Wednesday, July 15, 2009

6 KRA Najib: Penentu survival BN


Pada 11 Julai 2009, genap 100 hari Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara. Pelbagai penilaian diberikan ke atas kepimpinan beliau; ada yang bersifat positif dan ada yang negatif.

Namun begitu yang menarik adalah kesungguhan beliau untuk mengurus krisis kepercayaan, kesetiaan dan keyakinan dalam kalangan warga Malaysia. Lahir Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang dijadikan sebagai penanda aras atau kayu pengukur ke atas kewibawaan kepimpinan beliau.

Di samping '11 Hadiah Rakyat' yang mencakupi unsur ekonomi dan sosial, beliau muncul dengan enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang akan dijadikan sebagai 'petunjuk' sepanjang beliau memimpin supaya dapat mencapai matlamat KPI.

Keenam-enam bidang tersebut adalah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah serta memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan meningkatkan tahap pengangkutan.

Melihat kepada butiran ini, ia sudah pasti akan menjadi cabaran besar ke atas tadbir urus Najib kerana hampir kesemua pemimpin, baik dalam parti pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing pernah dan masih melaungkan usaha yang hampir sama.

Sepanjang 100 hari, Najib bersedia membuat keputusan popular dan tidak popular; keputusan berisiko dan tidak berisiko; kesemuanya memperlihatkan nilai kepimpinan transformasi.

Bagaimanakah KRA ini boleh meningkatkan populariti BN? Apakah pendekatan yang boleh digunakan untuk memenangi hati pengundi dan adakah kesemua enam butiran ini merangkumi keseluruhan masyarakat?

Lebih daripada itu, bagaimana untuk meyakinkan penduduk Malaysia bahawa dengan KRA ini, kita boleh merasa selamat dari sudut ekonomi, politik dan sosial?

KRA merujuk kepada prestasi, keputusan dan pencapaian walau dengan apa cara sekalipun. KRA adalah kejayaan pelaksanaan dan rakyat akan menilai berdasarkan kepada sejauh mana enam butiran tersebut mendekati mereka sebagai kumpulan sasar.

Kumpulan sasar perlu dirunding melalui konsultansi yang berterusan jika Najib mahu melihat kejayaan. Pelaksana dasar kadang-kadang terlepas pandang kedudukan kumpulan sasar semata-mata mahu memenuhi matlamat pihak yang merangka dasar.

Kesemua agensi perkhidmatan awam perlu diberi penerangan mengenai kelonggaran dalam urusan dengan kumpulan sasar supaya birokrasi dan red tape dapat dikurangkan. Apa ertinya jika pemimpin bersedia untuk mengetepikan nilai formal dan protokol tetapi pegawai bawahan masih rigid dengan SOP (Standard Operation Procedure).

'Mesra Rakyat' bermakna kesemua yang terlibat mesti mengetepikan keangkuhan berjawatan tinggi dan berkuasa serta kedudukan mereka agar penilaian sewajarnya boleh dibuat oleh kumpulan sasar atau rakyat sendiri.

Urusan kerajaan mestilah kos efektif dan cepat diberi jalan penyelesaian. Pengagihan kuasa boleh dilakukan jika seseorang pegawai tidak ada atas kekerapan bermesyuarat dan merancang agensi mereka. Rakyat menilai prosedur dan proses di peringkat bawahan kerana kekerapan menggunakan sesuatu perkhidmatan.

Keenam-enam bidang yang dipilih oleh Najib wajar diberi keutamaan. Jalan penyelesaian yang bersifat praktikal perlu digunakan untuk menangani isu jenayah. Pelbagai jenayah saban hari mengambil tempat dalam masyarakat.

Rakyat mahu merasa selamat; mahukan jaminan keselamatan. Asas mengapa ia berlaku perlu diteliti baik di kawasan bandar dan luar bandar yang melibatkan bukan sahaja dalam kalangan dewasa tetapi pembabitan juvenil juga kian meningkat.

Apakah institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan? Bagaimana dengan peranan media dan rakan sebaya di sekolah? Guru sekolah mesti menjadi idola kepada remaja ini. Bagaimana pula dengan penglibatan pendatang asing dalam kegiatan jenayah yang dikatakan antara punca jenayah kian meningkat?

Oleh yang demikian, jelas Najib mempunyai tanggungjawab besar untuk sekurang-kurangnya mengurangkan kadar jenayah baik ringan mahupun berat. Tanggungjawab keselamatan bukan dibebani pada pihak polis sahaja. Pengambilan lebih ramai sukarelawan boleh membantu isu ini?

Dalam usaha melawan rasuah, sudah pasti persoalan besar yang timbul adalah ke atas pendefinisian 'rasuah' sendiri kerana kepelbagaian takrifan inilah menyebabkan ia masih sukar dibendung.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti telus dan diberi kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana individu termasuk pemimpin. Apabila dikatakan wujud pemimpin rasuah dalam kerajaan, Perdana Menteri perlu atasi segera.

