Saturday, July 25, 2009

Ikut kemahuan pun belum tentu pembangkang puas hati


KEMATIAN Teoh Beng Hock secara mengejut mengundang pelbagai kontroversi hingga menjadi senjata politik oleh segelintir parti-parti pembangkang untuk menggasak kerajaan.


Walaupun siasatan polis belum selesai sudah ada persepsi dan tohmahan yang dilontarkan oleh pembangkang kononnya kematian Beng Hock meragukan. Tidak kurang juga, kalangan pembangkang dari DAP yang tidak segan-silu menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas kematian mendiang tanpa usul periksa.


Kelmarin, Kabinet telah mengumumkan tiga langkah penting ke arah mencari kebenaran di sebalik kematian Beng Hock. Pertama, Kabinet bersetuju mengadakan inkues diketuai oleh seorang majistret bagi menyiasat punca kematian mendiang.


Yang keduanya, Kabinet juga bersetuju mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja untuk mengkaji cara soal siasat yang digunakan oleh SPRM. Dan yang ketiganya, laporan siasatan polis ke atas kes Beng Hock akan diumumkan.


Namun, seperti yang dijangka, keputusan Kabinet untuk mewujudkan suruhanjaya diraja dan inkues itu nampaknya gagal memuaskan kehendak parti-parti pembangkang.


Kerajaan Negeri Selangor nyata kesal dengan keputusan Kabinet kerana penubuhan suruhanjaya diraja itu hanya mencakupi siasatan ke atas cara soal siasat yang digunakan SPRM dan tidak meliputi siasatan ke atas punca kematian Beng Hock. Pemimpin DAP, Lim Kit Siang seperti biasa menyifatkan penubuhan suruhanjaya diraja tidak boleh diterima dan gagal memenuhi jangkaan orang awam.


Semuanya ini memberi petanda jelas bahawa kematian Beng Hock telah dipolitikkan oleh pemimpin pembangkang untuk kepentingan peribadi mereka. Persoalannya sekarang, apakah bentuk jalan penyelesaian yang seharusnya diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan kematian Beng Hock ini?


Adakah dengan mengikut segala cadangan yang dimahukan oleh pembangkang, baru dikatakan adil dan telus? Kalau ikut sekali pun, belum tentu mereka akan berpuas hati seperti mana yang berlaku sekarang.


Tidakkah penubuhan suruhanjaya diraja ini merupakan kemahuan yang didesak oleh parti pembangkang? Namun kenapakah apabila diwujudkan suruhanjaya diraja, mereka masih tidak berpuas hati dan seolah-olah bimbang suruhanjaya diraja ini tidak telus?


Apakah kewajaran mereka menyatakan suruhanjaya diraja ini tidak telus? Adakah dakwaan ini disokong oleh hujah bernas ataupun semata-mata kerana persepsi negatif yang sudah tertanam dalam hati sanubari mereka sejak sekian lama?
Paling menghairankan, tidak sampai 24 jam pengumuman suruhanjaya diraja akan diwujudkan, penghakiman telah pun dijatuhkan ke atas suruhanjaya itu.


Hakikatnya, suruhanjaya diraja tidak diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka. Kalau beginilah sikapnya, keputusan hasil siasatan nanti belum tentu akan dapat menjernihkan keadaan.


Kabinet telah pun memutuskan bahawa keanggotaan suruhanjaya diraja akan terdiri daripada tiga orang ahli Parlimen BN dan tiga lagi daripada pakatan pembangkang. Ia mencerminkan ketelusan kerajaan untuk memastikan siasatan ke atas kematian Beng Hock tidak dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan.


Justeru, berikan masa dan ruang untuk mereka melakukan siasatan terperinci manakala pemimpin politik terutamanya parti pembangkang berhenti membuat tohmahan atau tuduhan tidak berasas yang mungkin menjejaskan hasil siasatan.


Rakyat pula harus menaruh keyakinan kepada kemampuan suruhanjaya diraja untuk melakukan penyiasatan.
Kerajaan telah membuat keputusan yang tepat dalam mewujudkan suruhanjaya diraja kerana penubuhan suruhanjaya tersebut akan menangkis segala keraguan terhadap bagaimana mendiang Beng Hock mati.


Ia juga satu keputusan tepat dan bukti kerajaan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan seperti mana yang didakwa oleh pembangkang.


Cukuplah dengan spekulasi dan tohmahan-tohmahan tidak berasas itu kerana proses untuk mencari kebenaran mungkin tidak tercapai sekiranya pertikaman lidah berterusan.