KUALA LUMPUR: Penambahan ahli baru, peningkatan jumlah pendaftaran pemilih dan jaminan ahli keluar mengundi adalah antara faktor yang perlu diberi keutamaan untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ketika ini usaha memperbaiki kelemahan berhubung ketiga-tiga faktor itu belum sampai ke tahap dikehendaki.
"Mengikut statistik Januari hingga Jun tahun ini, UMNO hanya berupaya mendaftar 13,125 ahli, dan BN keseluruhan pula hanya 14,768 ahli, sedangkan DAP sahaja berjaya mendaftar 10,693 ahli dan keseluruhan parti pembangkang sebanyak 18,129 ahli."
Seakan kelihatan belum ada keperluan bertindak segera, semangat ketergesaan untuk ingin mengekalkan kuasa dan merampas kuasa dari negeri-negeri yang kita kalah (dalam pilihan raya umum lalu). Ini yang membimbangkan saya," katanya
ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, selepas proses pemutihan keahlian UMNO, seramai 700,000 anggota didapati tidak mengundi pada pilihan raya umum lepas hingga menyebabkan calon UMNO tewas tipis kepada parti pembangkang seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan DUN Pantai Merdeka, masing-masing di Kedah.
UMNO kini mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli.
Mohd Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Ahli Umno, berkata bagi memperkukuhkan kuasa, selain mendekati kaum bukan Melayu, UMNO perlu menghayati keperluan rakyat serta menolak sikap berpuak-puak.
Beliau mengingatkan orang Melayu supaya jangan leka kerana hak yang terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata tidak cukup untuk menjamin kejayaan bangsa itu di masa depan.
Katanya, Melayu juga tidak boleh cemburu dengan orang lain yang berjaya dalam perjuangan mereka, sebaliknya harus melihat keupayaan diri sendiri dan meningkatkan daya saing sepertimana digariskan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.
"Apa maknanya kita berjaya bila orang cakap ada tongkatnya. Kita harus berani mencapai kejayaan, berani dan berupaya menguasai ilmu dan bila kita berjaya ia bukan semata-mata kerana hak," katanya. - BERNAMA
UMNO CWGAN Taman Sejahtera Insya-Allah akan melipatgandakan pendaftaran pengundi dan ahli baru UMNO selepas ini.