Thursday, May 29, 2008

Rakyat Selangor dapat hadiah lagi

Kira-kira 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai 'pejuang', di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu 'selimut' dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

Nada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.
Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

"Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.
"Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

"Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina," katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus 'menunaikan janji' dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan.

Saturday, May 17, 2008

HINDRAF: P Uthayakumar is a BIG LIAR

HINDRAF: P Uthayakumar is a BIG LIAR

P Uthayakumar is a liar, a cheat and a coward. If those atrocious allegations were true, where is the proof? Witness testimonials? And to call the Malaysian Government a terrorist Muslim coalition? In a letter to Gordon Brown? Too much la dey! And for what HE DID THAT ? So that Uthayakumar can seek political asylum in the UK where he can pretend he’s English. What a retard. Hello my ministers FU Ah Kiow, Nazri Aziz and Samy V to arrest this P Uthayakumar under the ISA. Cause if anyone deserved the ISA, it would have been this guy right here. I support freedom of speech. I don’t support freedom of lying. And this guy’s a liar. While I respect them for their rights, but I think this is a wrong message. I really think the below words/sentences are not correct: Islamic extremist, ethnic cleansing , crimes against own ethnic minority Indians, armed terrorists.

HINDRAF TIDAK PAHAM SEJARAH MALAYSIA
Pemimpin HINDRAF sebenarnya hanya pandai meniupkan sentimen perkauman dan agama dalam menjadi hero memperjuangkan masyarakat India. Masyarakat Intelek , pemimpin-pemimpin Politik, Agama dan Koprat INDIA menolak sama sekali budaya demonstrasi jalanan dan budaya ugut yang dieksploit oleh pemimpin HINDRAF yang sebenarnya mahu menggunakan platform perjuangannya untuk mendapatkan kerusi politik di parlimen bukan melalui sistem demokrasi iaitu Pilihanraya.
ITU LAH SEBENARNYA MATLAMAT PEMIMPIN HINDRAF..
MEMPERKUDAKAN MASYARAKAT INDIA YANG CINTA KEDAMAIAN DENGAN MENUDUH KERAJAAN GABUNGAN MELAYU/CINA /INDIA/KAUM BUMIPUTERA SABAH DAN SARAWAK MENGAMALKAN DASAR PENGHAPUSAN ETHNIK ( ETHNIC CLEANSING ). KERAJAAN YANG ADA MELINDUNGI ISLAMIC EXTREMIST: SEBENARNYA HINDRAF SENDIRI PELAMPAU PERKAUMAN YANG MELAMPAU .






Sunday, May 11, 2008

Makna pemimpin kuat

MUNGKIN ramai membuat spekulasi mengenai apa maksud Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kepimpinan yang kuat. Adakah ia bermaksud kepimpinan yang ada tidak kuat? Atau bentuk 'kekuatan' seperti yang dikehendaki oleh seorang pemimpin bagi merealisasikan kenyataan Muhyiddin bahawa, ''Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik di samping mampu menambat keyakinan pengundi.''

Sememangnya sejak peralihan kuasa pada 2003, semua barisan kepimpinan UMNO adalah barisan yang kuat, lanjutan itu dalam pilihan raya umum 2004, rakyat memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).

Tetapi malangnya selepas kemenangan itu, barisan kepimpinan UMNO dan BN seolah-olah leka dan ada kalanya dilihat angkuh sehingga meminggirkan suara akar umbi. UMNO dan BN lebih dilihat hanya menumpukan kepada soal 'orang-orang atasan' sedangkan suara rakyat banyak tidak didengari.

Ada ketikanya BN begitu lemah untuk menangani sesuatu isu, biarpun ia melibatkan kepentingan rakyat bawahan, malahan dari segi semasa ke semasa pelbagai pihak mula melakukan tuntutan demi tuntutan yang ada kalanya menjejaskan perpaduan kaum dan ada pula merasakan 'mereka sudah tidak selamat lagi'.

Akhirnya, BN memasuki gelanggang pilihan raya umum dengan pelbagai 'kudis' yang masih gagal diubati sehingga menghumban parti itu ke lembah kekalahan yang tidak pernah dialami. Lebih malang, BN mahupun UMNO tidak lagi dilihat sebagai parti yang digeruni sebaliknya mampu ditewaskan .

Justeru kenyataan Muhyiddin bahawa UMNO memerlukan kepimpinan yang kuat adalah tepat pada masanya. Ini kerana perkembangan politik negara membuktikan bahawa parti itu harus kembali kepada asas perjuangannya iaitu mementingkan suara orang bawahan atau lebih tepat lagi suara akar umbi.

Atas sebab itulah ketika diminta mengulas mengenai kepimpinan yang kuat ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menegaskan, pemimpin yang kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi.

''Maknanya mereka mendapat sokongan dalam apa juga keadaan,'' katanya.

Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.

Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang disandangnya. Tetapi malangnya dalam UMNO atau BN acap kali prasyarat ini diketepikan.
Apabila berada pada kedudukan yang tinggi dalam parti, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang sekeliling dan bukannya mendengar apa kata rakyat.
BosanKesudahannya rakyat atau ahli parti menjadi bosan dan mereka menghukum pemimpin itu dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya dan apabila itu berlaku barulah, kita hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.

Berdasarkan hakikat itu, langkah UMNO menganjurkan majlis Amanat Presiden hari ini wajar kerana ia akan membolehkan semua pemimpin di peringkat bawah dari cawangan hingga ke bahagian mendapat gambaran sebenar berhubung pencapaian buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu.

Tetapi apa yang diharapkan, perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu tidak sekadar kehadiran untuk mendengar sahaja sebaliknya ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan parti kerana mereka juga turut berasa malu dengan apa yang terjadi.

Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak dibenarkan bercakap seperti dikatakan oleh Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir harus dihapuskan.

Ini kerana dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang kuat, UMNO memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu UMNO memperbaiki kelemahan.
Pemimpin-pemimpin UMNO tidak harus cuba menyembunyikan fakta dan menganggap apa yang terjadi dalam pilihan raya umum lalu hanya 'bermusim'. Sebaliknya kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan, tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.

Mulai saat ini, ahli-ahli UMNO perlu berusaha untuk mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat seperti dimaksudkan oleh Muhyiddin. Ini kerana UMNO sekarang sedang berhadapan dengan cabaran yang getir.
Jika UMNO terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi termasuklah tuntutan-tuntutan melampau kaum-kaum lain, ia boleh meletakkan orang Melayu dalam keadaan bahaya.

''Kalau parti-parti komponen lain sudah menyatakan dengan tegas bahawa mereka akan memperjuangkan nasib kaum yang mereka wakili, kenapa UMNO perlu berselindung lagi.

''Kita harus berani dan pemimpin kita harus kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai kita dilihat terus lemah sehingga ia memberi kesempatan kepada orang lain untuk memijak kita,'' kata seorang pemimpin kanan UMNO ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Apa pun sama ada UMNO akan berjaya mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat atau tidak ia bergantung sejauh manakah ahli-ahli UMNO menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih pemimpin dalam pemilihan kali ini.

Mereka perlu memilih pemimpin yang benar-benar berani untuk menyuarakan kebenaran, sentiasa mendengar suara akar umbi dan mempunyai semangat perjuangan UMNO yang tinggi.

Maknanya, ahli-ahli UMNO harus menolak mana-mana calon atau pemimpin yang bertanding dengan menggunakan 'tiket ekspres' bagi menduduki jawatan tertentu dalam parti sama ada di peringkat Majlis Tertinggi (MT), Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ini kerana jika pemimpin dipilih menggunakan laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat bawah.Begitu juga jika ahli UMNO memilih mereka yang dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran kepada parti. Apa yang penting ahli-ahli UMNO yang berhasrat memilih pemimpin yang kuat perlu memahami sentimen rakyat.

Mereka tidak harus menganggap seseorang pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.

Ini bukannya pemilihan yang semata- mata untuk mencari barisan kepimpinan untuk mengendalikan UMNO tetapi lebih penting daripada itu untuk memastikan UMNO sebagai tunjang pemerintahan negara tidak tergugat.

''Kalau UMNO tidak mempunyai barisan kepimpinan yang kuat, saya percaya kita akan mudah diperkotak-katikkan seperti berlaku sekarang apabila pelbagai pihak mula membuat tuntutan kerana mereka merasakan UMNO dan BN kini semakin lemah,'' kata se- orang pemimpin UMNO negeri.

Oleh itu seperti kata Mukhriz, ahli UMNO perlu berani bukan sahaja bersuara malahan membuat keputusan bagi memilih pemimpin.

KeputusanIni kerana kata Mukhriz, keputusan pilihan raya umum lalu sudah jelas membuktikan bahawa rakyat terutamanya golongan muda sudah mula menolak UMNO dan melihat parti itu tidak relevan.
''Kita bimbang jika sentimen ini berterusan kerana dalam pilihan raya umum akan datang 55 peratus pengundi adalah orang muda,'' katanya. Berasaskan kenyataan Mukhriz, ia jelas membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO perlu benar-benar bijak menggunakan kuasa mereka dalam membuat pemilihan pemimpin. Mereka perlu bandingkan barisan kepimpinan dahulu dan sekarang, bagaimana mungkin barisan dahulu lebih dilihat kuat dan teguh berbanding sekarang, rakyat seolah-olah dengan sewenang-wenangnya menolak UMNO dan BN.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Dali Hussein, ahli-ahli UMNO perlu bermuhasabah dan tidak terus bercakaran.

''Ini adalah masa untuk bermuhasabah dan bersatu, bukannya mengeluarkan kenyataan individu yang boleh menjejaskan keutuhan parti,'' katanya.

Kenyataan Dali itu ada kebenarannya kerana melalui muhasabah sahaja segalanya masalah dapat diatasi. Ini juga bermakna, ahli-ahli UMNO harus turut bermuhasabah apakah barisan kepimpinan UMNO yang ada sekarang benar-benar kuat atau dalam pemilihan kali ini mereka juga ingin melakukan 'tsunami' bagi mengubah barisan tersebut.

''Mereka tidak harus takut untuk membuat keputusan. Ini kerana apa yang lebih penting sekarang ialah survival parti bukan individu. Kalau benar seseorang pemimpin itu perlu diganti, ahli-ahli UMNO mesti berani lakukan perubahan.

''Saya bimbang kalau ahli UMNO takut untuk melakukan perubahan dan sekadar beretorik sahaja, rakyat akan menolak kita dalam keadaan lebih teruk dalam pilihan raya umum akan datang,'' kata seorang pemimpin Pemuda.

Apa pun terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukannya dan mereka perlu mengingati kata-kata Muhyiddin bahawa, ''Jika Melayu tidak peka atau menganggap keputusan pilihan raya umum lalu sebagai perkara biasa maka ia jelas satu perbuatan lalai yang akan membawa malapetaka dan bencana yang lebih besar kepada orang Melayu.''

Saturday, May 10, 2008

‘Gelombang pilihan raya 30 sen’

SEORANG guru wanita Melayu di Selangor menangis pada pagi 8 Mac lalu selepas dia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke- 12. Arwah bapanya ialah seorang penyokong setia UMNO, Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad berada di kemuncak popularitinya pada tahun 1990-an, bapa guru itu yang pernah menyaksikan betapa sukarnya pimpinan UMNO terdahulu memperjuangkan kemerdekaan bertepuk tangan apabila mendengar kepetahan Dr. Mahathir berucap di kaca televisyen.


Tetapi pada pagi 8 Mac 2008, air matanya bergenang. Guru wanita itu berasa tertekan kerana dalam pilihan raya itu dia mengundi calon DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu parti yang bukan menjadi pilihan politik dirinya dan arwah bapanya. Dia memberitahu rakan-rakan rapatnya: “Saya sedih, saya menangis dan saya berasa bersalah tetapi saya terpaksa mengundi pembangkang untuk memberikan satu mesej kepada kepimpinan UMNO dan kerajaan.”


Di seluruh negara seminggu lalu, terdapat begitu ramai pengundi seperti guru ini. Di Parlimen Kelana Jaya yang di bawahnya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, ramai pesara Melayu di kawasan itu yang tidak pernah tidak keluar mengundi dalam pilihan raya sejak tahun 1960-an – dan pada setiap kali pilihan raya mereka memangkah lambang dacing – enggan terlibat dalam proses pilihan raya. Seorang pesara berusia 65 tahun di situ memprotes: “Biarlah, biar padan muka.”


Akibatnya, di Parlimen Kelana Jaya, calon PKR, Gwo-Burne Loh, anak muda berusia 33 tahun yang merakamkan video perbualan peguam V.K. Lingam – yang tidak pernah pun ada sekelumit jasa kepada penduduk tempatan di Kelana Jaya – memperoleh 30,298 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lee Hwa Beng yang mendapat 25,267 undi. Undi majoriti Gwo-Burne ialah 5,031. Di peringkat DUN Seri Setia pula, seorang pemuda Melayu berusia 26 tahun daripada PKR menjadi wakil rakyat kawasan itu mengalahkan seorang pemimpin wanita UMNO yang terkenal.


Empat tahun lalu, pada pilihan raya umum 2004, pesara yang kecewa dengan kerajaan itu adalah antara pengundi yang telah memenangkan bekas Ahli Parlimen BN di situ yang mendapat undi majoriti 21,671. Bayangkan, dalam tempoh empat tahun, di Parlimen Kelana Jaya sahaja berlaku penghakisan sokongan terhadap BN yang begitu dahsyat. Wujud swing kira-kira 26,500 pengundi yang beralih daripada menyokong BN kepada menyebelahi PKR pada pilihan raya kali ini.


Malang bagi BN, pilihan raya umum 8 Mac lalu diadakan dalam mood negatif ini yang dirasai oleh guru wanita dan pesara itu serta berjuta-juta lagi rakyat yang selama ini merupakan penyokong setia parti-parti kerajaan di seluruh negara. Ia bukan sahaja dirasai oleh pengundi Melayu, tetapi juga para pengundi Cina dan India. Ia tidak sahaja menimpa UMNO, tetapi juga MCA, Gerakan dan MIC.


Mood itu sudah lama tercetus, bukan baru seminggu lalu, tetapi ia tertutup daripada difahami. Kesombongan politik telah melindungi mata sesetengah pemimpin daripada merasai kemarahan rakyat itu.
Dalam pilihan raya umum 21 Mac 2004, BN menang besar kerana wujud persepsi positif terhadap kerajaan dalam kalangan orang seperti guru wanita dan pesara itu. Orang seperti merekalah yang membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membawa kemenangan hebat menguasai 198 daripada 219 kerusi Parlimen pada pilihan raya tahun itu, dengan undi popular untuk BN sebanyak 64 peratus.


Namun, 40 hari selepas menang besar pada pilihan raya umum 2004, kerajaan mula menaikkan harga petrol dan gas, mula-mula sebanyak dua sen tetapi dalam tempoh tidak sampai dua tahun harga petrol telah dinaikkan lima kali. Kali terakhir ia dinaikkan pada 28 Februari 2006, sehingga 30 sen seliter, yang menjadikan dalam tempoh dua tahun harga petrol dinaikkan sebanyak 57 sen.


Kerajaan mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa ia tidak mampu terus menampung subsidi petrol. Pada Februari 2006, kerajaan memberi alasan penjimatan RM4.4 bilion setahun daripada subsidi petrol ekoran kenaikan 30 sen seliter boleh digunakan untuk projek membaiki sistem pengangkutan awam. Malangnya, guru wanita dan pesara itu tidak nampak pun projek itu di kawasan mereka dan mereka bukanlah orang yang mendapat manfaat langsung daripadanya.


Fenomena
Maka meletuslah perasaan marah dan geram. Penjimatan RM4.4 bilion setahun itu menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi tidak terkawal. Tarif elektrik dan air naik, harga susu melambung, harga sayur, ikan dan barang keperluan dapur melonjak mendadak. Upah gunting rambut pun bertambah mahal.
Kerajaan, dan Abdullah secara peribadi, memang berusaha keras untuk membendung kenaikan kos sara hidup itu, tetapi isu tersebut menjadi pencetus satu fenomena. Walaupun media prokerajaan cuba mengimbanginya, tetapi sedikit demi sedikit kerajaan mula ditafsirkan sebagai tiada kasihan belas kepada rakyat. Apabila ada pemimpin UMNO berkata ‘biarlah kerajaan susah sedikit asalkan rakyat jangan susah’, idea itu tidak mendapat sokongan dalam UMNO dan kerajaan. Kemenangan besar tahun 2004 telah menimbulkan sesuatu, pada pihak kerajaan dan BN, ia dipanggil keyakinan, tetapi pada mata sebahagian kecil rakyat, ia dianggap suatu keangkuhan.


Senario itu mewujudkan mood yang dahsyat pada 8 Mac lalu, dua tahun selepas kali terakhir harga petrol dinaikkan. Selama ini sebahagian pengundi tidak kisah dengan kesilapan yang pemimpin negara lakukan. Gosip politik mengenai pemimpin muda yang kelihatan terlalu berpengaruh seperti Khairy Jamaluddin mereka tidak hiraukan sangat dalam situasi biasa. Siapa ahli perniagaan mendapat projek kerajaan yang boleh menjadikan seseorang kaya-raya juga mereka pandang dengan sebelah mata.


Tetapi dalam keadaan poket mereka diserang, pendapatan benar merosot, kualiti hidup mereka terjejas dan perasaan bahawa dari segi kewangan hidup mereka sekarang adalah lebih susah daripada empat tahun lalu, maka bermulalah satu sentimen yang kemudian merebak. Sentimen bertukar menjadi mood masyarakat. Bergulinglah snowball effect. Gosip politik mula dipercayai, skandal dibincangkan secara terperinci dan putar belit pembangkang kini dianggap benar.


Sebahagian mereka, terutama pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik, dalam diam-diam mula bertekad mahu menghukum kerajaan. Dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang, di mana kos sara hidup yang tinggi memanaskan lagi kegelisahan, ia kemudian merebak ke kawasan lain di pantai barat dalam kalangan penduduk bandar. Masalah hubungan kaum akibat timbulnya isu Hindraf menjadi faktor yang merumitkan lagi keadaan. Dari Kuala Lumpur membawa ke Kedah, dari Kuala Lumpur melarat ke selatan, pengundi yang selama ini diam membuak-buak ingin bersuara.


Mereka mahu menggunakan peti undi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Masing-masing ingin memprotes, termasuk para pengundi konservatif Melayu. Dalam proses untuk meluahkan apa yang mereka meluat itu, mereka tidak sedar akibatnya. Lidi kalau sebatang boleh dipatahkan, jika segenggam boleh membunuh. Undi protes jika satu sahaja tidak membawa apa-apa bekas, tetapi menyatakannya dalam jumlah yang ramai sehingga berjuta-juta orang, ia menggoncang kekuatan BN yang selama ini tidak pernah termimpi dapat disaingi pembangkang.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menceritakan kepada pemberita bagaimana mood protes dari Kuala Lumpur dibawa oleh pengundi muda Melayu, Cina dan India ke kawasan Parlimen Padang Rengas di Perak. Mereka, kata Nazri, balik ke kampung mempengaruhi ibu bapa masing-masing supaya mengundi pembangkang. Nazri hanya dapat mempertahankan kerusi Padang Rengas dengan undi majoriti 1,749 sahaja, sedangkan empat tahun sebelum itu beliau menang dengan undi majoriti yang lebih selesa sebanyak 5,563. “Saya hanya selamat kerana hubungan peribadi saya dengan pengundi di situ,” katanya.


Hakikat bahawa BN hanya memperoleh 140 kerusi Dewan Rakyat, dan tewas di 82 kerusi Parlimen – berbanding kemenangan 198 kerusi pada 2004 – dan kalah di berpuluh-puluh lagi kerusi DUN sehingga hilang penguasaan ke atas negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal menawan Kelantan mencerminkan betapa besarnya gelombang mood rakyat. Para penganalisis mengumpamakannya dengan tsunami – satu gelombang besar yang memukul dan memusnah tanpa disedari.


Di Parlimen Kuala Langat yang pada tahun 2004 BN menang dengan undi majoriti 21,495, calon BN di kawasan itu, Datuk Sulaiman Mohd. Karli tidak menyangka beliau boleh tewas kepada calon PKR, Abdullah Sani Hamid dengan undi majoriti 989. Semasa kempen pilihan raya, Sulaiman tidak merasai langsung tanda-tanda BN akan kalah di situ. Pada malam keputusan diumumkan, seorang pembantunya yang panik mengirim SMS kepada seorang editor akhbar: “Saudara, apa sudah berlaku ini?”


Di sesetengah kawasan pilihan raya, mood rakyat diburukkan lagi dengan masalah politik kaum. Kuala Langat mempunyai kira-kira 18.49 peratus pengundi India daripada 66,515 pengundi di situ, iaitu seramai 12,298 orang. Dengan Abdullah mengumumkan pilihan raya ketika masalah Hindraf dan ketidakpuasan hati masyarakat India belum dirungkaikan, Sulaiman menjadi salah seorang yang tumbang.


Undi India jugalah yang menumbangkan BN di banyak kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kalah di Lembah Pantai kerana pengundi India.


Politik perkauman yang telah menipis kini tebal semula dalam pilihan raya umum yang baru lalu. DAP berjaya dengan kempennya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Parti itu memberitahu pengundi Cina bahawa satu undi kepada MCA dan Gerakan bermakna satu undi yang akan mengukuhkan dominasi UMNO. Banyak orang Cina, khususnya di Pulau Pinang, termakan dengan hasutan itu.


Perkauman
Sentimen perkauman pengundi Melayu juga berputik. Di Parlimen Hulu Selangor, misalnya, Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang mewakili BN tersungkur di kawasan itu. Pengundi Melayu di situ memberi kemenangan kepada BN di ketiga-tiga kerusi DUN di Hulu Selangor iaitu kepada calon MCA di DUN Kuala Kubu Baharu dan dua calon UMNO di DUN Batang Kali dan Hulu Bernam. Tetapi di peringkat Parlimen, sebahagian besar pengundi memangkah calon PKR, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, dan membenamkan masa depan politik Palanivel, cuma dengan undi majoriti 198.


Palanivel tentulah amat kecewa kerana pengundi yang sama di Hulu Selangor pada tahun 2004 telah membantunya mengalahkan tokoh Pas, Datuk Ismail Kamus dengan undi majoriti 14,483. Kali ini orang Melayu di situ, pengundi yang sama, menolaknya walaupun beliau ialah seorang wakil rakyat yang berdedikasi. Perbalahan politik yang berlaku dalam masyarakat India memberi implikasi kepada persepsi pengundi Melayu. Persepsi inilah yang melanda bukan sahaja Palanivel tetapi juga Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang kalah di Parlimen Sungai Siput.


Serangan terhadap kerajaan melalui laman-laman blog dan Internet sudah wujud sejak pilihan raya 1999, tetapi strategi itu gagal membantu kemaraan pembangkang dengan berkesan, malah tidak efektif langsung dalam pilihan raya 2004. Blog dan laman web hanya menjadi satu medium komunikasi yang berpengaruh pada 2008 apabila mood rakyat terhadap kerajaan bertukar ekoran kenaikan harga minyak selepas pilihan raya 2004.


Di Kedah pula, perbalahan antara Abdullah dan Mahathir mungkin bukan satu-satunya faktor kenapa Kedah jatuh kepada Pas, dan hujah itu tidak popular di kalangan sesetengah orang UMNO, tetapi ia menambahburukkan lagi sentimen pengundi.


Di Kedah, analisis awal menyebut sebahagian besar pengundi saluran 3 dan 4 di peti-
peti undi di negeri itu, iaitu mereka yang lahir pada tahun 1960-an dan 1970-an, menyokong pembangkang. Pendapatan benar yang merosot di kalangan pengundi berusia 30-an dan 40-an yang sedang membina keluarga digambarkan dengan jelas dalam pola pengundian. Ia membuktikan petunjuk-petunjuk ekonomi seperti nilai perdagangan luar berjumlah trilion ringgit dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sehingga hampir tujuh peratus belum dapat diterjemahkan kepada kemakmuran hidup rakyat biasa.


Faktor calon di kebanyakan kawasan dalam pilihan raya kali ini bukan isu besar kerana jika pembangkang letakkan ‘batu, kayu atau sesiapa sahaja’ pun ia akan menang berdasarkan kecenderungan rakyat kali ini. Contoh klasik ialah calon bebas yang menang di DUN Bukit Selambau, Kedah. Pengundi Melayu
dan Cina sudah sampai ke peringkat mereka tidak berasa bersalah mengundi siapa sahaja asalkan BN kalah. Perasaan ini berleluasa.


Jentera pembangkang tidak sekukuh seperti yang disangkakan. Sungguhpun pembangkang kelihatan mempunyai lebih banyak wang untuk berkempen kali ini, undi protes dalam pilihan raya umum bukan timbul kerana faktor jentera pembangkang atau kerana hujah-hujah pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BN hilang kuasa di Terengganu pada 1999 kononnya kerana faktor sentimen rakyat terhadap Anwar ketika itu. Kenapakah kali ini BN tidak jatuh lagi sekali di Terengganu ketika Anwar berada di luar penjara? Rakyat Terengganu tahu betapa susahnya hidup di bawah kerajaan pembangkang. Mereka tidak mahu lagi, mereka serik.


Sebaik sahaja selesai pilihan raya 8 Mac lalu, ramai pengundi yang memprotes menghela nafas panjang dan mengurut dada. Mereka kini menyesal. Baru mereka sedar betapa hebatnya kuasa undi protes mereka. Mereka kini tahu bahawa satu undi kepada Pas dan PKR akan membolehkan ahli-ahli politik DAP menguasai kerajaan negeri dan negara.


Mereka kini ada contoh jelas bagaimana kuasa UMNO dan Melayu jatuh. Muncul di depan mata mereka pengalaman orang Melayu hampir-hampir hilang kuasa, pemimpin Melayu terpaksa menjadi boneka dan bagaimana ayat al-Quran digunakan dalam kempen oleh sesetengah pihak tetapi bila memperoleh kuasa ia dilupakan untuk membantu menaikkan politik cauvinis Cina di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.


Banyak pengajaran daripada pilihan raya Sabtu lalu – kepada rakyat mahupun pemimpin. Kepada ahli-ahli politik yang kalah dan pemimpin yang hampir kalah, pengajarannya ialah jawatan politik adalah satu tragedi yang tidak boleh dielakkan. Selepas kemenangan, akan datang kekalahan. Yang bernasib baik mungkin mati semasa memegang jawatan. Yang tidak beruntung akan dihantui kekalahan itu sepanjang hidup mereka.
Bagaimanapun, politik dalam konteks orang Melayu di Malaysia melampaui kepentingan perseorangan. Kekalahan banyak kerusi bakal membawa pembaharuan, kerana politik bukan sekadar kisah peribadi. Politik bagi orang Melayu lebih besar daripada isu jawatan dan individu, kerana ia soal ketahanan kuasa bangsa. Dalam politik, orang Melayu kini berdoa, barang dijauhkan Allah kuasa bangsa Melayu ditimpa tragedi, barang dijauhkan Allah bangsa Melayu hilang negeri lagi.

Thursday, May 8, 2008

Perpaduan Melayu jangan bermusim

ISU mengenai perpaduan Melayu timbul kembali, terbaru, sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam sepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM). Ia akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam. Sebenarnya, hasrat untuk menyatukan orang Melayu apatah lagi dalam suasana politik sekarang adalah satu niat yang murni.

Namun persoalannya kenapakah usaha ini sering sahaja bermusim? Bukankah ia satu usaha yang harus dilakukan secara berterusan? Apakah ia hanya wujud apabila kita merasakan kuasa politik Melayu semakin berkurangan?

Sama ada hendak diakui atau tidak, kesedaran untuk menyatukan orang Melayu hanya wujud pada dua suasana, pertama apabila berlaku perpecahan dalam UMNO dan kedua, apabila keputusan pilihan raya menunjukkan kerusi yang dikuasai oleh anggota politik Melayu semakin berkurangan. Tetapi persoalannya, adakah orang Melayu hanya bergantung kepada dua suasana ini untuk bersatu sedangkan di lain-lain masa orang Melayu lebih suka bertelagah dan berpecah belah.

Ketika ditanya pandangan berhubung perkara ini, pengamat politik, Prof. Mustafa Mohamed Ishak juga menegaskan, soal bermusim itu.

‘‘Kita harus ada arah tuju yang jelas, apa sebenarnya ingin dicapai melalui perpaduan Melayu ini.
“Kalau sekadar untuk memperkukuhkan kekuasaan politik mana-mana pemimpin adalah lebih baik ia tidak dilakukan,’’ katanya ketika dihubungi.
Justeru bagi Mustafa, soal untuk menyatukan orang Melayu harus dilakukan secara berterusan dan bukannya bersifat sementara atau ad hoc. Ini kerana bagi beliau ia tentunya tidak akan mendatangkan apa-apa hasil kerana selepas ini jika kuasa politik Melayu tidak terancam maka senyap sunyilah soal menyatukan orang Melayu itu. Oleh itu adalah jelas, bagi mereka yang hendak menyatukan orang Melayu, mereka harus mempunyai matlamat yang jelas.
Apa yang lebih penting orang Melayu perlu diberi pemahaman kenapa mereka perlu bersatu. Bersatu
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menegaskan, orang Melayu perlu bersatu bagi mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam perlembagaan iaitu, orang Melayu iaitu penduduk asal negeri-negeri Melayu mempunyai hak yang istimewa sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia; agama Islam adalah agama rasmi Malaysia; Raja-Raja Melayu adalah Raja Berperlembagaan di negeri-negeri yang menjadi sebahagian daripada Malaysia
Bagaimanapun dalam perkembangan sekarang, penyatuan orang Melayu bukan sekadar untuk mempertahankan keempat-empat perkara itu tetapi lebih daripada itu untuk memastikan mereka tidak terus berpecah belah.

Namun adalah sesuatu yang malang apabila usaha untuk menyatukan orang Melayu gagal dicapai kerana tidak bijaknya orang Melayu berpolitik. Mungkin ramai yang akan berasa tidak senang dengan kenyataan ini tetapi ia adalah hakikat. Orang Melayu mahu tidak mahu harus mengaku perkara ini. Demi kekuasaan ada di kalangan pemimpin Melayu sanggup mengetepikan kepentingan orang Melayu itu sendiri.

Ini berbeza dengan parti-parti politik kaum lain yang sanggup bersatu biarpun berbeza fahaman politik demi mempertahankan hak mereka.

“Orang kita masih mengamalkan sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar atau kerana marahkan pemimpin masa depan anak cucu digadaikan. Inilah cara berpolitik orang kita,’’ kata Mustafa.
Sebagai contoh, ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) diganggu gugat oleh DAP, ada pemimpin Melayu yang seolah-olah bersetuju dengan pandangan bahawa ia harus dihapuskan.

Mereka yang memberikan sokongan berkenaan kerana merasakan itulah cara terbaik untuk meraih kekuasaan tanpa memikirkan kesannya kepada orang Melayu. Justeru selagi orang Melayu tidak pandai berpolitik, selagi itulah usaha untuk menyatukan orang Melayu hanya akan menjadi satu impian.

Berdasarkan hakikat itu, masanya sudah tiba untuk orang Melayu berfikir dengan semasak-masak sampai bila mereka harus bertelagah dan tidak mahu bersatu serta berpolitik secara matang. Apa pun usaha menyatukan orang Melayu harus mempunyai landasan yang jelas. Ini kerana orang Melayu kini tidak mampu lagi ditipu dengan slogan.

Atas sebab itulah niat untuk tujuan berkenaan perlu dilakukan secara ikhlas dan jujur tanpa mempunyai apa-apa agenda tersembunyi termasuklah untuk melindungi atau mempertahankan mana-mana pemimpin.
Apa yang lebih penting usaha tersebut haruslah berteraskan kepada matlamat untuk menjamin hak orang Melayu terpelihara dan masa depan anak cucu kita tidak tergadai semata-mata kerana perebutan kuasa.
Dalam konteks negara ini, perpaduan Melayu bukan sekadar hanya akan menguntungkan kaum Melayu tetapi juga kaum-kaum lain. Oleh itu seperti kata Mustafa, agenda menyatukan orang Melayu harus jelas supaya ia tidak menimbulkan kecurigaan kepada kaum lain.

“Saya yakin kaum lain juga mahu melihat orang Melayu bersatu kerana kalau orang Melayu bergaduh sesama mereka sudah pasti keamanan tergugat,’’ katanya.
Turut menjadi persoalan, adakah apa yang akan dilakukan bagi melihat orang Melayu bersatu ini akan tercapai? Ini memandangkan sehingga ke hari ini masih wujud kedegilan di kalangan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mempertahankan ideologi atau perjuangan parti masing-masing.
Islam. Sebagai contoh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak mahu berbincang mengenai perpaduan Melayu sebaliknya hanya bersedia berbincang dengan mana-mana pihak mengenai perpaduan Islam.

