Jika ditanya sekarang ini kepada orang bukan Melayu, apa kuasa yang ada pada orang Melayu? Jawab mereka orang yang berkulit sawo matang ini adalah pemerintah kerajaan, kakitangan awam, polis, tentera, pihak yang ada kuasa penguatkuasaan dan suka menyaman orang. Pada mereka golongan ini tidak memberikan keadilan kepada mereka kerana yang menguatkuasakannya adalah majoritinya orang Melayu.
Sedangkan undang-undang tidak mengenal warna kulit, bangsa dan agama. Yang salah tetap salah. Cuma pelaksana undang-undang dan peraturan adalah kebanyakkannya orang Melayu, persepsi mereka orang Melayu sering menyalahgunakan kuasa untuk menindas kaum lain.
Tanyalah peniaga haram VCD, pekedai yang meletakkan barangan di kaki lima kedai, pemandu yang sering melakukan kesalahan jalan raya dari kaum lain, mereka akan mengutuk “kerajaan” kerana mengambil tindakan undang-undang atau saman terhadap mereka. Pada mereka saman yang dikeluarkan oleh bangsa asing daripada mereka adalah suatu diskriminasi kaum, kononnya. Padahal apabila mereka di saman membuang sampah di Singapura atau menahan teksi bukan di tempatnya di Hong Kong, tidak pula mereka “mengutuk” petugas yang mengeluarkan saman. Ini kerana petugas itu sama bangsa dengan mereka dan takut pula sehingga tergesa-gesa membayar saman.
Ironinya keadaan sebegini telah lama berlaku. Mereka benci kerajaan kerana sering mengganggu kerja harian mereka terutamanya peniaga yang menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang dan peraturan. Secara langsungnya mereka telah di tanam membenci Melayu juga kerana dalam benak otak mereka kerajaan itu Melayu dan Melayu itu kerajaan.
Kini, mereka semakin berani menonjolkan kemarahan mereka terhadap kerajaan apabila pembangkang semakin kuat dalam penguasaan kuasa sama ada di parlimen ataupun dewan undangan negeri. Pada mereka 82 kerusi pembangkang di parlimen, menang hampir semua kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan memerintah 5 negeri di Semenanjung telah menyemarakkan lagi penonjolan secara terbuka sikap anti kerajaan dan anti Melayu secara langsungnya.
Mereka menjadi “syok” apabila ditambah dengan petualang orang Melayu sendiri yang sanggup menggadai maruah dan ketuanan Melayu dengan menjadi jurucakap kepada orang bukan Melayu untuk mempertikaikan hak keistimewaan kaumnya sendiri.
Pemimpin PKR seperti Khalid Ibrahim bolehlah kita lebelkan sebagai “orang Melayu murtad” yang tidak sedar diri dan sudah pun menjadi seperti kacang lupakan kulit. Jelas sekali orang Melayu di dalam PKR kini menjadi “barua” kepada DAP. Bukan suara Khalid yang sebenarnya untuk memberi cadangan di buka kuota 10 % kepada kaum lain untuk menuntut di UiTM.
Akibat tamak dan gelojoh kuasa supaya ingin kekal sebagai pemimpin negeri, Khalid sanggup lakukan apa sahaja arahan daripada DAP terutamanya Ronnie Liu. Sanggup juga menjual orang Melayu demi menjamin jawatannya sebagai Menteri Besar. Sanggup juga menghina orang Melayu sendiri semata-mata kepentingan politiknya yang seakan-akan memperlihatkan beliau sendiri sudah bukan orang Melayu.
Golongan penentang secara senyap ini semakin membara anti Melayunya apabila dengan secara tiba-tiba beberapa pemimpin kaum bukan Melayu mula mengkritik kerajaan dan orang Melayu secara terbuka. Sifir di sini cukup mudah – kerajaan itu Melayu, Raja itu Melayu dan UMNO itu Melayu. Lebih naik tocang golongan penentang senyap ini ialah apabila pemimpin bukan Melayu dari komponen Barisan Nasional(BN) sendiri yang tewas dalam pilihan raya dan yang menang tetapi tidak di pilih menganggotai kabinet mula melakukan “serangan terbuka” kepada pemimpin kerajaan dan UMNO.
Ong Ka Ting telah mula mengutuk orang Melayu dan Tengku Mahkota Kelantan apabila satu perhimpunan untuk menyatupadu dan memperkasakan Melayu dikatakan cuba menimbulkan sentimen anti perpaduan. Ketuanan Melayu mula dicabar dan sudah berani bangsa asing mempertikaikannya. Salahkah orang Melayu bermuhasabah dan mencari formula untuk bersatu sesama mereka dan di tanah airnya sendiri?.
