Monday, February 21, 2011

Menanti 'gelombang' di Kedah



PADA Sabtu lalu, penulis berkesempatan menghadiri majlis perjumpaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan ketua-ketua cawangan UMNO di kawasan Parlimen Merbok di Kedah. Sebenarnya, antara Mustapa dan kerusi Parlimen Merbok yang kini dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai sejarah yang panjang.

Mustapa pernah 'bertapak' di situ sejak tahun 1986 sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang menjadi Ahli Parlimen Merbok selama lima penggal mulai tahun berkenaan. Kehadiran Mustapa pada majlis itu sememangnya dinanti-nanti bagi memberi suntikan semangat kepada ahli-ahli UMNO untuk bangkit merampas kembali kerusi Parlimen Merbok dan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan.

Selama ini Parlimen Merbok dan DUN Tanjong Dawai serta Bukit Selambau dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), tetapi segalanya berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Ketiga-tiga kerusi berkenaan jatuh ke tangan pembangkang.

''Kita jangan lemah semangat, tanamlah keyakinan bahawa kita mampu menawan kembali semua kerusi di Parlimen ini,'' tegas Mustapa ketika berucap pada majlis perjumpaan tersebut.

Sebagai seorang yang amat memahami situasi politik di Parlimen Merbok, Mustapa yakin bukanlah mustahil untuk BN kembali menawan kerusi itu. Tambahan pula penulis difahamkan majoriti penduduk di kawasan Parlimen berkenaan tidak berpuas hati dengan khidmat wakil rakyat sedia ada.

''Cuba kita lihat pembangunan yang begitu pesat di Merbok sekarang ini adalah hasil sumbangan ahli-ahli Parlimen BN terdahulu seperti Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Zainuddin Maidin.

''Kalau difikirkan, memanglah mustahil BN boleh kalah kerana BN yang bertanggungjawab membawa pembangunan di sini seperti mewujudkan Maktab Sains Rendah Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Asian Institute of Medical Science, tetapi kita kalah juga,'' kata Mustapa lagi.

Namun bagi Mustapa, kekalahan pada 2008 bukanlah penamat. Dengan prestasi kerajaan negeri pimpinan Pas dan pelbagai kemelut yang berlaku, Ahli Parlimen Jeli itu yakin BN akan mampu kembali berkuasa, bukan sahaja di Parlimen Merbok tetapi juga di Kedah secara keseluruhannya.

Tetapi apa pun, pokok pangkalnya terletak kepada pemimpin-pemimpin UMNO di Kedah yang kini dikatakan mendapat suntikan baru melalui pelantikan Datuk Ahmad Bashah Md.Hanipah sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan.

Namun begitu, sudah ada suara-suara yang semakin rimas kerana merasakan UMNO Kedah belum membuat apa-apa bagi mengeksploitasi kelemahan kepimpinan Pas Kedah.

''Saya akan masuk Pas, kalau Pas boleh mentadbir tetapi apa yang saya lihat, Pas tidak boleh berbuat apa-apa, saya kasihankan rakyat dan negeri Kedah, kalau keadaan ini berterusan,'' kata seorang pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika berbual dengan penulis.

Malahan penulis diberitahu sebahagian besar ketua-ketua bahagian ternanti-nanti apakah program besar yang dirancang oleh Ahmad Bashah bagi menggerakkan satu gelombang untuk membangkitkan semangat merampas Kedah daripada Pas, bukan sahaja di kalangan ahli UMNO tetapi juga rakyat.

''Ahmad Bashah dan Mukhriz perlu merancang satu program untuk tujuan itu, kalau di Kelantan ada 'Gelombang Merah', manakala di Selangor ada Program Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE). Di Kedah pula macam mana?

''Kita tidak boleh tunggu segala-galanya ditentukan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat pusat, UMNO Kedah kena buat perancangan sendiri,'' kata seorang pemimpin UMNO bahagian kepada penulis.

Berdasarkan tinjauan penulis, perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Pas Kedah cukup ketara. Perasaan ini bukan sahaja membuak-buak di kalangan rakyat biasa atau ahli UMNO sahaja, malahan di kalangan penyokong Pas sendiri.

Mereka melihat kerajaan negeri terlalu banyak kelemahan sedangkan sebelum ini semasa menjadi pembangkang, macam-macam Pas mengkritik kepimpinan BN. ''Saya sokong Pas sejak dalam selut (lumpur) lagi tetapi bila Pas dah menang, bukan kata depa tak ingat kat kita, apa pun depa (mereka) tak buat,'' kata seorang penyokong tegar Pas kepada penulis.

Akibat kelemahan yang berlaku termasuklah juga dengan keadaan UMNO Kedah yang dilihat masih perlahan menyusun gerakan, timbullah tafsiran bahawa ''orang Kedah bagaikan tidak bertuan.''Justeru dalam keadaan itu, ramai pemerhati politik melihat ia kesempatan terbaik untuk UMNO Kedah bangkit melakukan sesuatu bagi meraih sokongan rakyat.

