UNGKAPAN 'luar biasa' pada akhir-akhir ini nampaknya menempah popularitinya tersendiri apabila ramai tokoh politik menggunakannya untuk menggambarkan keadaan tertentu. Minggu lalu, misalnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan ketika menggulung debat Bajet 2009 di Dewan Rakyat menyifatkan krisis kewangan global sekarang dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia sebagai sesuatu yang luar biasa. Situasi luar biasa itu, katanya, menuntut kerajaan memberikan respons yang luar biasa juga dalam menangani masalah yang timbul
Pada pilihan raya umum Mac lalu apabila Barisan Nasional merekodkan prestasi terburuk dalam sejarahnya dan pakatan pembangkang berjaya menawan empat negeri serta mengekalkan kuasa di Kelantan, fenomena itu juga dianggap luar biasa oleh banyak pihak.
Keputusan itu juga membawa implikasi luar biasa terhadap landskap politik negara sehingga akhirnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkap Presiden Umno mengambil keputusan mengundur diri berikutan desakan akar umbi parti dan orang ramai.
Berikutan perkembangan itu, pemilihan pucuk pimpinan Umno pada Mac tahun depan juga menjanjikan sesuatu yang luar biasa dalam banyak aspek. Sebagai contoh, minat yang ditunjukkan anggota, orang ramai dan pihak media terhadap pertandingan pelbagai jawatan dalam pemilihan yang bakal diadakan itu adalah luar biasa berbanding pemilihan pada masa lalu.
Begitu juga halnya dengan bilangan calon yang menawarkan diri untuk merebut jawatan utama dalam semua sayap parti sama ada parti induk mahu pun sayap lain seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Meskipun pertandingan atau perebutan jawatan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi yang mengamalkan sistem demokrasi, keluarbiasaan muncul apabila bilangan dan jumlah yang berminat melebihi kebiasaan.
Untuk Pergerakan Puteri saja, misalnya, tujuh calon memperoleh kelayakan untuk bertanding manakala untuk jawatan Naib Ketua Puteri, lima calon melepasi kuota. Tanda-tanda awal menunjukkan semua mereka bersedia untuk bertanding, sekali gus menolak andaian sesetengah pihak sebelum ini bahawa penonjolan ramai calon itu perkara biasa kerana sebahagian besar daripada mereka akan menarik diri menjelang tarikh perhimpunan agung.
Sekiranya tiada yang menarik diri menjelang tarikh itu, maka pemilihan Ketua Puteri Umno nanti bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru sementara bagi Naib Ketua, pertandingan dijangka lima penjuru. Mereka yang bakal berentap untuk jawatan Ketua Puteri ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Datuk Shahaniza Samsudin, Azlina Mehtab Mohd Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md Noor. Untuk jawatan Naib Ketua pula, calon yang dijangka bertanding ialah Nolee Ashilin Radzi, Shahanim Mohd Yusof, Dr Wan Norashikin Wan Nordin, Nordiana Shafie dan Haslinda Mohd Zerain.
Oleh kerana masing-masing calon mempunyai kekuatan tersendiri, anggota perwakilan puteri ke perhimpunan Puteri nanti tentulah akan pening kepala untuk memilih calon terbaik mengikut perhitungan mereka. Pengalaman ini tentulah sesuatu yang luar biasa sejak Puteri ditubuhkan.
Kecuali Tan Sri Rafidah Aziz mengubah keputusannya yang disokong oleh Exco Pergerakan Wanita untuk melaksanakan pelan peralihan kuasa pergerakan itu pada Jun tahun depan, jawatan Ketua Pergerakan Wanita akan datang juga dijangka ditentukan melalui pertandingan sengit antara Rafidah sebagai penyandang dan naib beliau sekarang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai pencabar.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda pula, tiga calon nampaknya akan berentap menjelang Mac depan. Mereka ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda sekarang.
Untuk jawatan utama dalam parti induk pula, keadaan yang luar biasa juga dapat dikesan apabila seramai lapan calon memperoleh kelayakan dari segi pencalonan untuk bertanding. Mereka terdiri daripada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Kemuncak kepada keluarbiasaan pengalaman yang menunggu anggota perwakilan Umno Mac ini tentulah pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Timbalan Presiden Umno antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Meskipun dari satu segi, keghairahan luar biasa merebut jawatan utama dalam pemilihan Umno itu nanti membuktikan bahawa demokrasi tetap segar bugar dalam parti terbabit, sedikit sebanyak ia pasti menimbulkan perpecahan dalam parti nanti berdasarkan kepada pengalaman lalu. Abdullah yang akan bersara mengakui perkara ini ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, baru-baru ini.
Beliau cuma berharap agar anggota parti yang berpuak-puak dalam musim pemilihan ini akan bercantum semula selepas pemilihan. Sama ada ini akan berlaku atau sebaliknya, terpulang kepada kebijaksanaan bakal Presiden, Najib dan ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih nanti.
Bagaimanapun, ramai pemerhati dan peminat politik di luar Umno mempersoalkan kebijaksanaan membenarkan pertandingan untuk jawatan penting dalam parti terutama di peringkat Timbalan Presiden dan ketua sayap utama seperti Pergerakan Wanita, terutama ketika parti terbabit berada dalam kedudukan paling lemah selepas dipukul teruk dalam pilihan raya umum lalu. Mereka bimbang tempoh kempen yang secara relatifnya panjang ditambah pula dengan gejala politik wang yang dikatakan berleluasa akan membawa parti itu ke lembah kehancuran selepas ini.
Ada juga yang bertanya kalau-kalau ada tangan yang tersembunyi sengaja memanipulasi keadaan untuk menghancurkan Umno secara terancang. Bagaimanapun, pemimpin dan anggota Umno dipercayai lebih bijak menguruskan hal ehwal masing-masing.
Apa yang diharapkan ramai pihak ialah semoga selepas ini, parti terbabit tidak akan terjebak dalam situasi yang digambarkan pepatah lama Melayu, 'menang sorak, kampung tergadai'. Kalau itu berlaku, ia adalah lebih luar biasa daripada keluarbiasaan yang pernah dialami parti itu sejak penubuhannya 62 tahun lalu.