MUNGKIN ramai membuat spekulasi mengenai apa maksud Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kepimpinan yang kuat. Adakah ia bermaksud kepimpinan yang ada tidak kuat? Atau bentuk 'kekuatan' seperti yang dikehendaki oleh seorang pemimpin bagi merealisasikan kenyataan Muhyiddin bahawa, ''Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan melicinkan parti untuk bergerak ke hadapan dengan lebih baik di samping mampu menambat keyakinan pengundi.''
Sememangnya sejak peralihan kuasa pada 2003, semua barisan kepimpinan UMNO adalah barisan yang kuat, lanjutan itu dalam pilihan raya umum 2004, rakyat memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).
Tetapi malangnya selepas kemenangan itu, barisan kepimpinan UMNO dan BN seolah-olah leka dan ada kalanya dilihat angkuh sehingga meminggirkan suara akar umbi. UMNO dan BN lebih dilihat hanya menumpukan kepada soal 'orang-orang atasan' sedangkan suara rakyat banyak tidak didengari.
Ada ketikanya BN begitu lemah untuk menangani sesuatu isu, biarpun ia melibatkan kepentingan rakyat bawahan, malahan dari segi semasa ke semasa pelbagai pihak mula melakukan tuntutan demi tuntutan yang ada kalanya menjejaskan perpaduan kaum dan ada pula merasakan 'mereka sudah tidak selamat lagi'.
Akhirnya, BN memasuki gelanggang pilihan raya umum dengan pelbagai 'kudis' yang masih gagal diubati sehingga menghumban parti itu ke lembah kekalahan yang tidak pernah dialami. Lebih malang, BN mahupun UMNO tidak lagi dilihat sebagai parti yang digeruni sebaliknya mampu ditewaskan .
Justeru kenyataan Muhyiddin bahawa UMNO memerlukan kepimpinan yang kuat adalah tepat pada masanya. Ini kerana perkembangan politik negara membuktikan bahawa parti itu harus kembali kepada asas perjuangannya iaitu mementingkan suara orang bawahan atau lebih tepat lagi suara akar umbi.
Atas sebab itulah ketika diminta mengulas mengenai kepimpinan yang kuat ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menegaskan, pemimpin yang kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi.
''Maknanya mereka mendapat sokongan dalam apa juga keadaan,'' katanya.
Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.
Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang disandangnya. Tetapi malangnya dalam UMNO atau BN acap kali prasyarat ini diketepikan.
Apabila berada pada kedudukan yang tinggi dalam parti, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang sekeliling dan bukannya mendengar apa kata rakyat.
BosanKesudahannya rakyat atau ahli parti menjadi bosan dan mereka menghukum pemimpin itu dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya dan apabila itu berlaku barulah, kita hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.
Berdasarkan hakikat itu, langkah UMNO menganjurkan majlis Amanat Presiden hari ini wajar kerana ia akan membolehkan semua pemimpin di peringkat bawah dari cawangan hingga ke bahagian mendapat gambaran sebenar berhubung pencapaian buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
Tetapi apa yang diharapkan, perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu tidak sekadar kehadiran untuk mendengar sahaja sebaliknya ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan parti kerana mereka juga turut berasa malu dengan apa yang terjadi.
Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak dibenarkan bercakap seperti dikatakan oleh Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir harus dihapuskan.
Ini kerana dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang kuat, UMNO memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu UMNO memperbaiki kelemahan.
Pemimpin-pemimpin UMNO tidak harus cuba menyembunyikan fakta dan menganggap apa yang terjadi dalam pilihan raya umum lalu hanya 'bermusim'. Sebaliknya kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan, tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.
Mulai saat ini, ahli-ahli UMNO perlu berusaha untuk mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat seperti dimaksudkan oleh Muhyiddin. Ini kerana UMNO sekarang sedang berhadapan dengan cabaran yang getir.
Jika UMNO terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi termasuklah tuntutan-tuntutan melampau kaum-kaum lain, ia boleh meletakkan orang Melayu dalam keadaan bahaya.
''Kalau parti-parti komponen lain sudah menyatakan dengan tegas bahawa mereka akan memperjuangkan nasib kaum yang mereka wakili, kenapa UMNO perlu berselindung lagi.
''Kita harus berani dan pemimpin kita harus kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai kita dilihat terus lemah sehingga ia memberi kesempatan kepada orang lain untuk memijak kita,'' kata seorang pemimpin kanan UMNO ketika dihubungi di Kuala Lumpur.
Apa pun sama ada UMNO akan berjaya mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat atau tidak ia bergantung sejauh manakah ahli-ahli UMNO menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih pemimpin dalam pemilihan kali ini.
Mereka perlu memilih pemimpin yang benar-benar berani untuk menyuarakan kebenaran, sentiasa mendengar suara akar umbi dan mempunyai semangat perjuangan UMNO yang tinggi.
Maknanya, ahli-ahli UMNO harus menolak mana-mana calon atau pemimpin yang bertanding dengan menggunakan 'tiket ekspres' bagi menduduki jawatan tertentu dalam parti sama ada di peringkat Majlis Tertinggi (MT), Pemuda, Wanita dan Puteri.
Ini kerana jika pemimpin dipilih menggunakan laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat bawah.Begitu juga jika ahli UMNO memilih mereka yang dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran kepada parti. Apa yang penting ahli-ahli UMNO yang berhasrat memilih pemimpin yang kuat perlu memahami sentimen rakyat.
Mereka tidak harus menganggap seseorang pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.
Ini bukannya pemilihan yang semata- mata untuk mencari barisan kepimpinan untuk mengendalikan UMNO tetapi lebih penting daripada itu untuk memastikan UMNO sebagai tunjang pemerintahan negara tidak tergugat.
''Kalau UMNO tidak mempunyai barisan kepimpinan yang kuat, saya percaya kita akan mudah diperkotak-katikkan seperti berlaku sekarang apabila pelbagai pihak mula membuat tuntutan kerana mereka merasakan UMNO dan BN kini semakin lemah,'' kata se- orang pemimpin UMNO negeri.
Oleh itu seperti kata Mukhriz, ahli UMNO perlu berani bukan sahaja bersuara malahan membuat keputusan bagi memilih pemimpin.
KeputusanIni kerana kata Mukhriz, keputusan pilihan raya umum lalu sudah jelas membuktikan bahawa rakyat terutamanya golongan muda sudah mula menolak UMNO dan melihat parti itu tidak relevan.
''Kita bimbang jika sentimen ini berterusan kerana dalam pilihan raya umum akan datang 55 peratus pengundi adalah orang muda,'' katanya. Berasaskan kenyataan Mukhriz, ia jelas membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO perlu benar-benar bijak menggunakan kuasa mereka dalam membuat pemilihan pemimpin. Mereka perlu bandingkan barisan kepimpinan dahulu dan sekarang, bagaimana mungkin barisan dahulu lebih dilihat kuat dan teguh berbanding sekarang, rakyat seolah-olah dengan sewenang-wenangnya menolak UMNO dan BN.
Bagi Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Dali Hussein, ahli-ahli UMNO perlu bermuhasabah dan tidak terus bercakaran.
''Ini adalah masa untuk bermuhasabah dan bersatu, bukannya mengeluarkan kenyataan individu yang boleh menjejaskan keutuhan parti,'' katanya.
Kenyataan Dali itu ada kebenarannya kerana melalui muhasabah sahaja segalanya masalah dapat diatasi. Ini juga bermakna, ahli-ahli UMNO harus turut bermuhasabah apakah barisan kepimpinan UMNO yang ada sekarang benar-benar kuat atau dalam pemilihan kali ini mereka juga ingin melakukan 'tsunami' bagi mengubah barisan tersebut.
''Mereka tidak harus takut untuk membuat keputusan. Ini kerana apa yang lebih penting sekarang ialah survival parti bukan individu. Kalau benar seseorang pemimpin itu perlu diganti, ahli-ahli UMNO mesti berani lakukan perubahan.
''Saya bimbang kalau ahli UMNO takut untuk melakukan perubahan dan sekadar beretorik sahaja, rakyat akan menolak kita dalam keadaan lebih teruk dalam pilihan raya umum akan datang,'' kata seorang pemimpin Pemuda.
Apa pun terpulanglah kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukannya dan mereka perlu mengingati kata-kata Muhyiddin bahawa, ''Jika Melayu tidak peka atau menganggap keputusan pilihan raya umum lalu sebagai perkara biasa maka ia jelas satu perbuatan lalai yang akan membawa malapetaka dan bencana yang lebih besar kepada orang Melayu.''