Monday, July 13, 2009

Bolehkah PAS menjadi model perpaduan?


Kata Datuk Seri Haji Hadi Awang, UMNO gagal menjadi model Islam yang sebenar.Ini yang menyebabkan PAS tolak idea kerajaan perpaduan. Kenyataan ini yang dibuatnya di Himpunan 100 ribu di Stadium Kelana Jaya ini yang hanya dihadiri kira-kira 5,000 orang pada malam 30 Jun membuktikan dua perkara.



Pertama PAS terpaksa menuding jari mencari kelemahan pihak lain dan kedua gagal menjadi penentu dan jauh sekali mencorakkan arah kepimpinan Islam, sebaliknya dipimpin oleh perjuangan yang menentang Islam.


Kenyataan Presiden PAS itu jelas sekali membuktikan apa yang dilakukannya adalah ibarat ‘cakap tak serupa bikin’. Beliaulah yang asalnya bercakap mengenai kerajaan perpaduan yang disambut baik oleh UMNO. Kecuali golongan Erdogan dalam parti itu yang menentang keras idea itu ramai juga kalangan ahli dan pimpinan yang tidak mahu lihat mereka dicengkam oleh bayang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi positif.


Akibat dari pendirian yang berbeza itu Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa dikecam hebat oleh Mursyidul Am parti, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan agar orang nombor dua parti itu nyah dari PAS dan sertailah UMNO. Nik Aziz juga kata bahawa, pihak yang menyokong idea mewujudkan kerajaan perpaduan itu adalah boneka UMNO dan harus ditentang. Anehnya beliau tidak pula berani mengecam Hadi.


Sepuluh orang ahli parlimen PAS yang memanggil sidang akhbar di luar Dewan Rakyat menyatakan pendirian mereka bersama-sama Nik Aziz hanya membuktikan bahawa bilangan ahli parlimen yang bersama-sama HajI Hadi adalah lebih banyak, PAS mrmpunyaI 25 kerusi parlimen.


Idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Hadi tiba-tiba meletup ekoran bantahan Nik Aziz yang berkeras mempertahankan keputusan muktamar parti itu di Ipoh yang tidakpun menyebut bekerjasama dengan UMNO - sebaliknya beliau menegaskan kerjasama hanyalah di kalangan pakatan parti pembangkang.


Lantaran itulah sebaik sahaja Hadi kembali dari London, mereka mengheret idea itu dalam meja perbincangan pakatan pembangkang. Di sanalah, idea Hadi tidak dapat dipertahankan walaupun partinya dan PKR ditunjangi orang Islam yang berhadapan dengan DAP yang menentang habis-habisan pembentukan kerajaan Islam.


Di situlah nampak kepelikannya. PAS terpaksa terus menjalin perpaduuan dengan parti yang sama sekali tidak setuju dengan dasar dan perjuangan Islam yang digembar-gemburkannya.


Tindakan Majlis Perbandaran Alor Setar merobohkan pusat penyembelihan babi haram di bandar itu semalam membuktikan bahawa DAP tidak akan pernah bersetuju dengan PAS. Bagi DAP, daripada menyetujui tindakan kerajaan negeri, lebih baiklah ia meninggalkan kerajaan pakatan itu,


Itu baru di Kedah, sebenarnya parti itu juga sanggup meninggalkan pakatan di negeri lain khususnya di Selangor. Cuma, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak seberani Datuk Seri Azizan Razak di Kedah.untuk mengambil sebarang tindakan kerana pada hakikatnya DAPlah yang memerintah di negeri tersebut.


Berbalik kepada kerajaan perpaduan, HajI Hadi dan Nasaruddin nampaknya terpaksa berputih mata kerana bukan sahaja DAP dan PKR tidak menghala ke arah perpaduan, sebilangan rakan separtinya juga mempunyai pendirian yang sama.


