Tuesday, November 11, 2008

Mencapai impian bina bangsa Malaysia bersatu

PERSOALAN mengenai 'bangsa' dan 'negara-bangsa' Malaysia terus menjadi perbincangan di kalangan generasi muda berpendidikan. Selepas 'tsunami' politik 8 Mac lalu, mereka cuba mencari perspektif dan dimensi baru erti bangsa Malaysia sebenarnya. Ramai terbabas sehingga merentasi semangat Perlembagaan negara.

Apakah pengertian bangsa dan apakah pula yang dimaksudkan negara-bangsa itu? Bukankah negara sudah muncul sebagai negara-bangsa yang berdaulat? Dalam memahaminya, sejarah harus dijadikan landasan membahaskan persoalan terbabit. Persoalan mengenai bangsa dan negara-bangsa muncul selepas era imperialisme dan kolonialisme yang mana negara yang merdeka cuba mencari identiti baru dalam kerangka 'negara-bangsa' berasaskan semangat nasionalisme Barat.

Dalam konteks negara moden, 'bangsa' bermaksud rakyat tanpa mengambil kira suku bangsa dan ras. Ia berbeza dengan pandangan sosiologi yang mentakrifkan suku bangsa berasaskan kepada kesamaan ciri fizikal (biologi) dan biasanya tinggal di dalam satu wilayah tertentu seperti rumpun Melayu di Nusantara, bangsa Eropah di benua Eropah, bangsa India di benua India, bangsa China di Tanah Besar China, Negro di benua Afrika dan bangsa Arab di Asia Barat.

Namun, sesuatu kelompok ras tidak semestinya berada dalam satu 'negara', sebaliknya ia mungkin berada di beberapa negara dalam lingkungan wilayah ras mereka. Misalnya, orang Melayu ada di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan beberapa negara dalam lingkungan Asia Tenggara.

Bagaimanapun sebuah negara mungkin terdiri daripada beberapa ras seperti yang wujud di Amerika Syarikat, Eropah, Malaysia, Indonesia dan banyak negara lain di dunia. Ini semua berlaku disebabkan proses kemasukan kaum imigran, sama ada kesan daripada dasar penjajah seperti berlaku di negara kita atau kesan dan pengaliran masuk tenaga buruh asing.

Faktor kemasukan buruh asing lebih ketara pada era globalisasi sehingga sesetengah negara mengamalkan dasar kerakyatan liberal seperti yang diamalkan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah. Namun, mereka yang diberi kerakyatan perlu mengikut polisi dan dasar yang dibentuk oleh negara berkenaan.

Misalnya, mereka mesti mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang ditetapkan oleh negara terbabit. Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang berjaya membentuk dirinya sebagai satu bangsa, walaupun memiliki penduduk yang bersifat heterogen. Demikian juga Indonesia yang memiliki ratusan suku dan adat resam serta kaum imigran Cina, tetapi semuanya menganggap mereka sebagai satu bangsa Indonesia yang patuh dan taat setia kepada negara.

Pengertian asas mengenai 'negara-bangsa' pula boleh dirujuk dalam perjanjian Versailles, iaitu satu perjanjian yang menamatkan Perang Dunia Pertama yang ditandatangani di antara pihak Bersekutu dengan Jerman pada 28 Jun 1919. Perjanjian itu mentakrifkan sebuah negara harus diasaskan atas 'bangsa' yang disusun dalam satu organisasi (negara). Dalam konteks Malaysia, kelahiran kita sebagai negara-bangsa diadun daripada warisan penjajah dan juga akar umbi persekitaran, iaitu warisan dan budaya kaum Melayu.

Konsep 'bangsa Malaysia' turut didefinisikan dalam Perlembagaan Negara 1957 yang menekankan sekurang-kurangnya tiga elemen utama yang dapat menjelaskan sifat dan ciri 'bangsa Malaysia', iaitu berkaitan dengan kewarganegaraan, taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara dan penguasaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Selama ini, unsur itu berupaya membawa kumpulan etnik berbeza ke arah satu identiti kebangsaan yang universal dan bersatu sebagai rakyat sebuah negara.

Perpaduan menjadi teras kekuatan bangsa Malaysia. Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara (1992) mendefinisikan perpaduan negara sebagai 'satu keadaan yang mana rakyat daripada pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.'

Jika kita mahu menghayati sejarah negara, maka kita mendapati usaha untuk membina bangsa Malaysia bermula apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) membentuk gabungan Putera-AMCJA, iaitu singkatan Pusat Tenaga Rakyat dan All Malayan Council for Join Action pada 1946. PKMM ditubuhkan pada 1945 memperjuangkan konsep 'Melayu Raya' yang mahu memasukkan Malaya ke dalam Indonesia.

Mereka mengemukakan 'Perlembagaan Rakyat' yang menampilkan konsep bangsa, iaitu 'bangsa Malaya' yang terdiri daripada semua kaum yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanah airnya serta menunjukkan taat setia kepadanya.

Pada awal 1960, konsep bangsa Malaysia kembali hangat apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan gagasan penubuhan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Ketika usul itu dibawa ke Parlimen pada Mei 1961, Dr Burhanuddin Helmi mengusulkan pindaan gagasan Malaysia dinamakan 'Melayu Raya' dengan memasukkan Indonesia dan Filipina berasaskan bangsa Melayu oleh Jose Rizal. Akhirnya yang menjadi kenyataan ialah penubuhan gagasan Malaysia seperti dicadangkan Tunku Abdul Rahman.

Tun Dr Mahathir Mohamad (2003) mendifinisikan konsep bangsa Malaysia sebagai 'satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan sama dan dikongsi bersama. Sejahtera dan bersatu padu di antara wilayah atau kumpulan etnik. Hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang sebenar dan adil. Satu bangsa Malaysia yang kesetiaan, politik dan kebaktiannya bertumpu kepada bangsa terbabit'.

Persoalannya, mampukah kita menghayati gagasan bangsa Malaysia sebagai 'perasaan sebangsa' dalam pengertian yang konkrit, iaitu 'rupa bangsa yang sepunya'. Rasanya banyak kekangan yang harus dipecahkan seperti politik perkauman. Justeru, yang terbaik ialah terus berpegang kepada semangat toleransi dan persefahaman supaya terbina satu kesamaan identiti yang kukuh seperti yang pernah diucapkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri antara lain menyatakan: "Kita perlu terus membina satu kesamaan identiti yang kukuh berakar dalam persekitaran negara Malaysia berlandaskan segala keistimewaan yang terkandung daripada pelbagai budaya. Kita hendaklah terus menghargai semangat toleransi dan saling menghormati yang menjadi penentu kepada kedamaian dan perpaduan yang kita capai.