Tanggal 16 September adalah ulang tahun penubuhan Malaysia. Tarikh keramat yang memerdekakan Sabah, Sarawak dan Singapura apabila menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Hari ini, tarikh 16 September 2008 menjadi perhatian seluruh negara dan masyarakat antarabangsa. Apakah sejarah baru akan dicipta, dengan pemerintahan kerajaan Persekutuan bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat?
Hari ini, tarikh 16 September 2008 menjadi perhatian seluruh negara dan masyarakat antarabangsa. Apakah sejarah baru akan dicipta, dengan pemerintahan kerajaan Persekutuan bertukar tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat?
(The Zig-Zag Road to Sept 16?? Can you believe it?)
Dalam politik ia bukan mustahil berlaku dan tidak boleh ditolak ke tepi begitu sahaja.
Cerita pembentukan kerajaan baru yang digembar-gemburkan dan sepatutnya berlaku pada hari ini adalah satu perkara yang ditunggu-tunggu, tetapi kecelaruan rakyat dan ketidaktentuan satu hal yang lain.
Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun negara merdeka, fikiran orang Melayu yang sepatutnya menumpukan kepada ibadah puasa Ramadan ini didera kerana pergolakan politik dan cita-cita merebut kuasa.
Inilah yang terjadi apabila Anwar Ibrahim yang tidak berkesempatan menyertai pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu menggunakan pilihan raya kecil Permatang Pauh untuk memulakan langkah ke Putrajaya.
Anwar menyatakan bahawa kerajaan BN akan tumbang pada 16 September ini. Mereka mendakwa seramai 30 orang ahli parlimen (MP); 13 daripada Sabah dan 17 daripada UMNO Semenanjung akan menyertai mereka menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan baru menggantikan BN.
Ketika ini Parlimen Malaysia mempunyai 222 buah kerusi. Kerajaan BN mempunyai 140 kerusi manakala PR 82. BN menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah iaitu majoriti 58 kerusi; kurang 8 untuk membentuk majoriti 2/3.
Apakah mungkin 'Kejutan 16 September' terjadi pada hari ini?
Jika berlaku, rakyat ingin sangat melihat wajah ahli Parlimen yang hendak berpaling tadah ini. Jentera pelobi Pakatan Rakyat memfokuskan kepada ahli Parlimen UMNO Semenanjung dan BN Sabah untuk menyertai mereka.
Sebab itu ada rombongan pembangkang sanggup ke Taiwan untuk terus melobi anggota Parlimen BN yang membuat lawatan ke sana.
16 September cukup bermakna pada hari ini. Penyokong pembangkang yakin inilah saatnya pakatan pembangkang tampak mempunyai peluang cerah untuk menumbangkan kerajaan BN.
Sebaliknya, penyokong BN juga percaya inilah masanya tembelang kepura-puraan aspirasi Pakatan Rakyat boleh ditelanjangkan. Ini kerana apa lagi alasan dan hujah jika peristiwa 16 September tidak berlaku. Apakah maruah Anwar dan pembangkang tidak tercalar dan terhina?
Dengan masa yang tinggal beberapa jam sebelum tarikh hari ini bertukar ke angka 17 September akan terjawabkah satu teka-teki mengenai satu 'rampasan kuasa' dengan cara yang tidak beretika dalam sejarah negara.
Sekiranya 16 September gagal direalisasikan, kita percaya Anwar sudah bersiap sedia dengan pelbagai alasan. Sebelum ini Anwar tidak peduli pun soal tiadanya persidangan Parlimen dalam bulan Ramadan, ahli Parlimen Sabah dan Sarawak belum bersedia, masanya terlalu awal, lalu Anwar akan beri hujah bahawa usaha berterusan sedang dijalankan dan sebagainya.
Bagaimanapun PKR telah berjaya menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan rakyat terhadap pimpinan kerajaan BN. Setiap hari kita dihidangkan kisah 16 September.