Samy Vellu dengan lantang mengutuk Dr. Mohamad Khir Toyo kerana beliaulah menyebabkan orang India mengundi pembangkang kerana isu merobohkan kuil Hindu. Yang hairannya kenapa semasa di dalam kerajaan perkara ini tidak diutarakan?. Sungguh mudah menuding jari untuk menyalahkan UMNO yang menyebabkan prestasi partinya merosot. Malah beliau mendesak kerajaan membebaskan lima pemimpin Hindraf yang di tahan di kem Kemunting dengan alasan yang berbaur perkauman.
Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan pula dengan lantang dan berani mencampuri urusan rumah tangga UMNO dengan menghina UMNO dengan tuduhan orang UMNO asyik suka berebut jawatan dan kuasa sehingga berani mencadangkan UMNO menukar pecuk pimpinan parti.
Apakah sudah ada suatu pakatan sulit oleh pihak tertentu untuk melupuskan Melayu dari negaranya sendiri? Kuasa ekonomi, golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan akauntan sememangnya sudah dikuasai oleh bukan Melayu. Malah pemilikan hartanah terutamanya di bandar sudah lama dikuasai oleh bangsa asing. Apakah sudah ada gerakan sulit orang bukan Melayu tanpa mengira parti di pihak kerajaan atau pembangkang, untuk menguasai kuasa politik pula?.
Perkara ini sebenarnya tidak mustahil untuk menjadi kenyataan. Dalam suasana politik negara masa kini, tidak mustahil aspek politik yang satu-satunya dikuasai oleh orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit. Jika diambil kira 60 peratus penduduk Malaysia adalah orang Melayu, secara mudahnya keanggotaan ahli parlimen yang seramai 222 orang itu semestinyalah lebih kurang 133 orang ahli parlimen dari orang Melayu. Keputusan pilihan raya 2008 menunjukkan ahli parlimen orang Melayu hanya seramai 124 orang sahaja iaitu termasuk dari parti UMNO, PKR, PAS dan parti dari Sarawak. UMNO sebagai tonggak pejuang orang Melayu hanya ada 78 kerusi sahaja. Bayangkan semua ahli parlimen bukan Melayu bersatu dan termasuk “pak turut DAP” orang Melayu dari PAS dan PKR menentang UMNO, apa akan jadi kepada negara dan bangsa Melayu? Sebenarnya suara jati orang Melayu iaitu diwakili oleh UMNO di parlimen hanyalah 35 peratus sahaja dari keseluruhan ahli parlimen. Fikirkanlah.
Atas perkiraan sebegitulah ahli politik bukan Melayu semakin lantang menghina UMNO dan orang Melayu kerana mereka tahu orang Melayu sudah tidak kuat dalam kuasa politik. Pada mereka orang Melayu di dalam PAS dan PKR tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan paksi Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP. Lebih-lebih lagi mereka sedang kemaruk kuasa terutamanya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Siapa sebenarnya Menteri Besar Selangor dan Perak kalau bukan DAP?
Akibat idelogi dan janji pakatan untuk menang dalam pilihan raya yang lalu, PAS dan PKR sebenarnya tersepit dalam konteks membela orang Melayu. Kerana rakus berpolitik , mereka sanggup mengenepikan dan melupakan bahawa diri mereka adalah orang Melayu. Yang untung adalah DAP sebenarnya. Lebih parah lagi PKR sendiri yang kononnya parti berbilang kaum (tetapi sebenarnya lebih mirip kepada parti Melayu) mula memeningkan kepala pemimpinnya apabila ramai calon bukan Melayu menang di dalam pilihan raya. PKR juga risau jika ahli bukan Melayu mula menguasai parti.
Hebatkan orang Melayu berpolitik sehingga sanggup menelan jadam walaupun rakan pakatan mereka sudah boleh menghina, mencerca, mengutuk, mencampuri hal rumah tangga orang Melayu dan malah menghina Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Tanpa mengira UMNO, PAS atau PKR, mereka semuanya sama sahaja kerana sikap orang Melayu sendiri yang terlampau berbudi bahasa, terlampau berlebih kurang, terlampau bersikap tidak apa dan terlampau sangat mengambil hati orang bukan Melayu sehingga bangsa lain sudah boleh memijak kepala orang Melayu.
