Wednesday, November 12, 2008

Sidang DUN Perak: BN pertikai kejujuran kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak

IPOH: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang mempertikaikan kejujuran kerajaan Pakatan Rakyat yang sering mendakwa lebih telus berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila dikatakan meluluskan 40 kawasan konsesi balak dengan 30 daripadanya diberi kepada kroni DAP sebaik mengambil alih kerajaan negeri selepas pilihan raya umum lalu.
Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor), berkata rakyat berhak meragui keikhlasan kerajaan campuran DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana melakukan tindakan demikian.

"Saya mendapat tahu perkara pertama dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat sebaik memperoleh kuasa ialah keputusan pemberian 40 konsesi balak yang diluluskan kerajaan sebelum ini"

("Penasihat" sebenar atau puppet master Menteri Besar Perak)


"Tiga puluh konsesi diberikan kepada DAP, yang lain saya tidak tahu... bodoh ke tidak," katanya selepas diberi laluan oleh ketua pembangkang, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang membahaskan Bajet 2009 kerajaan Perak di sini, semalam.

Sementara itu, Tajol Rosli (BN-Pengkalan Hulu) berkata, tuduhan Adun Pakatan Rakyat semua projek perniagaan, pembangunan serta peruntukan termasuk Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hanya diberi kepada ahli Umno tidak berasas sama sekali kerana Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sendiri pernah memperoleh projek daripada kerajaan BN.

"Sebelum MB (Menteri Besar) menjadi MB, dia juga seorang kontraktor dan dapat kontrak kerajaan antaranya di Komtar, Pulau Pinang dan di Manjung. Bagaimana dia boleh dapat projek sedangkan dia Setiausaha Pas Perak (ketika itu).

"Saya nak cakap dengan baik, jangan beri saya bola tanggung untuk saya ‘smash’," katanya.

Sebelum itu, Anuar Sudin (Pas-Changkat Jong) mendakwa kerajaan BN sebelum ini tidak adil kerana semua projek, kontrak serta kemudahan awam hanya boleh digunakan ahli Umno termasuk borang PPRT dipegang Ketua Umno berbanding kerajaan Pakatan Rakyat yang memberi keadilan kepada semua.

Tajol Rosli berkata, mesyuarat Umno Grik baru-baru ini terpaksa menyewa dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong kerana parti itu tidak dibenarkan menggunakan dewan milik kerajaan negeri, manakala ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerajaan yang lama bersusah-payah mengumpul wang bagi membeli peralatan seperti khemah dan peralatan dapur tetapi apabila JKKK baru ambil alih, JKKK lama dilarang menggunakan kemudahan itu.

"Ia bukan arahan Menteri Besar (melarang JKKK lama guna kemudahan) ke? Siapa sebenarnya yang tidak adil. Jadi, kerajaan negeri perlu pastikan semua rakyat boleh guna kemudahan (jika mahu dilihat adil)," katanya.