Adakah Najib sudah bersedia untuk menghukum 'jerung besar' untuk membuktikan keikhlasan beliau mencari jalan penyelesaian ke atas isu rasuah? Sikap tidak berkompromi ke atas rasuah sebenarnya penting kerana kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhakis kebelakangan ini kerana ia tidak diberi perhatian serius. Ia dikatakan bersifat retorik.

Ramai yang menyoal kejujuran dalam kalangan pemimpin. Najib boleh melakukannya kerana beliau bersedia mengakui kesilapan yang pernah dilakukan dalam beberapa dasar sebelum ini dan jika penambahbaikan dapat dilakukan dalam masa terdekat, ia akan mempengaruhi penerimaan ke atas kepimpinan beliau.

Kerajaan ini jika mahu dilihat sebagai 'kerajaan untuk semua' dan 'kerajaan yang bekerja', perlu mengubah cara kerja dengan lebih berorientasikan perkhidmatan dan bukan pertukaran dasar yang menyebabkan rakyat merasa muak dan menganggap kita masih mengamalkan budaya yang sama.

Hampir 30 peratus demografi negara ini menunjukkan mereka berada di paras bawahan susur lapis masyarakat. Ia merangkumi kesemua kelompok etnik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka bukan sahaja menghuni kawasan luar bandar tetapi juga bandar.

Kemudahan asas perlu diperluaskan. Dalam Malaysia berhadapan dengan usaha menjadi negara maju keseluruhan pelosok negara mesti sekurang-kurangnya sudah mempunyai kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan, hospital dan sekolah.

Barulah golongan ini yang majoritinya berpendapatan rendah mempunyai motivasi dan keazaman untuk mengubah taraf hidup mereka. Jurang antara kelas sangat besar.

Walaupun melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah membantu meningkatkan kadar kelas pertengahan; tetapi penstrukturan antara masyarakat hanya akan berjaya jika jurang antara kelas diatasi.

Sebagai 'kerajaan rakyat', kebajikan masyarakat perlu diberikan tumpuan sebagaimana yang dihajatkan oleh Najib dan rakyat akan menunggu pelaksanaan segera dari barisan kepimpinan beliau.

Dalam arus peralihan masa dan modenisasi yang dilalui oleh Malaysia, ramai yang sudah mula memberi kepentingan ke atas gaya hidup berkualiti termasuk dari aspek pengangkutan awam. Pengangkutan awam tidak bermakna hanya untuk penggunaan di kawasan bandar dan kawasan yang sering berhadapan dengan kesesakan.

Hampir kesemua kawasan memerlukan sistem pengangkutan yang baik dan menyeluruh. Ia perlu berlaku di seluruh negeri dan bukan sekadar di pusat bandar sahaja. Sistem Transit Keretapi Ringan (LRT) boleh diperluaskan di luar Kuala Lumpur. Penggunaan keretapi boleh digalakkan tetapi mesti meliputi kesemua kawasan utama baik dalam mahupun luar bandar.

Najib telah mengemukakan enam bidang yang dianggap relevan dengan kedudukan persekitaran hari ini. Walaupun begitu, beberapa perincian lain boleh diberi keutamaan termasuk dengan isu golongan belia, wanita, golongan yang merayu untuk diberi bantuan, orang kurang upaya, ibu tunggal, dan warga emas serta pesara kerajaan.

KRA merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia. Ia boleh dilakukan dengan pemantauan berterusan; pemantauan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat negeri dan lokal. Setiap kawasan Parlimen boleh diminta membuat penilaian menerusi Pusat Khidmat mereka termasuk di kawasan yang mereka tewas kerana kebajikan tidak mengira batasan kepercayaan politik, agama mahupun gender.

Yang penting adalah kejujuran dan ini yang akan dinilai dalam pilihan raya akan datang. Najib juga boleh mencari mekanisme untuk mengukuhkan parti kerana tidak ada gunanya dasar berjaya tetapi komponen parti sendiri masih bertelingkah antara satu sama lain.

Ada baiknya, parti kembali kepada perjuangan asal dengan menilai semula 'kompromi' dan 'pengorbanan' sehingga membawa kepada pengisian sebagaimana yang kita nikmati hari ini.

Najib memikul beban besar untuk memastikan kesemua butiran KPI akan tercapai dan ia juga bergantung kepada barisan Kabinet, kementerian, agensi di peringkat persekutuan dan negeri; tetapi lebih daripada itu, komitmen pemimpin atasan dan bawahan untuk mengetepikan kepentingan masing-masing dan bersedia menyuarakan kebenaran kepada Perdana Menteri untuk kepentingan dan kesejahteraan kehidupan berukun rakyat negara ini.

Masa tidak bersama Najib. Pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan jadi liabiliti dalam parti perlu dikorbankan untuk kepentingan 27 juta penduduk negara ini.

Tanamkan nilai kemanusiaan Satu Malaysia supaya masing-masing menikmati kehidupan yang aman, harmoni, sejahtera dan lestari; KPI akan tercapai dengan sendirinya jika masing-masing memainkan peranan dengan penuh hemah dan rendah hati serta bersedia mengaku kesilapan supaya amalan defensif dapat dikurangkan dan 'rakyat' terus diutamakan.

Dr. Sivamurugan Pandian ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia