Monday, July 27, 2009

Beng Hock: Undang-undang rimba pembangkang


SEPATUTNYA ketika ini kita semua sedang mengikuti kes penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri oleh empat Exco Selangor. Ketika ini juga rakyat dihangatkan dengan isu Kampung Buah Pala yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta isu kongsi gelap di kalangan pemimpin politik DAP di Selangor.



Tetapi semua isu-isu itu ditenggelamkan apabila pembangkang mengeksploitasi kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock. Asalnya isu hangat ialah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas empat Exco Selangor dari DAP. Beng Hock hanya saksi yang dipanggil oleh SPRM untuk memberi keterangan.



Tentu sangat aneh tiba-tiba pembangkang mengamuk seolah-olah SPRM yang bertanggungjawab ke atas kematian Beng Hock dan mengadakan demonstrasi di depan pejabat SPRM di Shah Alam. Apa kena mengena kematian Beng Hock dengan mengutip tanda tangan untuk menghantar petisyen mendesak Ketua SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan?



Apakah dengan peletakan jawatan Ahmad Said dengan sendirinya menyelesaikan misteri kematian Beng Hock? Semua ini membuktikan tujuan pembangkang membuat kecoh dan menganjurkan "undang-undang rimba" bukan kerana simpati kepada Beng Hock. Pembangkang juga tidak memperjuangkan keadilan kepada Beng Hock seandainya dia dibunuh.



Menggunakan
Pembangkang hanya menggunakan tragedi yang menimpa Beng Hock dan mereka tentu gembira kerana kematian Beng Hock setidak-tidaknya mengalih perhatian rakyat kepada isu penyalahgunaan wang oleh empat Exco Selangor itu. Beng Hock menjadi kambing hitam dan tragedi yang menimpanya dieksploitasi seboleh-bolehnya untuk mengenakan SPRM.



"Undang-undang rimba" pembangkang sangat jelas. Lihatlah mereka tidak membuat apa-apa penyiasatan tetapi mereka menuduh SPRM bertanggungjawab. Apa lagi istilah kalau bukan "undang-undang rimba" ketika polis sedang mengumpul bukti dan mencari saksi, pembangkang telah membuat penghakiman.
Kerajaan ternyata sangat toleran apabila membentuk sebuah suruhanjaya diraja terhadap kes kematian Beng Hock ini.



Sebenarnya kes ini boleh diselesaikan dengan prosedur biasa menerusi siasatan yang dijalankan oleh polis. Polis negara ini terbukti kehebatan mereka untuk menyelesaikan kes yang lebih kompleks daripada kematian Beng Hock. Tetapi disebabkan kekacauan yang dicetuskan oleh pembangkang, kredibiliti polis seolah-olah tidak diperakui.



Sebelum ini isu rasuah berada di bawah tugas Badan Pencegah Rasuah (BPR). Tetapi pembangkang mempertikaikan kredibiliti BPR yang seolah-olah bekerja untuk kerajaan, bukan untuk rakyat. Maka diwujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi lihatlah bagaimana pembangkang melabelkan SPRM sebagai agen kerajaan.



Kepada pembangkang, SPRM atau polis melakukan kerja dengan penuh tanggungjawab sekiranya bertindak ke atas kakitangan atau pegawai kerajaan serta kalangan parti Barisan Nasional. Mereka akan memuji SPRM apabila mengambil tindakan ke atas pemimpin Barisan Nasional.



Tetapi apabila SPRM menyiasat empat Exco Selangor, tiba-tiba SPRM dipertikaikan kredibilitinya sebagai sebuah badan bebas membanteras rasuah. Pembangkang beruntung dengan kematian Beng Hock kerana memberi peluang untuk mereka "menukar" Ahmad Said atau "membubarkan" SPRM. Rakyat perlu "membaca" secara mendalam semua yang berlaku dan tidak sekadar melihat pada lapisan permukaan saja.



Hubungan
Percayalah sekiranya Beng Hock itu tidak ada kaitan dengan pembangkang, mereka tidak akan "memperjuangkan keadilan" untuk Beng Hock. Tetapi Beng Hock mempunyai hubungan langsung dengan pembangkang yang membolehkan pembangkang menggunakan untuk tujuan politik.



Maka, demonstrasi di depan pejabat SPRM baru-baru ini adalah satu tindak balas politik sekali gus menggunakan ruang yang ada untuk memperlihatkan kelemahan SPRM. Tetapi banyak yang turut serta dalam demonstrasi itu tidak tahu tujuan sebenar kerana mereka hanya simpati kepada Beng Hock. Pembangkang mempergunakan tragedi yang menimpa Beng Hock.



Kebijaksanaan DAP ialah berjaya mempengaruhi Pas untuk bersekongkol dengan mereka dalam isu Beng Hock. Lihatlah bagaimana bekas Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin turut menyalakan lilin untuk memperingati Beng Hock. DAP beruntung mendapat rakan politik seperti Pas.



Kerana dipintas oleh kes kematian Beng Hock yang disensasikan oleh pembangkang, kes Exco Selangor tertolak ke belakang. Sepatutnya kes Exco Selangor itu menjadi buah mulut rakyat kerana pembangkang selalu bercakap tentang integriti dan semua orang lain tidak betul. Tetapi sekarang kes itu dibayangi oleh sensasi yang dimainkan oleh pembangkang.



Biarlah pembangkang; DAP, Pas dan PKR saja yang terlompat-lompat di atas pentas apabila mendramakan isu Beng Hock. Ini kerana pembangkang mendapat bonus daripada kematian Beng Hock. Rakyat mesti lebih cerdik daripada pembangkang dan tidak ikut menari seperti yang berlaku di depan pejabat SPRM di Shah Alam baru-baru ini.



Negara ini ada undang-undang dan keluar melalak di jalanan bukanlah sebahagian daripada undang-undang. Itu undang-undang rimba. Mereka layak duduk di rimba.



Bookmark and Share