Saturday, May 3, 2008

ADUN BN perlu ada laman blog

MELAKA 4 April – Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai laman blog masing-masing bagi menyaingi laman-laman blog yang diwujudkan penyokong pembangkang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, melalui laman blog, mereka boleh menjawab segala rungutan dan isu yang dikemukakan rakyat di samping menjawab segala tohmahan penyokong pembangkang.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilaksanakan segera memandangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menyaksikan rakyat banyak terpengaruh dengan maklumat blog untuk menentukan calon mereka.
‘‘Malah saya sendiri sudah ada laman blog untuk tujuan ini. Saya harap semua bahagian UMNO dan BN serta wakil rakyat menyediakan blog masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini petang semalam.
Blog Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka itu boleh dilayari di http://mohdalirustam.blogspot.com.
Beliau berkata, pada masa kini terdapat kira-kira 240 blog penyokong pembangkang yang aktif dan ia perlu diseimbangkan.
“Jadi sudah tiba masanya para pemimpin kerajaan mempunyai blog sendiri. Blog kenalah aktif dan lantik pakar-pakar teknologi maklumat (IT) untuk mengendalikannya,” kata beliau.
Mengenai blog beliau, Mohd. Ali berkata, ia akan dijadikan wadah untuk menjawab semua perkara melibatkan hal-hal Ketua Menteri dan juga kedudukan beliau selaku Naib Presiden UMNO.
Katanya, laman blog itu juga akan dipantau daripada masa ke semasa untuk menentukan keberkesanannya