Syabas Pemuda UMNO Kedah yang menggunapakai media baru! Inilah yang dinamakan Unit Media Baru (UMB). Diharap selepas ini, gelombang biru tsunami akan melanda Kedah. Ayuh! Berubah atau DiUbah!
Pergerakan Pemuda UMNO negeri akan menggunakan sepenuhnya kemudahan laman web sosial Facebook dan blog bagi mendekatkan mereka dengan golongan muda di peringkat akar umbi.
Ketuanya, Badrol Hisham Hashim berkata, kedua-dua kemudahan teknologi itu kini dilihat menjadi media pilihan yang cukup berkesan di kalangan generasi muda dan golongan terpelajar.
Justeru, katanya, penggunaan Facebook dan blog mampu berfungsi sebagai penyalur maklumat dan pada masa sama menangkis tohmahan daripada parti pembangkang serta mengenal pasti masalah golongan itu supaya dapat ditangani dengan berkesan.
"Mungkin ramai golongan muda pada masa ini tidak berminat untuk membaca surat khabar tetapi lebih gemar menggunakan Internet yang bersifat dua hala yang mereka boleh mengemukakan pandangan terhadap sesuatu isu.
"Justeru, kita mesti mengambil kesempatan itu kerana jika ia tidak dipantau, mereka akan lebih mirip kepada pembangkang," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian di negeri ini di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Badrol berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah merancang untuk menubuhkan unit tindakan ekonomi di setiap bahagian bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat khususnya golongan muda.
Menerusi unit berkenaan, katanya, anggota pergerakan itu akan mencari saluran-saluran untuk membantu golongan tersebut mendapatkan kerja selain melahirkan usahawan di kalangan mereka.
Sebagai, contoh, katanya, mereka akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan berkaitan untuk mengadakan kursus atau seminar kerjaya supaya golongan muda mempunyai asas dan panduan untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kami juga akan cuba mengenalpasti kelompok-kelompok yang berminat untuk menjadi usahawan dan kemudian membantu mereka menerusi saluran-saluran yang ada," katanya