Saturday, February 5, 2011
MIC fokus program melonjakkan sosioekonomi masyarakat India
MEMBINA kapasiti insan untuk membebaskan komuniti kaum India yang terpinggir daripada belenggu kemiskinan adalah komitmen dan tanggungjawab barisan kepemimpinan baru MIC yang dibentuk 6 Disember lalu.
Program berbentuk kemahiran, keusahawanan kecil serta pendidikan yang mampu mengangkat naik setakuk lagi taraf sosioekonomi kira-kira 30 peratus komuniti kaum itu sedang giat diatur MIC dengan bantuan sekumpulan pakar dan tokoh berpengalaman termasuk bidang perniagaan.
"MIC mahu membina kapasiti mereka kerana saya percaya dengan kemahiran atau skim bantuan kredit mikro yang diberikan, mereka mampu meningkatkan pendapatan sekali gus merubah kehidupan menjadi lebih baik"
“Yang penting, kalau ekonomi mereka baik, kita (MIC) pun tidak ada masalah. Tujuan utama MIC sekarang ialah memperkuatkan ekonomi keluarga yang masih terperangkap dalam masalah kemiskinan,” kata Presidennya, Datuk G Palanivel.
Dalam menyusun program penting yang bakal menampilkan bentuk kepemimpinan baru MIC, selain menggariskan pendekatan terkini memenuhi tuntutan landskap semasa serta komitmen memperkasakan sosioekonomi masyarakat India, kepemimpinan tertinggi parti akan menghadiri mesyuarat kedua untuk memperhalusi hala tuju baru itu, pada 17 Februari ini.
Turut akan dibincangkan ialah kandungan draf Program Keusahawanan Masyarakat India yang disarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Februari lalu, supaya diatur dan dilaksanakan secepat mungkin oleh kepemimpinan baru parti.
“MIC mewujudkan satu jawatankuasa khas, termasuk pakar berpengalaman dalam perniagaan untuk menyediakan isi program ini dan menyerahkannya kepada kerajaan secepat mungkin untuk mendapatkan peruntukan,” katanya.
Biarpun bermula dengan membuat kuih muruku, Timbalan Perdana Menteri nampak apa saja kegiatan keusahawanan secara kecil-kecilan berupaya menjana pendapatan lebih baik peserta program berkenaan.
“Lakukannya (program itu) untuk masa depan anda (kaum India),” katanya yang ditujukan kepada kepemimpinan MIC pada satu majlis di Labis, baru-baru ini sambil menegaskan soal pendapatan diri atau keluarga adalah sesuatu yang sangat penting untuk dicari dan ditingkatkan.
Program Satu Keluarga, Satu Usahawan yang disarankan dan mendapat jaminan peruntukan antara RM10 juta hingga RM20 juta daripada Muhyiddin itu pastinya menepati hasrat seluruh kepemimpinan baru MIC yang akan memberi lebih banyak komitmen kepada pembangunan kapasiti serta potensi insan keseluruhan masyarakat India melalui keusahawanan, kemahiran serta pendidikan.
Palanivel juga ada pengalaman dan tertarik melihat komuniti berpendapatan kecil di India yang setiap keluarga menjalankan perusahaan atau perniagaan kecil dengan bantuan kerajaan sehingga akhirnya taraf kehidupan mereka meningkat.
MIC juga boleh meminta nasihat dan bimbingan daripada pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang ada pengalaman luas dari segi menguruskan serta kutipan balik pinjaman peserta.
Cabaran besar buat Palanivel kini ialah menyempurnakan program keusahawanan itu yang mendapat lampu hijau daripada kerajaan boleh dijadikan sebahagian daripada kandungan transformasi induk dalam MIC dan komuniti kaum India selepas era kepemimpinan 11 penggal Datuk Seri S Samy Vellu, selama 31 tahun lalu.
Beliau perlu membuktikan kepada komuniti India dan pihak yang ragu-ragu kepemimpinannya dengan membentangkan program komprehensif mengenai program itu dalam tempoh paling segera.
Bukan setakat untuk memanjangkan survival MIC dan politiknya, ketangkasan Palanivel melaksanakan program itu akan menjadi faktor penarik sokongan komuniti India kepada parti, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN), amnya. Kesannya akan dinilai oleh rakyat antara lain melalui pilihan raya umum akan datang.
Namun beliau ada rekod baik kerana membawa pelbagai program dan skim membasmi kemiskinan ke dalam komuniti kaum India ketika menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti bagi tempoh 1999 hingga 2008.
Antaranya, Program Pembangunan Industri Tembikar, Program Sutera Sari, Program Sutera Sari dan Program ‘Cyber Start’ yang membabitkan ribuan wanita serta pemimpin akar umbi.
Dengan kedudukan sekarang, Palanivel perlu mempertingkatkan kerjasama MIC dengan pengurusan AIM dan TEKUN untuk membantu lebih ramai kaum India dalam skim bantuan kredit mikro untuk menjayakan projek keusahawanan secara kecil-kecilan.
Jadi, cabaran lain menanti beliau untuk menjayakan transformasi komuniti India ialah bagaimana hendak ‘membawa kerajaan’ ke dalam komuniti itu? Ini kerana ialah ketiadaan atau ketidakcukupan kakitangan kerajaan keturunan India dalam bidang berkaitan untuk masuk dan melaksanakan program itu dalam komuniti berkenaan.