''Kena ada satu program yang jelas bagi mendorong rakyat menyokong UMNO, kalau mereka lihat Pas lemah, manakala UMNO pula macam lesu sahaja, maka ia ibarat pi mai pi mai tang tu juga,'' kata seorang ahli veteran UMNO yang menghadiri majlis bersama Mustapa.

Seperti mana kata Mustapa, gerak kerja perlu bermula dari sekarang seperti UMNO Kelantan di bawah kepimpinannya melancarkan Gelombang Merah. Berdasarkan tiupan semangat itu, bak kata orang Kedah, UMNO dan BN tidak boleh 'lena lagi', mereka perlu bangkit segera mengatur strategi dengan matlamat menamatkan pemerintahan Pas di Kedah.

Perkara yang paling penting ialah perpaduan sesama mereka dan jangan ada politiking sesama sendiri kerana ia hanya akan merugikan UMNO dan BN.Sebagai contoh, semua pihak perlu menyokong kepimpinan Ahmad Bashah dan jangan ada politiking di peringkat bahagian yang boleh mengugat usaha menawan kembali Kedah.

Tetapi dalam masa yang sama, Ahmad Bashah pula perlulah menunjukkan karisma dan kemampuan untuk membolehkan sokongan diberikan.Kalau dilihat rekod politik, Ahmad Bashah bukanlah calang-calang orang, beliau ada 'seni politiknya' sendiri tetapi untuk menawan Kedah, ia memerlukan kerja berpasukan dan bukannya 'Lone Ranger'. Ini bersesuaian dengan pesanan Mustapa pada akhir pertemuan dengan ketua-ketua cawangan di Parlimen Merbok supaya mereka mengukuhkan perpaduan, bekerja dalam berpasukan dan menanam keyakinan untuk mencapai kejayaan.

Semoga kesungguhan Mustapa yang sanggup meredah ladang getah pada malam hari dengan diiringi hujan gerimis akan membangkitkan semangat ahli-ahli UMNO bagi melancarkan gelombang biru (BN) untuk menggantikan gelombang hijau (Pas) di Kedah!


Bookmark and Share

Sunday, February 20, 2011

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

Dari Ruang RENCANA: Utusan Malaysia

SAYA tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.

Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.

Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.

Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?

Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.

Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?

Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.

Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".

Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.

Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.

Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?

Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.

Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.

Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.

Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?

Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:

* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.

* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.

* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.

* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.

* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.

Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.

Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.

Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.

HJ. LUKMAN BIN MOIDIN

Penceramah, Motivasi & Kaunselor

Kedah


Bookmark and Share

Saturday, February 19, 2011

Apabila Nik Aziz lebih mempercayai DAP daripada UMNO!

EPISOD hubungan Pas dengan DAP yang turut dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah banyak diperkatakan. Setiap kali Dr. Mahathir mengkritik Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau tangkas menjawab balas.

Dalam episod terbaru mengenai Pas dan DAP, Mursyidul Am Pas itu menyuarakan, hubungan tersebut membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP kerana perkara itu gagal dilakukan oleh UMNO.

Bagi Nik Aziz, hasil hubungan akrab tersebut, serangan DAP terhadap Islam telah bertukar. Kata tok guru itu, “serangan DAP kepada Islam, alhamdulillah sekarang ini bertukar daripada langkah mayat kepada boleh berunding.”

Sejauh mana dakwaan itu benar? Apa yang dirunding, sedangkan sebarang perkara berkaitan agama Islam, mahu dihumban ke tepi oleh kepimpinan DAP. Contohnya boleh dilihat perkembangan Islam di negeri yang dikuasai DAP.

Akibat kenyataan seumpama itu juga, dapat dilihat sekarang keghairahan pemimpin DAP keluar dan masuk masjid serta surau tanpa menjaga sensitiviti umat Islam.

Apa yang telah ditarbiah dan didakwahkan oleh Nik Aziz kepada pemimpin DAP? Tak nampak pun kebaikannya, di sebaliknya semakin bertambah angkuh beberapa wakil rakyat parti itu bertindak kurang ajar dan biadab ketika memasuki kawasan ibadat umat Islam.

‘Lesen’ kononnya DAP sudah memahami Islam itu dipergunakan apabila DAP ghairah ‘menonjolkan soal keislaman’ sebagai pendekatan baru untuk menarik orang Melayu kepada parti tersebut.

Amat memeranjatkan sebuah parti yang menolak penubuhan Negara Islam melakukan perubahan nilai. Tidak pernah pun ada dalam perjuangan sosialis DAP selama ini ghairah menonjolkan unsur-unsur keislaman.

Perkara yang sangat pelik ini sedang wujud dan harus diberi perhatian serius. Ini kerana kita tidak mahu orang Melayu Pas, PKR, Melayu liberal dan Melayu yang tidak memihak sesiapa terlupa bahawa di belakang parti itu ada pemimpin yang tidak menitik beratkan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam sebagai agama rasmi, Perkara 153 yang menjamin keistimewaan orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kerana mahu menunjukkan kesetiakawan dengan DAP, perjuangan Pas yang asal untuk menegakkan hukum Hudud kini telah berubah menjadi perjuangan membela bangsa lain iaitu DAP. Hudud tinggal kenangan.

Masihkah anda ingat bagaimana Nik Aziz mengatakan beliau tidak berbangga dengan kejadian dirinya sendiri sebagai bangsa Melayu. Jadi tak menghairankan kini Nik Aziz bersama-sama DAP amat lantang menentang Islam dan Melayu.

Sebagai parti politik, Pas sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan kepentingan politik mereka terjamin dan menghalalkan apa yang mereka lakukan.

Kalau dulu mereka kata bekerjasama dengan orang kafir, kita akan jadi kafir, tetapi kini mereka melakukan perkara sama dan dipertahankannya dengan pelbagai alasan.

Pas menuduh UMNO kafir apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC tetapi kini mereka melakukan perbuatan sama apabila bersekongkol dengan DAP.

Banyak situasi sudah kita lihat bagaimana Nik Aziz sanggup menukar tafsiran terhadap Islam kerana politik. Beliau antara pemimpin Pas paling cekap memanipulasi pemikiran dan menukar tafsiran dalam apa-apa isu termasuk menjadikannya selari dengan kehendak rakan bukan Islam.

Sekali lagi, masihkah anda ingat bagaimana Pas menghalalkan tindakan khatib mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong dengan alasan untuk menarik bukan Islam kepada Islam.

Begitu juga kes Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mencemari kali kedua kesucian institusi Islam dengan memakai pakaian ketat dalam majlis senamrobik di pekarangan masjid.

Apakah semua ini dilakukan oleh Nik Aziz kerana percaya DAP lebih menghormati Islam daripada UMNO. ‘Ustaz dan ustazah’ DAP sudah mampu memberikan salam dan membaca hadis walaupun belum berkhatan dan mengucap?

Sejak kebelakangan ini, atas nama perkongsian matlamat politik, batas-batas kesucian Islam cuba dilanggar. Selain ruang solat dimasuki, ayat-ayat suci al-Quran dibaca dan diterjemah oleh pemimpin bukan Islam dalam DAP dan PKR.

Janganlah kerana hendak undi politik, maka Nik Aziz dan Pas membiarkan DAP dan bukan Islam lain mencemarkan kesucian agama kita?



Bookmark and Share





Monday, February 7, 2011

Memahami politik kaum Cina


PILIHAN raya Dewan Undangan Negeri Tenang telah pun berakhir. Prestasi Barisan Nasional (BN) lebih baik berbanding tahun 2008, terutama peningkatan undi Melayu. MCA mengatakan undi Cina kepada BN meningkat. Sebaliknya DAP pula mendakwa sebaliknya. Pengaruh MCA dikatakan semakin merosot kalangan masyarakat Cina. Siapakah yang berkata benar? Buatlah post-mortem dan kajian, daripada bercakap kosong bagi menunjukkan seolah-olah kita bagus atau boleh buat kerja.

Apa pun, pada saya sama ada undi Cina terhadap BN meningkat atau merosot tidaklah penting sangat, kerana amalan demokrasi membenarkannya. Rakyat bebas memilih parti yang disukainya. Cuma yang amat menyedihkan adalah cara berpolitik dengan memberi tekanan atau mengugut kerajaan.

Ketika kempen pilihan raya tersebut berlangsung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Johor, Hua Zong, yang turut disokong oleh MCA, memberi kata dua kepada kerajaan supaya membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina di Segamat. Jika tidak, orang Cina akan beralih arah atau tidak mengundi BN. Ugutan ini seolah-olah menampakkan selama ini mereka mengundi BN. Apakah benar?

Saya berani mengatakan bahawa majoriti Cina tidak mengundi BN. Tidak perlu buat kajian, lihat jumlah undi yang diperolehi oleh BN di kawasan bandar selama ini. Kenapa DAP terus dan begitu mendominasi?

Taktik mengatakan bahawa orang Cina tidak akan mengundi BN adalah taktik basi. Ini bukanlah kali pertama persatuan ini mengamalkan taktik licik sedemikian. Mereka akan mencari seribu alasan, menggunakan segala ruang dan peluang untuk menambah sesuatu yang telah pun mereka dapat. Malangnya, kajian tidak dibuat, kita terus tunduk kepada tuntutan dan desakan.

Rukun

Sebelum saya menulis lebih lanjut, eloklah sama-sama kita memahami tiga rukun atau sangga utama yang menjadi pegangan masyarakat Cina atau perjuangan hidup matinya. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirkan bersama. Apa yang penting, bagaimanakah kita boleh memanipulasikan rukun-rukun ini untuk sama-sama menjayakan gagasan 1Malaysia.

Rukun pertama adalah mempertahankan pendidikan Cina. Melibatkan 1,300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara. Sudah tentu jumlah sekolah ini akan bertambah dari tahun ke tahun. Menurut badan penyelidikan MCA (INSAP), perjuangan pendidikan Cina oleh orang Cina sama seperti perjuangan menegakkan Islam oleh orang Melayu.

Rukun kedua, mempertahankan penerbitan akhbar Cina yang melibatkan enam akhbar harian di Semenanjung dan lapan di Sabah Sarawak. Akhbar bahasa Cina adalah akhbar yang paling banyak dalam pasaran berbanding akhbar bahasa lain, termasuk akhbar berbahasa Melayu. Kenapa bahasa Melayu kurang dibaca oleh bukan Melayu, jawablah sendiri, tepuklah dada?

Manakala, rukun ketiga mempertahankan persatuan-persatuan Cina (Huatuan). Melibatkan lebih 8,000 buah persatuan seperti persatuan rumah ibadat, puak (clan) dan bahasa, persatuan politik dan pendidikan, persatuan perniagaan dan perdagangan. Dalam banyak-banyak persatuan ini yang paling berpengaruh bukannya parti-parti politik mereka, tetapi adalah persatuan bahasa dan pendidikan, seperti Hua Zong, Dong Zong dan Dong Jiao Zong.

Ketiga-tiga rukun ini majoritinya mempengaruhi orang Cina di Malaysia dan tidak boleh disentuh. Mereka bersatu dan berpadu jika hak mereka tergugat. Sesiapa yang mengkaji proses sosialisasi politik, agen-agen ini amat berpengaruh dalam membentuk persepsi dan pendirian seseorang. Hasil sosialisasi inilah yang telah melahirkan bentuk masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini.

Bukan Melayu

Bagi bukan Melayu atau minoriti yang lain, saya percaya, mereka juga berpegang kepada rukun tersebut, tetapi tidaklah sekuat pegangan orang Cina. Misalnya, bagi orang India, agama amat penting pada mereka. Justeru, sensitiviti perlu dijaga.

Begitu juga orang Melayu. Perkara berkaitan dengan Islam, seperti iman dan Islam seseorang, kalimah Allah, Rasulullah, babi, dan sebagainya adalah amat sensitif. Kenyataan Lee Kuan Yew yang mahukan umat Islam supaya tidak berpegang kuat kepada Islam dikira amat sensitif. Kontroversi semakin menjadi bertambah hangat apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong kenyataan tersebut. Pendapat Kuan Yew dikatakan lebih baik daripada perjuangan UMNO yang bersifat nasionalis. Dalam kata lain, pendapat Kuan Yew itu tentang Islam itu betul, perjuangan Melayu dan Islam UMNO itu salah.

Pandangan sebegini perlu dibuat dengan berhati-hati. Seteruk mana pun orang Melayu, mereka amat pantang jika ada seseorang yang mempertikaikan keIslamannya. Kerana bagi orang Melayu tidak kira UMNO atau PAS, agama adalah nombor satu dan tidak boleh diperlekehkan.

Orang Melayu amat sensitif dengan agama, sama seperti sensitiviti orang Cina terhadap bahasa. Dengan sebab itu, sehingga ke hari ini, pemerkasaan terhadap Islam lebih menonjolkan berbanding pemerkasaan bahasa Melayu itu sendiri, walaupun kedua-dua perkara ini jelas termaktub dalam perlembagaan. Pendek kata, agama Islam lebih banyak di arus perdanakan, berbanding kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan.

Malang sungguh kedudukan bahasa kebangsaan ini. Tidak banyak usaha dibuat untuk mendaulatkannya, kerana bagi kita ia tidak penting. Lebih menyedihkan lagi apabila membaca iklan temuduga jawatan. Antara syaratnya mesti fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris.

Maka tidak hairanlah jika bancian penduduk baru-baru ini, membuktikan bahawa penguasaan bahasa Melayu di kalangan orang Cina masih lemah, sehingga terpaksa menggunakan khidmat penterjemah. Semua ini ada kaitan dengan tiga rukun tersebut.

Berbalik kepada tuntutan dan desakan mendirikan sekolah menengah vernakular, pada saya cukuplah dengan sekolah rendah vernakular yang sedia ada dan bertambah dari tahun ke tahun.

Enam tahun dipisahkan sejak kecil adalah suatu jangka masa yang lama untuk mereka mensosialisasikan diri dengan persekitaran selanjutnya. Jika mereka terus berada di sekolah menengah vernakular, apakah sosialisasi begini sihat untuk membina bangsa Malaysia dan menjayakan gagasan 1Malaysia?

Komitmen

Perlu diingat, komitmen kerajaan terhadap sekolah vernakular amat tinggi dan belum pernah dilakukan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri secara telus mengatakan pendidikan vernakular adalah sebahagian daripada pendidikan nasional.

Bermakna, kewujudan sekolah vernakular telah pun diiktiraf. Ia merupakan satu kredit kepada bangsa Malaysia kerana dapat menguasai bahasa Mandarin. Apatah lagi pasaran akan datang akan didominasi oleh pasaran negeri China.

Dilihat dari sudut positif, memang benar ia suatu kelebihan. Namun, pada masa sama, kita perlu tangani pula kesan negatifnya apabila bahasa kebangsaan tidak dikuasai. Malangnya, setiap kali kerajaan bercadang untuk memperkasakan bahasa Melayu di sekolah vernakular, idea ini terus ditentang habis-habisan oleh persatuan tersebut.

Benar, kita akan berkata selama ini pun, sejak kewujudan sekolah vernakular, kita masih tidak berkonflik. Masih berlaku kesepaduan sosial atau social cohesion. Kita hanya bertikam lidah. Masih lagi tidak berlaku parang-memarang atau parang wagging. Dengan maksud, keadaan masih lagi baik.

Persoalan saya, kenapa kita tidak cari jalan untuk mencapai yang terbaik? Bukan maksud saya dengan menghapuskan sekolah vernakular. Tetapi perancangan mesti dibuat, bagaimana sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular dapat berinteraksi?

Saya hanya akan bersetuju dengan pembinaan sekolah menengah vernakular jika benar-benar bahasa Melayu dapat diperkasakan dalam 60 buah sekolah menengah vernakular yang sedia ada. Buatlah kajian akan kesannya terhadap pembinaan negara bangsa. Untuk sementara ini, janganlah terlalu mengugut dan mendesak kerajaan.

Tindakan sebegini akan menyebabkan kaum lain menyimpan rasa dan dendam. Dendam inilah yang akan menjadi bara api perkauman, yang tidak pernah padam. Inilah yang bahaya.

Kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian juga hendaklah berpandu kepada undang-undang. Kita sepatutnya bersyukurlah kerana di kebanyakan negara seperti Jerman, Perancis, Indonesia, Thailand dan sebagainya, mereka mengamalkan konsep keseragaman atau unity is uniformity untuk mencapai perpaduan. Dalam kata lain, 1 Bangsa, 1 Bahasa dan 1 Negara.

Sudah pasti kita tidak dapat melakukannya kerana kita mengamalkan kepelbagaian atau unity in diversity bagi mencapai perpaduan. Bagi kita kepelbagaian merupakan satu kekuatan. Namun, terlalu banyak berbeza pun menimbulkan masalah juga.


Bookmark and Share

Saturday, February 5, 2011

MIC fokus program melonjakkan sosioekonomi masyarakat India


MEMBINA kapasiti insan untuk membebaskan komuniti kaum India yang terpinggir daripada belenggu kemiskinan adalah komitmen dan tanggungjawab barisan kepemimpinan baru MIC yang dibentuk 6 Disember lalu.

Program berbentuk kemahiran, keusahawanan kecil serta pendidikan yang mampu mengangkat naik setakuk lagi taraf sosioekonomi kira-kira 30 peratus komuniti kaum itu sedang giat diatur MIC dengan bantuan sekumpulan pakar dan tokoh berpengalaman termasuk bidang perniagaan.

"MIC mahu membina kapasiti mereka kerana saya percaya dengan kemahiran atau skim bantuan kredit mikro yang diberikan, mereka mampu meningkatkan pendapatan sekali gus merubah kehidupan menjadi lebih baik"

“Yang penting, kalau ekonomi mereka baik, kita (MIC) pun tidak ada masalah. Tujuan utama MIC sekarang ialah memperkuatkan ekonomi keluarga yang masih terperangkap dalam masalah kemiskinan,” kata Presidennya, Datuk G Palanivel.

Dalam menyusun program penting yang bakal menampilkan bentuk kepemimpinan baru MIC, selain menggariskan pendekatan terkini memenuhi tuntutan landskap semasa serta komitmen memperkasakan sosioekonomi masyarakat India, kepemimpinan tertinggi parti akan menghadiri mesyuarat kedua untuk memperhalusi hala tuju baru itu, pada 17 Februari ini.

Turut akan dibincangkan ialah kandungan draf Program Keusahawanan Masyarakat India yang disarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Februari lalu, supaya diatur dan dilaksanakan secepat mungkin oleh kepemimpinan baru parti.

“MIC mewujudkan satu jawatankuasa khas, termasuk pakar berpengalaman dalam perniagaan untuk menyediakan isi program ini dan menyerahkannya kepada kerajaan secepat mungkin untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
Biarpun bermula dengan membuat kuih muruku, Timbalan Perdana Menteri nampak apa saja kegiatan keusahawanan secara kecil-kecilan berupaya menjana pendapatan lebih baik peserta program berkenaan.

“Lakukannya (program itu) untuk masa depan anda (kaum India),” katanya yang ditujukan kepada kepemimpinan MIC pada satu majlis di Labis, baru-baru ini sambil menegaskan soal pendapatan diri atau keluarga adalah sesuatu yang sangat penting untuk dicari dan ditingkatkan.