Jika Hadi menyatakan UMNO gagal menjadi model perpaduan di kalangan orang Melayu dan rakyat negara ini, parti manakah menurut PAS boleh menjadi model yang terbaik?


Mungkinkah DAP boleh memegang peranan itu ataupun Parti Keadilan Rakyat mampu dijadikan contoh yang terbaik. Semua orang sependapaat bahawa mustahil DAP boleh menjadi model perpaduan kerana kewujudannya pada pilihanraya 1969 telah menjadi punca utama pecahnya perpaduan di negara ini sehingga berlaku peristiwa malang 13 Mei yang sehingga kini menghantui kenangan orang Melayu khususnya.


Kebiadapan para pemimpin parti itu terhadap kesultanan Melayu khususnya di Perak serta ketidaksopanan mereka ketika berada di Parlimen tidak mungkin mudah dilupakan begitu sahaja.


PKR pula yang diasaskan melalui demonstrasi jalanan termasuk melakukan kekerasan terhadap harta awam lebih wajar diingati sebagai Parti Kacau-bilaukan Rakyat (PKR) ataupun Pakar Kecoh dan Rusuhan. Parti ini juga jauh daripada layak sebagai model apatah lagi jika diambilkira perjuangannya tidak berteraskan Islam seperti mana yang diwar-warkan oleh PAS.


Dengan keadaan UMNO gagal menjadi model dan DAP serta PKR tidak layak ke arah itu, parti mana lagikah yang lebih layak jika bukan PAS? PAS parti dominasi orang Melayu. Mereka beragama dan memperjuangkan Islam, bukankah mereka sepatutnya menjadi model…?


Demikianlah sepatutnya. Presiden dan timbalan Presiden PAS menampakkan kesehaluan mereka ke arah perpaduan apabila idea kerajaan perpaduan itu dilontarkan oleh Hadi. Namun lontaran itu disanggah oleh Nik Aziz dan konco-konconya yang lebih mementingkan kelangsungan politik masing-masing daripada kelangsungan orang Melayu dan masyarakat Islam sendiri.


Jelas sungguh, dalam parti itu sendiri tiada perpaduan - jauh sekali untuk melihat kesatuan dengan ’rakan-rakan’ pembangkang lain di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan juga Kedah.


Sepatutnya, jika Hadi menyatakan UMNO gagal menjadi model, sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, parti itu memainkan peranan utama menjadi model kepada semua parti yang disifatkannya tidak Islam.


PAS sepatutnya boleh ’command’ semua parti pembangkang mahupun parti kerajaan. Ia seharusnya dapat menjinakkan DAP kerana selama ini UMNO dilabelkan bersekongkol dengan MCA dan juga Gerakan.


UMNO dilihat sebagai syaitan, komunis dan segala macam keburukan yang boleh digambarkan.


Pun begitu, PAS hanya boleh membuat tuduhan dan tohmahan tetapi tetap gagal menjadi model yang baik kerana para pemimpinnya juga terlibat dengan penyahgunaan kuasa, rasuah dan segala macam perkara negatif yang dimomok-momokkan kepada UMNO dan Barisan Nasional.


Di sana sini, terdengar juga kisah para pemimpin parti berkenaan yang diheret ke mahkamah syariah kerana masalah poligami, ke mahkamah sivil kerana pelbagai tuduhan lain dan macam-macam dakwaan lagi.


Apa yang dijijikkan dalam UMNO nampaknya bukanlah sesuatu yang ‘taboo‘ atau terlarang dalam PAS. Sebagai manusia, mereka juga tidak terlepas daripada apa yang dilakukan oleh orang lain.


Jadi, pada kesimpulannya, bolehkah PAS menjadi model perpaduan orang Melayu dan masyarakat Islam yang sejati.jika mereka sendiri ibarat dua kali lima dan lima kali dua sahaja…? Dalam parti sendiri mereka ‘bergocoh‘ apatah lagi di luar!



Bookmark and Share