HARI ini 17 September 2008, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya masih menyaksikan rutin mingguan jemaah menteri menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Segala urusan di semua kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan yang berpusat di situ berjalan seperti biasa. Tiada yang luar biasa jika dibandingkan hari ini dengan hari-hari sebelumnya.
Cuma ada sedikit kelainan tercatat di Putrajaya hari ini apabila Abdullah memanggil sidang akhbar mengumumkan penyerahan jawatan Menteri Kewangan 1 kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jawatan Menteri Pertahanan yang sebelum ini disandang oleh Najib pula dipikul oleh Perdana Menteri berkuatkuasa serta-merta. Manakala tempoh peralihan kuasa diperakui oleh kedua-duanya kekal pada 2010.
Itulah perkembangan terbaru dan terkini dari Putrajaya dan tiada lain daripada itu seperti diuar-uarkan oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seharusnya diakui kebelakangan ini pemikiran dan tumpuan kakitangan kerajaan sedikit terganggu apabila ahli Parlimen Permatang Pauh itu tampil dengan penuh yakin bersama misi untuk menawan Putrajaya yang sepatutnya disempurnakan semalam.
Di sebalik penafian demi penafian di pihak Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang diuar-uarkan akan melompat parti, terpalit sedikit kebimbangan serta rasa gelisah kalangan rakyat sementara menunggu hadirnya 16 September.
Bukan sahaja kalangan rakyat bawahan, golongan pertengahan serta profesional yang diajak berbicara tentang pembentukan kerajaan baru oleh pakatan pembangkang pada 16 September tidak menolak kemungkinan itu.
Apatah lagi selepas Anwar mencatatkan kemenangan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini, gambaran yang diperoleh menunjukkan sokongan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak boleh diperkecilkan.
Sebab itu paluan gendang mengenai pembentukan kerajaan pakatan pembangkang tidak boleh tidak 'mengganggu' perhatian banyak orang di negara ini, biar pun ramai yang tidak percaya namun untuk menolaknya seratus peratus tidak sama sekali.
Namun kepercayaan serta keyakinan terhadap Anwar dan impian indah yang kini telah pun hancur lebur hakikatnya semakin goyah kerana sikap berdolak dalik beliau yang tidak pernah berubah.
Kita tentu tidak lupa bagaimana Anwar mencadangkan supaya negeri yang dikuasai pakatan pembangkang mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum sempena pembentukan Malaysia yang menyaksikan kemasukan Sabah dan Sarawak.
Sementelah beberapa purnama sebelum itu Anwar mencanangkan kekecewaan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu sehingga mereka beralih arah kepada pakatan pembangkang.
Kononnya jika cadangan tersebut dilaksanakan kelak, maka terubatlah luka mereka, dan sokongan kepada Anwar akan bertambah padu. Ia juga bertujuan menunjukkan betapa Ketua Pembangkang itu amat prihatin akan nasib penduduk di kedua-dua negeri itu dan mahu mereka dihargai dengan cara memberi cuti pada tarikh penting itu.
Lebih daripada itu, tarikh 16 September bersekali dengan idea pembentukan kerajaan pakatan pembangkang, justeru perisytiharan cuti umum tentunya sesuatu yang amat perlu.
Namun cadangan semudah dan seringkas itu pun tidak mendapat sokongan padu menteri besar dan ketua menteri di lima buah negeri yang dikuasai pakatan pembangkang. Masing-masing tampil dengan alasan tersendiri.
Dan apabila tiba tarikh 16 September tidak ada satu negeri pun yang mengisytiharkan cuti - cadangan Anwar tinggal retorik dan seolah-olah tidak dihormati langsung oleh anak buah Perdana Menteri yang bakal dinobatkan itu.
Kemuncak
Kemuncak malam menjelang 16 September juga memperlihatkan bahawa impian Anwar tidak bersandarkan hujah jauh sekali bukti kukuh. Kehadiran ribuan penyokong pakatan pembangkang membawa harapan menggunung pada malam tersebut, namun ucapan Anwar yang ditunggu-tunggu ternyata hanya mengulangi episod silam.
Tiada idea baru jauh sekali sekelumit ayat yang boleh mengukuhkan segala impiannya, lebih daripada itu tiada countdown di ambang 16 September sebaliknya lampu di stadium dimatikan sebelum jam 12 tengah malam.
Pusingan masa telah membuktikan bahawa Anwar berjanji kosong sekali gus membohongi rakyat dan mengusik keharmonian yang telah dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan. Ketua Pembangkang itu cuba mengheret rakyat ke dalam mimpi-mimpinya dan kegilaan Anwar itu ternyata sedikit sebanyak menjejaskan usaha kerajaan untuk membangunkan negara apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Wakil-wakil rakyat tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kerana terpaksa menyakinkan pengundi masing-masing bahawa mereka tidak akan melompat parti. Anwar pula bermati-matian mempertahankan kenyataannya bahawa nama lebih 30 ahli Parlimen BN telah berada di dalam genggamannya.
Hakikatnya, jika benar sekali pun sebanyak itu ahli Parlimen BN yang akan melompat parti, penubuhan kerajaan pakatan pembangkang tidak semudah itu.
Pas sehingga kini tidak menyatakan komitmennya terhadap kerajaan 'mat jenin' Anwar. Jika ada pun yang kelihatan taksub kepada idea tersebut jumlahnya boleh dibilang dengan jari.
Apa akan jadi jika Pas enggan bekerjasama menjayakan kerajaan pakatan pembangkang yang kini tarikh akhirnya dilanjutkan lagi itu. Ia bukannya sesuatu yang mustahil kerana teras kerajaan pakatan pembangkang tidak bersandarkan Islam dan sukar diterima akal jika DAP mahu membenarkan pemimpin Pas menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu tidak ada salahnya jika cita-cita Anwar disamakan dengan angan-angan mat jenin malah kegilaannya lebih daripada itu. Mat jenin tidak mengheret rakyat dalam mimpi-mimpinya. Mat jenin cuma mengangankan tuan puteri tanpa mendatangkan kerosakan kepada orang lain.
Tetapi Anwar telah mengkucar-kacirkan pemikiran rakyat sehingga pembohongan tidak berlapik itu diterima bulat-bulat biarpun tidak masuk akal.
Hentikanlah semua sandiwara yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat, jika Anwar gila untuk memerintah maka lakukanlah secara berhemah. Jika ada rezeki jadilah Perdana Menteri dengan dengan cara yang bermaruah dan bukannya dengan merosakkan pemikiran rakyat.