Anggota parti komponen BN nampak begitu mudah diusik hati mereka hingga rapuh dan hilang kepercayaan antara satu sama lain.
Anwar sudah tidak dapat bersabar lagi untuk melantik dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru. Satu-satunya jalan pintas ke arah mencapai cita-cita itu ialah merampas kuasa dengan cara 'membeli ahli parlimen BN' melompat parti.
Anwar yang gemar membuat kejutan-kejutan kini boleh bercelaru otaknya jika operasi 'lompat parti' oleh kira-kira 30 anggota Parlimen BN ke pihak pembangkang tidak berlaku. Lompat parti di kalangan ahli Parlimen BN diperlukan oleh Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia sekarang yang sah terpilih dan mendapat mandat daripada rakyat.
Rahsia
Walaupun 'bayang-bayang' penubuhan kerajaan baru pada hari ini bagaikan tidak akan berlaku, namun seorang pemimpin pembangkang yang dihubungi tetap yakin ia akan berlaku. Tetapi ia bergantung soal bila dan bagaimana ia akan berlaku masih lagi rahsia.
Bagi PKR, jumlah ahli Parlimen yang akan melompat ke tempat duduk sebelah pembangkang sudah mencukupi.
Walau apa pun keputusan propaganda '16 September', gagal atau berjaya ditubuh kerajaan baru pada hari ini, ia sudah pasti menguntungkan Anwar.
Bayangkan jika impian itu terlaksana hari ini. Apa yang akan diubah dan ditukar oleh kepimpinan Pakatan Rakyat. Kita tunggu dan lihat pelbagai institusi dan dasar kerajaan terutamanya yang melibatkan segala kepentingan Melayu akan menerima kesan.
Rakan-rakan Anwar yang kini ramai bukan Melayu sudah tentu mahu segala warisan atau peninggalan BN dibuang. Mereka mahukan kelainan. Semuanya perlu disamaratakan.
Permainan politik yang diamalkan Anwar adalah politik celaru. Politik memecah belahkan orang Islam dan rakyat. Demi memenuhi cita-cita politik dan menjatuhkan kerajaan yang sah serta merampas kekuasaan, Anwar tidak peduli kesan akibat tindakan beliau yang mementingkan peribadi.
Anak jati Permatang Pauh itu tidak peduli timbul keresahan dan ketidakstabilan politik di kalangan masyarakat.
Kecelaruan fikiran Anwar tidak berakhir di situ. Selepas rasa kurang berjaya mencanangkan lompat parti, Anwar membuat satu kejutan lain. Dia mencanangkan agar negeri-negeri yang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat menjadikan 16 September sebagai cuti umum. Cadangan Anwar itu suatu pengkhianatan kerana ia bertujuan sekadar memancing sentimen masyarakat khususnya rakyat Sabah dan Sarawak.
Kita telah menerima dan menyambut 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Malaysia sejak 51 tahun yang lalu, sementara bagi rakyat Sabah dan Sarawak pula sejak 45 tahun yang lalu. Jadi, kenapa sekarang ini kita mahu timbulkan isu ini?
Bagi rakyat yang terpesona dengan penampilan Anwar, mereka begitu teruja dengan karisma dan pidato Anwar. Tetapi kita selalu lupa bahawa kesihatan dan usia Anwar bukan kekal muda dan bertenaga. Jika dia hanya sempat memimpin negara untuk tempoh yang singkat, siapakah pemimpin pelapis untuk menggantikan tempatnya.
Bahkan, kita tertanya-tanya siapa di kalangan pemimpin pembangkang mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan. Kewibawaan pentadbiran kerajaan negeri yang kacau-bilau dan berat sebelah sekarang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.
Rakyat negara ini ramai yang tertanya-tanya, sekalipun impian Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kenapa dia memilih jalan yang tidak beretika untuk berada di puncak kekuasaan. Mengapa tidak tunggu pada pilihan raya umum ke-13?