Katanya, bagi Pas cara untuk menyatupadukan orang Melayu ialah menerusi Islam dan bukannya menerusi bangsa Melayu itu sendiri.
Adalah sesuatu yang janggal apabila Abdul Hadi seolah-olah cuba mengasingkan antara Melayu dan Islam.
Di Malaysia, hakikatnya Melayu adalah Islam dan Islam itu berkait rapat dengan orang Melayu, kalau orang Melayu tidak wujud maka tidak wujudlah Islam. Justeru tidak perlulah Abdul Hadi berdolak-dalik dalam soal ini. Pas seharusnya menyatakan secara terbuka sama ada mereka menyokong atau tidak usaha menyatukan orang Melayu ini.

Sekadar mengingatkan, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah duduk semeja bersama Dr. Mahathir dalam soal perpaduan Melayu.

Ketika itu Allahyarham tidak pula melontarkan pandangan seperti Abdul Hadi. Justeru adalah jelas usaha menyatukan orang Melayu pasti menempuh jalan berliku biarpun ia bertujuan baik. Apa yang penting semua orang Melayu tanpa mengira fahaman politik harus ikhlas dalam soal itu dan tidak mengamalkan sikap bermusim atau ingin mencapainya demi agenda politik mana-mana pihak. Semoga orang Melayu memahami bahawa mereka berhak berbeza ideologi politik melalui pendekatan yang bijak tetapi dalam soal mempertahankan hak – tiada kompromi! Mereka perlu bersatu kerana itu juga tuntutan dalam Islam.

Saturday, May 3, 2008

ADUN BN perlu ada laman blog

MELAKA 4 April – Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai laman blog masing-masing bagi menyaingi laman-laman blog yang diwujudkan penyokong pembangkang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, melalui laman blog, mereka boleh menjawab segala rungutan dan isu yang dikemukakan rakyat di samping menjawab segala tohmahan penyokong pembangkang.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilaksanakan segera memandangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menyaksikan rakyat banyak terpengaruh dengan maklumat blog untuk menentukan calon mereka.
‘‘Malah saya sendiri sudah ada laman blog untuk tujuan ini. Saya harap semua bahagian UMNO dan BN serta wakil rakyat menyediakan blog masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini petang semalam.
Blog Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka itu boleh dilayari di http://mohdalirustam.blogspot.com.
Beliau berkata, pada masa kini terdapat kira-kira 240 blog penyokong pembangkang yang aktif dan ia perlu diseimbangkan.
“Jadi sudah tiba masanya para pemimpin kerajaan mempunyai blog sendiri. Blog kenalah aktif dan lantik pakar-pakar teknologi maklumat (IT) untuk mengendalikannya,” kata beliau.
Mengenai blog beliau, Mohd. Ali berkata, ia akan dijadikan wadah untuk menjawab semua perkara melibatkan hal-hal Ketua Menteri dan juga kedudukan beliau selaku Naib Presiden UMNO.
Katanya, laman blog itu juga akan dipantau daripada masa ke semasa untuk menentukan keberkesanannya

Friday, May 2, 2008

UMNO Taman Sejahtera Online Sekarang

Assalamualaikum w.b.t

Setelah sekian lama menanti, maka dengan hari ini, terbitlah satu lagi wadah perjuangan UMNO Taman Sejahtera di alam siber.




Definisi pasukan Gerak Gempur Pemuda perlu dikaji semula supaya tidak sekadar dilengkapi ‘senjata untuk berperang di bumi nyata’. Peranan Gerak Gempur kini perlu diperluaskan merangkumi peperangan di alam siber memandangkan internet kini sudah dijadikan gelanggang perang baru oleh banyak pihak.
Menyahut cabaran tersebut, maka Pemuda UMNO Cawangan Taman Sejahtera perlu tampil berada di barisan hadapan untuk menentang idea bukan hanya menerusi perang mulut, malah perang saraf dan perang idea yang disebarkan menerusi alam siber.

Bagi siang redaksi Blogger UMNO Cawangan Taman Sejahtera, internet sudah dijadikan gelanggang perang baru dan Gerak Gempur Pemuda UMNO cawangan harus menjelaskan isu sebenar dan menangkis fitnah disebarkan.


Situasi masakini adalah golongan muda kita tidak keluar rumah sangat, mereka lebih suka terperuk di dalam bilik melayari internet dan internet dijadikan tingkap mereka kepada dunia luar. Pemuda UMNO Cawangan Taman Sejahtera perlu proaktif dalam menambat hati golongan professional ini.

Internet telah menjadi seakan dunia hakiki mereka... mungkin bilangannya sekarang minoriti tetapi 20 tahun akan datang mereka akan jadi majoriti rakyat Malaysia. Kita harus bermula sekarang untuk menambat hati golongan muda ini yang bakal mengepalai negara pada masa depan