Monday, January 17, 2011

Pembangkang Patut Malu, Janji Lama Tak Tunai Ini Pula Pelan 100 Hari



Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek menyelar pakatan pembangkang yang tidak berasa malu apabila mengutarakan Pelan 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Katanya, manifesto mereka pada PRU-12 pun tidak ditunaikan tetapi sekarang mereka mahu menyajikan janji-janji lain pula.

“Pembangkang patut sedar bahawa janji-janji mereka yang diutarakan dalam PRU-12 adalah satu akujanji yang termetrai antara para pengundi dengan mereka sekiranya mereka menang dalam PRU, justeru akujanji tersebut perlu dilaksanakan kerana rakyat membuat penilaian atas apa yang berlaku,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau lagi, sewajarnya pemimpin-pemimpin pembangkang yang bijak berkata-kata ini memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan janji-janji lama yang gagal ditunaikan dan bukan mengaburi rakyat dengan kata-kata manis yang baru pula.

“Mereka (pakatan pembangkang) seharusnya memohon maaf kepada rakyat khususnya pengundi-pengundi yang telah memberi mandapt kepada mereka untuk mentadbir dan mempunyai kuasa politik kerana rakyat bukanlah patung yang tidak bernyawa.”

"Pembangkang telah melakukan satu penganiayaan kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka sedangkan sebelum ini rakyat dijanjikan pelbagai tawaran, imbuhan, hadiah dan macam-macam lagi"

Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata demikian ketika mengulas berkaitan Pelan 100 hari pakatan pembangkang yang dikecam oleh kerajaan sebagai amat populis dan tidak berpaksi di bumi nyata.

“Pembangkang telah melakukan satu penganiayaan kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada mereka sedangkan sebelum ini rakyat dijanjikan pelbagai tawaran, imbuhan, hadiah dan macam-macam lagi.

“Samalah seperti kononnya mahu menawan Putrajaya pada 16 September tapi lihatlah sudah berapa kali September berlalu namun kerajaan Barisan Nasional (BN) makin kukuh sedangkan pakatan pembangkang pula yang kucar-kacir,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, PKR, Dap dan Pas yang membentuk pakatan atas satu nama mengeluarkan satu kenyataan baru dalam usaha mereka untuk mengekalkan populariti dan mengaburkan pengundi.

“Rakyat yang mengundi pembangkang pada PRU lalu hauskan janji-janji yang sebelum ini dilaungkan oleh para pemimpin mereka ketika meraih perhatian untuk mendapatkan kuasa pada PRU lalu tetapi apa yang diberikan oleh pembangkang kepada para pengundinya?”

Bulan lalu, pakatan pembangkang mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari yang antaranya menjanjikan penghapusan kutipan tol di semua lebuh raya di negara ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti selain merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.- MediaUMNO






Bookmark and Share