Akibat percaturan politik orang Melayu sendiri, Karpal Singh dengan bangganya mengadakan sidang media di Parlimen dengan duduk di kerusi roda dan berlatar belakangkan Jata Negara Malaysia, telah secara bongkak, ego dan sombongnya mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan campurtangan istana dalam pentadbiran negeri. Tidak cukup dengan itu, selang sehari sahaja beliau turut mempertikaikan titah Yang Di Pertuan Agong semasa upacara perasmian persidangan parlimen penggal yang ke 12. Mengapa Karpal Singh berani berkata-kata sebegitu?. Jawabnya beliau sudah tahu kuasa politik orang Melayu semakin lemah dan berpecah belah. Beliau tahu orang Melayu dalam PKR akan diam seribu bahasa. PAS pula akan memutar belitkan fakta dan akan mengaitkan Islam dan pegangan anti nasiolismenya. Itu sememangnya kerja mereka tanpa mempedulikan hak keistimewaan, ketuanan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Apabila orang bukan Melayu mula mengungkitkan kuasa Raja-Raja Melayu, apa reaksi kita sebagai orang Melayu?. Di sini jelas menunjukkan walaupun sultan sebagai ketua negeri dan jajahan takluknya, orang bukan Melayu sekarang ini langsung tidak peduli. Jika pemimpin politik mereka boleh berkata sebegitu, bayangkan golongan bawahan apa pula kata mereka yang semestinya tidak ditapis ayatnya dan malah lebih hina dan provokasi sekali ungkapan mereka.
Mungkin secara kebetulan sebaik sahaja tamat Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor pada 2 Mei hingga 4 Mei lalu, maka perbagai isu mula dibangkitkan. Apakah bukan Melayu cemburu apabila Melayu bersatu? Apakah hak mereka untuk mencampuri urusan dalaman orang Melayu sehinggakan majlis perpaduan dan perbincangan orang Melayu pun hendak dipertikaikan?
Salah kita sendiri kerana sebelum ini orang Melayu terlampau toleransi dengan bangsa lain dengan kata-kata “tak apa..kita negara berbilang kaum..mestilah saksama”. Akibatnya orang Melayu secara keseluruhan telah mula dihina, dicerca dan dipertikaikan pula hak ketuanan orang Melayu dan melindungi hak orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Malah isu menghunus keris oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut dipertikaikan. Apakah keris sebagai lambang kekuatan, tradisi dan sejarah Melayu pun boleh dipertikaikan?. Sungguh malang sekali. Lebih malang lagi orang Melayu sendiri memohon maaf kepada bangsa lain secara terbuka untuk menutup isu keris yang kononnya menjadi suatu isu besar semasa pilihan raya lalu? Apakah benar besar isu tersebut ataupun takut dengan bayang-bayang sendiri kerana terlalu taksub mengamalkan toleransi dalam kepartian sehingga sanggup melukakan hati orang Melayu?. Kita hendak hunus ke, nak asap kemiyan ke keris tersebut, mengapa pula cepat melatah?. Sedangkan upacara tersebut sudah lama berlaku dan berlangsung di dalam “rumah UMNO’ sendiri iaitu di PWTC bukannya di dewan MCA. Terlampau sangat bertolak ansur sehingga bangsa lain hilang hormat kepada orang Melayu.
Segala yang keji dan buruk sebenarnya sudah berlaku kepada orang Melayu. Yang belum lagi ialah dibuli, disiksa dan dihalau dari tanah airnya sendiri. Apakah orang Melayu baru hendak bersatu apabila perkara tersebut berlaku?. Mungkin sudah terlambat umpama nasi menjadi bubur. Tetapi masih belum terlewat jika kita benar-benar ikhlas untuk bersatu dengan menolak segala idealogi politik dan mesti bebas unsur peribadi.
Melayu boleh perkasa jika amalan turun temurun iaitu “perasaan hasad dengki” dihapuskan dari sanubari setiap insan yang bergelar orang Melayu. Kekalkan institusi raja sebagai lambang dan payung keutuhan jatidiri dengan pengekalan tradisi orang Melayu.
Ketepikan ego dan bongkak disamping musnahkan tamak dan haloba untuk berjaya dalam kehidupan. Sandaran kepada bangsa lain perlu dihapuskan kerana Melayu boleh berdikari jika mental kita terbuka dan kuat semangat keMelayuannya. Pedulikan apa yang hendak diperkatakan oleh Karpal Singh, Lim Kit Siang, Samy Vellu, Ong Ka Ting dan lain-lain. Orang Melayu mesti sanggup melakukan revolusi mental dirinya sendiri. Gerakkan semboyan untuk mengejutkan orang Melayu yang masih tidur dan dibuai mimpi. Padukan tenaga membimbing generasi muda agar mengenal siapa sebenarnya bangsa mereka yang bernama Melayu agar mereka tidak hanyut akibat pengaruh kemodenan suntikan pemusnah ala “penghapusan etnik” secara saraf dan materialistik.
Mungkin kata-kata Al Marhum Pak Hamka “Mereka tahu kelemahan kita dan tidak susah untuk memusnahkan kita. Hanya jihad bangsa dan agama sahaja yang boleh mengagungkan kita”, boleh diambil panduan sebagai pemula gerak perpaduan Melayu untuk menjamin ketuanan, hak dan keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun