Sunday, July 19, 2009

Dr Asri tegur sikap PAS cerca orang lain kerana perbezaan pendapat

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegur parti PAS agar tidak terus mencerca orang lain hanya disebabkan perbezaan pendapat.

Menurut beliau, PAS yang memperjuangkan Islam sepatutnya tahu bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan diadili oleh Allah di akhirat kelak.


"Perkataan Islam disebut dalam PAS, adakah mereka lupa bahawa perkataan dan tulisan cercaan mereka itu akan dibawa ke mahkamah Allah di akhirat.


"Apakah setiap kali berbeza pendapat mereka perlu mencerca pihak yang mereka tidak suka?," katanya kepada mStar Online.


Dr Asri juga menyifatkan isu 'Kerajaan Perpaduan' adalah satu contoh yang menunjukkan PAS bukan hanya mencerca pihak lain malah pemimpin-pemimpin mereka yang menyokong konsep tersebut turut menerima nasib yang sama.


"Sehingga kepada sesama sendiri pun dicerca dan dihina. Mereka hina dan mencerca pemimpin sendiri apabila berlaku perbezaan dalam isu 'Kerajaan Perpaduan'," katanya.


Tegasnya, ada pihak dalam PAS sendiri yang menghalalkan cercaan itu dengan memberikan alasan 'orang lain' lebih teruk.


"Apakah jika orang lain anda anggap teruk, maka anda boleh melakukannya juga?


"Apa akan terjadi kepada masa depan negara jika kita mengajar budaya 'jangan berbeza pendapat dengan pemimpin kami, jika tidak awak kami maki'," ujar belia lagi.


Dr. Asri juga tidak menolak kemungkinan PAS akan bertindak menghina beliau selepas kenyataannya ini dikeluarkan.


"Lihatlah selepas kenyataan ini dikeluar, sebahagian mereka akan menyambutnya dengan makian dalam blog-blog mereka.


"Mereka maki Tan Sri Harussani (Mufti Perak) apabila mereka sudah tidak sebulu lagi dengannya... dulu, mereka juga pernah memaki saya," katanya.


Dr. Asri menjelaskan, beliau bukan bermusuh kepada PAS tetapi ia hanya sebagai teguran seperti mana yang pernah dilakukannya terhadap parti Umno.


Beliau berharap pemimpin tertinggi PAS dapat menasihati ahli-ahli mereka terutama yang menjadikan laman blog sebagai medium untuk mencerca orang lain supaya lebih berakhlak.


Jelasnya, generasi muda pada masa ini semakin bijak menilai bahawa budaya politik maki hamun dan carut-marut hanya kerana perbezaan pendapat bukan akhlak Islam.