Program Satu Keluarga, Satu Usahawan yang disarankan dan mendapat jaminan peruntukan antara RM10 juta hingga RM20 juta daripada Muhyiddin itu pastinya menepati hasrat seluruh kepemimpinan baru MIC yang akan memberi lebih banyak komitmen kepada pembangunan kapasiti serta potensi insan keseluruhan masyarakat India melalui keusahawanan, kemahiran serta pendidikan.

Palanivel juga ada pengalaman dan tertarik melihat komuniti berpendapatan kecil di India yang setiap keluarga menjalankan perusahaan atau perniagaan kecil dengan bantuan kerajaan sehingga akhirnya taraf kehidupan mereka meningkat.

MIC juga boleh meminta nasihat dan bimbingan daripada pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang ada pengalaman luas dari segi menguruskan serta kutipan balik pinjaman peserta.
Cabaran besar buat Palanivel kini ialah menyempurnakan program keusahawanan itu yang mendapat lampu hijau daripada kerajaan boleh dijadikan sebahagian daripada kandungan transformasi induk dalam MIC dan komuniti kaum India selepas era kepemimpinan 11 penggal Datuk Seri S Samy Vellu, selama 31 tahun lalu.

Beliau perlu membuktikan kepada komuniti India dan pihak yang ragu-ragu kepemimpinannya dengan membentangkan program komprehensif mengenai program itu dalam tempoh paling segera.

Bukan setakat untuk memanjangkan survival MIC dan politiknya, ketangkasan Palanivel melaksanakan program itu akan menjadi faktor penarik sokongan komuniti India kepada parti, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN), amnya. Kesannya akan dinilai oleh rakyat antara lain melalui pilihan raya umum akan datang.

Namun beliau ada rekod baik kerana membawa pelbagai program dan skim membasmi kemiskinan ke dalam komuniti kaum India ketika menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti bagi tempoh 1999 hingga 2008.

Antaranya, Program Pembangunan Industri Tembikar, Program Sutera Sari, Program Sutera Sari dan Program ‘Cyber Start’ yang membabitkan ribuan wanita serta pemimpin akar umbi.

Dengan kedudukan sekarang, Palanivel perlu mempertingkatkan kerjasama MIC dengan pengurusan AIM dan TEKUN untuk membantu lebih ramai kaum India dalam skim bantuan kredit mikro untuk menjayakan projek keusahawanan secara kecil-kecilan.

Jadi, cabaran lain menanti beliau untuk menjayakan transformasi komuniti India ialah bagaimana hendak ‘membawa kerajaan’ ke dalam komuniti itu? Ini kerana ialah ketiadaan atau ketidakcukupan kakitangan kerajaan keturunan India dalam bidang berkaitan untuk masuk dan melaksanakan program itu dalam komuniti berkenaan.



Bookmark and Share

Tiada Negara Islam, Pas Akhirnya Akur Kehendak DAP??


Akhirnya Pas mengaku bahawa cita-cita perjuangan untuk menubuhkan negara Islam selama ini hanya retorik semata-mata

Pas seperti sudah mengangkat bendera putih. Pengakuan Pas ini mungkin kerana Pas tiada berdaya melawan kehendak DAP.

Buktinya apabila Ahli Parlimen Kuala Selangor , Dr Dzulkefly Ahmad mengaku tidak ada jalan untuk Pas menubuhkan sebuah negara Islam di Malaysia

Bercakap pada Forum Hubungan Bangsa dan Agama hujung minggu lepas, yang dilaporkan dalam portal berita di sini hari ini, beliau berkata berdasarkan demografi politik di Malaysia tidak ada jalan untuk Pas mewujudkan sebuah negara Islam.

Menjawab soalan semasa forum itu, katanya terdapat 60 peratus orang Islam kepada 40 peratus bukan Islam dan malah Pas tidak ada sokongan daripada kesemua 60 peratus orang Islam.

Negara Islam hanya wujud semasa era Nabi Muhammad S.A.W di Madinah, kata beliau ketika menjawab soalan peserta lain yang membangkitkan contoh negara Islam seperti Pakistan.

Friday, February 4, 2011

Cikgu Mala: Doa atau berlakun lebih penting?

Orang sibuk meng-AMIN-kan DOA, dia pulak sibuk menyeluk lauk!

Kadangkala, terlebih berlakon untuk mempublisitikan diri sendiri itu mendatangkan lawak. Mahu ditonjolkan sifat ringan tangan dan tidak kisah untuk membantu orang.

Tetapi apabila Harakah cuba menonjolkan sifat-sifat ringan tangan si Normala Sudirman, calon PAS di PRK Tenang, ianya tidak menjadi malah diketawakan oleh orangramai. Lihat foto di bawah :-

Memang tidak ada celanya jika dilihat cara dan lenggok si Normala Sudirman menyidangkan lauk. Tetapi, kalau ya pun, biarlah selesai bacaan doa tu! Orang lain sedang mengaminkan doa tapi si Normala ni sedang menyibuk pula menyidangkan lauk.

Kalau nak berlakon pun, berpada-padalah wahai Normala Sudirman! Kalau tidak, buruk nampaknya.



Bookmark and Share



Tak dapat anggur masam katanya...


KEMENANGAN BN di Tenang memberi satu tamparan hebat kepada pemimpin tertinggi Pas dan para penyokongnya. Di tempat saya, seorang penyokong Pas tidak bersuara langsung apabila Pas kalah di Tenang jika sebelumnya beliau begitu lantang.

Reaksi Mursyidul Am Pas boleh diumpamakan seperti cerita dalam Aesop's Fable yang menceritakan seekor musang dengan buah anggur. Kegagalan musang itu mendapatkan buah anggur dikatakannya buah anggur itu masam. Begitulah juga dengan Mursyidul Am Pas kerana gagal meraih kemenangan di Tenang dikatakannya Pas bukan buru kemenangan pilihan raya di dunia. Apakah ada pilihan raya di akhirat wahai Tuan Guru yang bijaksana?

Dituduhnya pengundi Tenang boleh dibeli seperti membeli binatang ternakan. Begitu rendah pandangan Tok Guru kepada pengundi yang tidak memilih Pas. UMNO dituduh mempermainkan rakyat. Sebenarnya siapa yang mempermainkan rakyat wahai Tok Guru? Bukankah Pas selalu menjual agama untuk meraih undi simpati?

Tok Guru janganlah ingat semua orang boleh diperbodohkan seperti mana Tok Guru memperbodohkan ahli-ahli Pas dengan janji-janji syurga. Parti Tok Guru bukan wakil Allah di muka bumi ini. Jangan begitu angkuh untuk mengatakan parti Tok Guru boleh terus membawa perjuangan hingga ke akhirat. Jika ajaran Tok Guru sesat, Tok Guru dan pengikut akan dihumban ke dalam neraka jahannam lebih dahulu daripada orang kafir dan UMNO.

Sukalah saya memperingatkan Tok Guru, Tuhan tidak akan menyebelahi mana-mana parti. Tuhan hanya menyebelahi golongan yang membawa kebaikan bukan membawa kerosakan seperti dilakukan oleh parti Tok Guru sekarang.

Tok Guru lebih sanggup bersama DAP yang terang-terang menentang Islam daripada bersama dengan UMNO yang ahlinya orang Melayu Islam. Apakah Tok Guru ingat DAP akan menyetujui penubuhan negara Islam seperti mana Tok Guru dan ahli Pas idamkan? Jauh panggang dari api wahai Tok Guru Nik Aziz. Anda bermimpi di siang hari!


Tenang: Antara pengundi, kecelaruan Nik Aziz
KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang telah diduga dan terbukti sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat, termasuk undi Cina dan India.

Namun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, secara sinis mengatakannya 'tak menang dan tak tewas'. Hakikatnya beliau mengakui Pas kalah. Tetapi secara tersirat beliau menyindir MCA yang tewas kerana masih gagal menarik sokongan pengundi Cina di mana BN hanya menang tiga daripada empat kawasan majoriti pengundi Cina.

Beberapa pemimpin DAP mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, gagal menarik pengundi Cina di kawasannya sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali mengakui Pas memperoleh banyak undi daripada kaum Cina.

Teryata fatwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu tidak mengundi Pas adalah jahiliyah tidak mampu mempengaruhi pengundi Melayu. Dalam hujan lebat sambil mengharungi banjir mereka keluar mengundi BN.

Seperti Mustaffa, Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Md. Isa, turut menyalahkan faktor hujan dan banjir menyebabkan Pas kalah. Soalnya apakah kalau cuaca panas terik Pas boleh menang? Sebaiknya mereka menerima kudrat Tuhan. Takkan Pas mahu menyalahkan dan menolak kuasa Tuhan kerana tidak menyebelahi mereka.

Paling menarik dan melucukan ulasan Nik Aziz Nik Mat yang berkata, Pas tidak memburu kemenangan di dunia semata-mata dan menganggap perjuangan amal makruf nahi mungkar Pas telah berjaya. Sambil itu beliau menyoal bolehkah perjuangan UMNO itu dibawa ke akhirat?

Inilah kecelaruan fikiran Nik Aziz. Kalau Pas percaya perjuangannnya untuk kebaikan, menentang kemungkaran serta menuju akhirat tidak mungkin dalam kempen Pas melakukan fitnah dan pembohongan hanya kerana mahu meraih undi. Penuh kemungkaran. Ini yang dikatakan perjuangan Islam?

Eloklah selepas Tenang, Pas bermuhasabah. Taktik lapok yang memperbodohkan pengundi terutama Melayu dengan memperalatkan agama sudah tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi apabila Pas terlalu mengharap undi Cina hingga sanggup bersekongkol dengan DAP.

Orang Melayu mulai memikirkan masa depan anak cucu-cicit mereka. Buku jingga 100 hari dilihat sebagai penjual mimpi yang tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang boleh ditawarkan.

Kini Tenang dilanda banjir teruk. Mana perginya pemimpin dan penyokong Pas yang ramai pada hari berkempen tempoh hari? Rakyat mahukan bantuan. Inilah pengajaran paling besar tentang kejujuran dan keikhlasan mengikut Islam. Tapi Pas hanya mahu undi saja.


Bookmark and Share

Thursday, February 3, 2011

Jentera UMNO hadapi PRK DUN Merlimau dilancar Sabtu ini

MELAKA_Jentera Penerangan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan dilancarkan di Dewan Masyarakat Air Merbau, Merlimau, Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia sebagai persediaan awal membantu UMNO negeri dan UMNO Bahagian Jasin memastikan Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.

Menurutnya, jentera penerangan itu akan digerakkan di setiap peringkat untuk turun padang dan menjelaskan kepada rakyat berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

"Jentera kita akan disertai oleh penceramah, penulis dan bloggers yang akan menjawab setiap isu seperti kenaikan harga barangan dan beberapa isu nasional.

"Penceramah termasuk mereka yang terlibat akan dibekalkan dengan segala maklumat terkini yang mampu menjawab sebarang isu yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang kepada penduduk di Merlimau," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pilihan Raya DUN Merlimau yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Idris Haron dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jentera penerangan yang akan dilancarkan itu adalah sama seperti di DUN Tenang tetapi ada kelebihan berdasarkan pengalaman yang dilalui sebelum ini.

"Menjadi hasrat utama kita untuk memastikan calon BN yang akan bertanding pada 6 Mac ini akan turut beroleh kemenangan seperti yang dicapai di DUN Tenang.

"Lebih penting, kita mahu DUN Merlimau turut mencatat kemenangan dengan majoriti yang besar," katanya.

Sementara itu Mohd. Ali berkata, BN negeri telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya kecil itu dengan semua parti komponen telah mengemas kini jentera masing-masing.

"Saya akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa ini untuk memaklumkan langkah-langkah dan persediaan yang dibuat oleh BN negeri," katanya.

Beliau turut meminta UMNO di negeri lain berkampung di Merlimau sebelum atau selepas penamaan calon bagi membantu jentera UMNO negeri.



Bookmark and Share

Tuesday, February 1, 2011

Tenang dilanda banjir, pemimpin Pas hilang entah ke mana!


KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang telah diduga dan terbukti sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat termasuk undi Cina dan India.

Namun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis mengatakannya 'tak menang dan tak tewas.' Hakikatnya beliau mengakui Pas kalah, tetapi secara tersirat beliau menyindir MCA yang tewas kerana masih gagal menarik sokongan pengundi Cina di mana BN hanya menang tiga daripada empat kawasan majoriti pengundi Cina.

Beberapa pemimpin DAP mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek gagal menarik pengundi Cina di kawasannya sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali mengakui Pas memperoleh banyak undi daripada kaum Cina.

Teryata fatwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu tidak mengundi Pas adalah jahiliyah tidak mampu mempengaruhi pengundi Melayu. Dalam hujan lebat sambil mengharungi banjir mereka keluar mengundi BN.

Seperti Mustaffa, Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Md Isa turut menyalahkan faktor hujan dan banjir menyebabkan Pas kalah. Soalnya apakah kalau cuaca panas terik Pas boleh menang? Sebaik-baiknya mereka menerima kudrat Tuhan. Takkan Pas mahu menyalahkan dan menolak kuasa Tuhan kerana tidak menyebelahi mereka.

Paling menarik dan melucukan ulasan Nik Aziz Nik Mat yang berkata Pas tidak memburu kemenangan di dunia semata-mata dan menganggap perjuangan amal makruf nahi mungkar Pas telah berjaya. Sambil itu beliau menyoal, bolehkah perjuangan UMNO itu dibawa ke akhirat?

Inilah kecelaruan fikiran Nik Aziz. Kalau Pas percaya perjuangannnya untuk kebaikan, menentang kemungkaran serta menuju akhirat tidak mungkin dalam kempen Pas melakukan fitnah dan pembohongan hanya kerana mahu meraih undi. Penuh kemungkaran. Ini yang dikatakan perjuangan Islam?

Eloklah selepas Tenang, Pas bermuhasabah. Taktik lapuk yang memperbodohkan pengundi terutama Melayu dengan memperalatkan agama sudah tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi apabila Pas terlalu mengharap undi Cina hingga sanggup bersekongkol dengan DAP.

Orang Melayu mulai memikirkan masa depan anak cucu-cicit mereka. 'Buku jingga 100 hari' dilihat sebagai penjual mimpi yang tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang boleh ditawarkan.

Kini Tenang dilanda banjir teruk. Mana perginya pemimpin dan penyokong Pas yang ramai di hari berkempen tempoh hari? Rakyat mahukan bantuan. Inilah pengajaran paling besar tentang kejujuran dan keikhlasan mengikut Islam. Tapi Pas hanya mahu undi saja


Bookmark and Share