Tetapi kini mungkin Abdul Hadi akan terfikir semula kapal siapakah yang bocor, BN atau pembangkang? Ia memandangkan 'kebocoran' yang berlaku dalam 'kapal' milik PKR semakin serius, jika tersilap langkah, ia akan menyebabkan keseluruhan 'kapal' pembangkang tenggelam.

Sehari demi sehari ada sahaja 'anak kapal' PKR meninggalkan 'bahtera' pembangkang. Mereka tidak mahu lagi bersekongkol dengan 'nakhoda' apatah lagi 'kapal' yang hanya membawa arus yang boleh merosakkan kehidupan rakyat.

Itulah senario yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang, apabila parti yang menjadi nakhoda mereka 'dihempas' gelombang penghijrahan Ahli-ahli Parlimennya.

Apa yang berlaku membuktikan PKR yang muncul di samudera politik negara semata- mata untuk menakluk sebuah kekuasaan semakin kehilangan kekuatan dan arah tuju.

Seorang demi seorang ahli Parlimen yang meninggalkan 'kapal' PKR mendedahkan satu demi satu kepincangan yang berlaku terutamanya mengenai sikap kepimpinan parti.

Mereka mulai sedar bahawa pengorbanan yang dilakukan hanyalah sia-sia apabila 'nakhoda' PKR mahu menguasai segala-galanya dan demi kuasa sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat menjadi pemimpin utama negara tercapai.

Malah 'nakhoda' PKR juga sanggup bertukar watak dan wajah sehingga mampu memperdayakan semua orang sama ada musuh atau kawan.

Justeru ahli-ahli Parlimen PKR yang keluar menjadi wakil rakyat bebas ini tidak mahu terus bersekongkol dengan 'nakhoda' seumpama itu. Demi kepentingan bangsa, agama dan negara mereka terpaksa membuat keputusan yang cukup berat, biar pun akan didakwa kononnya mengkhianati amanah rakyat.

Jika Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng keluar parti kerana tidak mampu lagi bertolak ansur dengan sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan terlalu tunduk kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, keputusan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri dilihat lebih mengancam.

''Saya sangat khuatir dengan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan pakatan pembangkang khususnya di Perak termasuk menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap institusi raja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar bagi menyerang kedaulatan negara.''

Itulah hujah Mohsin Fadzli yang sekali gus boleh diibarat mewakili seluruh rakyat terutamanya orang Melayu yang sememangnya tidak senang dengan tindakan Anwar, PKR dan DAP selama ini dalam perkara-perkara beliau nyatakan.

Kenyataan Mohsin Fadzli juga secara langsung mendedahkan betapa bahayanya politik menghalalkan cara yang dilakukan oleh PKR dan DAP. Justeru seperti mana kata beliau, ''Perkara ini sudah sampai ke tahap yang saya tidak lagi boleh bertolak-ansur dan mengambil sikap mendiamkan diri.''

Dalam usia mencecah 65 tahun, langkah Mohsin Fadzli meninggalkan PKR boleh dianggap satu tindakan bagi mengelakkan beliau terus bersekutu dengan mereka yang bersikap terlalu gelojoh apabila mendapat kuasa.

''Sedikit kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah pada 8 Mac 2008 bukannya digunakan untuk memantapkan perjuangan untuk umat, rakyat dan agama, sebaliknya menjadi medan politik 'ghonimah' (membahagikan harta rampasan perang),'' kata Mohsin Fadzli.

Mungkin selepas ini kita pasti akan mendengar pelbagai tuduhan PKR kepada Mohsin Fadzli, seolah-olah mereka yang bertindak keluar daripada parti itu tidak berguna sama sekali dan yang setia dengan parti berkenaan ibarat 'suci dalam debu'.

PKR boleh membuat apa juga dakwaan dan tuduhan kepada ahli-ahli Parlimen yang meninggalkan 'kapal' pakatan pembangkang tetapi mereka tidak akan boleh selama-lamanya menyembunyikan fakta.

Apa yang berlaku di dalam PKR juga menjadi bukti bahawa keangkuhan dan keburukan parti itu yang selama ini berjaya disembunyikan melalui 'lakonan hebat' pemimpin-pemimpinnya akan diketahui oleh rakyat.

Dalam pilihan raya umum lalu, sebahagian besar rakyat begitu percaya dengan pakatan pembangkang, oleh kerana ketika itu BN dilihat tidak menunaikan janji, maka kehadiran pembangkang dilihat sebagai alternatif.

Tetapi kini rakyat sudah mengetahui tembelang sebenar pembangkang. Mereka mempunyai seribu satu kelemahan dan kepincangan, malah lebih buruk lagi segala janji yang ditaburkan kepada rakyat dalam pilihan raya umum lalu hanyalah janji-janji palsu.

Keadaan inilah juga yang mendorong ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti, mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada gerombolan yang mengkucar-kacirkan negara dan memperdayakan rakyat melalui retorik politik.

Pemimpin-pemimpin yang masih berada dalam PKR dan cuba meneruskan 'pelayaran' ke 'pelabuhan' merebut kuasa perlu sedar bahawa mereka selama-lamanya tidak boleh mempermainkan rakyat.

Kebenaran tetap kebenaran, ia tetap akan muncul biarpun ia cuba dilindungi dengan fitnah dan tohmahan kepada mereka yang berusaha menegakkannya.

Pas mungkin menganggap 'kapal' BN sudah bocor tetapi, mereka perlu ingat bahawa 'kapal' pembangkang sudah retak menanti belah. Jika tersilap langkah 'kapal' berkenaan akan karam dan sekali gus turut menghanyutkan Pas bersama-sama.

Parti itu perlu memahami bahawa mereka yang meninggalkan PKR bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka adalah terdiri daripada insan-insan yang sebelum ini dilihat begitu setia dengan perjuangan Anwar dan PKR.

Latar belakang mereka bersama PKR sudah menjadi bukti bahawa mereka suatu ketika dahulu adalah pejuang setia parti tersebut dan kawan baik kepada Anwar. Tetapi seperti mana kata Mohsin Fadzli, ''Hubungan akrab dan peribadi tidak boleh menjadikan satu alasan untuk mengetepikan akidah dan prinsip perjuangan yang saya yakini.''

Semoga pesanan ini difahami oleh sebahagian lagi pemimpin pembangkang termasuk daripada Pas yang masih melihat rakan mereka itu (PKR) sempurna segala-galanya.




Bookmark and Share