Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) yang kebanyakan anggotanya bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan turun padang membantu Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Presidennya, Ramlan Abu Bakar berkata, penampilan pertama kali pertubuhan itu membantu kempen BN bertujuan mendedahkan kepada rakyat tentang muslihat sebenar perjuangan pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, PKR dan DAP.
Menurutnya, banyak kepincangan dalam pakatan pembangkang yang selama ini tidak diketahui oleh rakyat termasuk amalan rasuah di kalangan para pemimpinnya.
"Dulu memang kami membantu perjuangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi beliau lebih cenderung pada kepentingan peribadi.
"Sekarang kami tidak mahu berkompromi dengan Anwar dan pembangkang dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Reformis sebelum ini pernah menggemparkan Selangor apabila mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi bogel di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.
Tindakan itu dibuat kerana tidak berpuas hati setelah tuntutan mereka supaya kadar kenaikan sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dikaji semula, ditolak oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ramlan memberitahu, ahli-ahli Reformis akan mula membantu kempen selepas hari penamaan calon sehingga tarikh mengundi 11 Oktober ini.
Katanya, ahli-ahli Reformis yang terlibat akan datang dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan