Thursday, February 3, 2011

Jentera UMNO hadapi PRK DUN Merlimau dilancar Sabtu ini

MELAKA_Jentera Penerangan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan dilancarkan di Dewan Masyarakat Air Merbau, Merlimau, Sabtu ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia sebagai persediaan awal membantu UMNO negeri dan UMNO Bahagian Jasin memastikan Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi DUN Merlimau pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.

Menurutnya, jentera penerangan itu akan digerakkan di setiap peringkat untuk turun padang dan menjelaskan kepada rakyat berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

"Jentera kita akan disertai oleh penceramah, penulis dan bloggers yang akan menjawab setiap isu seperti kenaikan harga barangan dan beberapa isu nasional.

"Penceramah termasuk mereka yang terlibat akan dibekalkan dengan segala maklumat terkini yang mampu menjawab sebarang isu yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang kepada penduduk di Merlimau," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pilihan Raya DUN Merlimau yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Idris Haron dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jentera penerangan yang akan dilancarkan itu adalah sama seperti di DUN Tenang tetapi ada kelebihan berdasarkan pengalaman yang dilalui sebelum ini.

"Menjadi hasrat utama kita untuk memastikan calon BN yang akan bertanding pada 6 Mac ini akan turut beroleh kemenangan seperti yang dicapai di DUN Tenang.

"Lebih penting, kita mahu DUN Merlimau turut mencatat kemenangan dengan majoriti yang besar," katanya.

Sementara itu Mohd. Ali berkata, BN negeri telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya kecil itu dengan semua parti komponen telah mengemas kini jentera masing-masing.

"Saya akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa ini untuk memaklumkan langkah-langkah dan persediaan yang dibuat oleh BN negeri," katanya.

Beliau turut meminta UMNO di negeri lain berkampung di Merlimau sebelum atau selepas penamaan calon bagi membantu jentera UMNO negeri.



Bookmark and Share