Sunday, July 12, 2009

Tuntutan kurang ajar minta status bumiputera


MENGGUNAKAN gagasan 1Malaysia untuk menuntut taraf bumiputera untuk bukan Melayu sememangnya tidak masuk akal atau boleh saja dikatakan hilang akal.


Juga ketara benar orang yang membuat tuntutan sedemikian rupa menggunakan segenap ruang yang ada untuk memanipulasi gagasan yang ditonjolkan kerajaan.
Matlamat 1Malaysia bukan untuk menyamaratakan segala-galanya yang ada di negara ini. Gagasan itu juga tidak bertujuan mengubah segala persetujuan yang telah dimeterai oleh kaum-kaum di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.


Sebaliknya gagasan itu merupakan satu lagi platform untuk menggembleng sokongan padu rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama kerajaan menjayakan dasar pembangunan negara.


Gagasan yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri bertujuan memastikan keserasian antara kaum yang wujud sekarang ini berjaya dikekalkan.


Justeru apabila
suara M. Manoharan berkumandang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menuntut status Bumiputera dikurniakan kepada bukan Melayu bersandarkan alasan 1Malaysia, ia semestinya di luar logik akal.

Tuntutan seumpama itu juga mencerminkan kedangkalan fikiran si penuntut. Dia hanya tahu mengaitkan gagasan pemimpin nombor satu negara dengan tuntutan bukan-bukan sehingga boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam negara.
Tindakan sedemikian juga boleh saja mengelirukan gagasan 1Malaysia yang kini dilihat oleh segelintir pihak kononnya untuk melenyapkan agenda bumiputera dan menjadikannya agenda nasional tanpa ada batasan kaum.


Seolah-olah 1Malaysia akan menghapuskan keistimewaan bumiputera dan segala-galanya akan diberi sama rata.


Sedangkan hakikatnya status bumiputera hanya dimiliki kumpulan tertentu - Melayu dan golongan pribumi dengan sedikit keistimewaan diperuntukkan kepada mereka.


Keistimewaan itu kekal begitu selamanya - jika pun tiada pengurangan, tiada juga tokok tambah sehingga mampu menggusarkan bukan bumiputera di tanah air yang bernama Malaysia ini.


Tidak juga keistimewaan yang kini diimbangi oleh pengenalan dasar-dasar baru yang mampu melukai hati bukan Melayu sehingga mewajarkan mereka untuk menuntut diberi status yang sama.


Hakikatnya bumiputera tetap bumiputera. Selepas berkorban mengetepikan kepentingan diri dengan menerima kaum-kaum lain sebagai saudara senegara, kini status Bumiputera ingin dikongsi?


Semestinya tuntutan yang boleh saja dirumuskan sebagai kurang ajar dan tidak sedar diri itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Apatah lagi episod tuntutan itu dikaitkan dengan arahan pemakaian songkok pada sidang DUN.


Paling dikesali apabila terlontar dari mulut bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu orang bukan Melayu merasakan hak mereka dalam perkara tertentu diketepikan berikutan taraf bukan bumiputera itu.


Hak apa yang diketepikan? Dalam aspek mana bukan bumiputera dipinggirkan? Jika benar taraf bukan bumiputera menghalang mereka mendapatkan hak tertentu, atas dasar apakah bukan bumiputera tidak boleh meneruskan kelangsungan hidup di negara ini?


Atas alasan apa jugakah penguasaan ekonomi di negara ini menyaksikan pegangan bukan bumiputera mengatasi bumiputera?


Adakah kerana status bukan bumiputera? Atau kemuliaan hati kerajaan yang diterajui bumiputera menyebabkan mereka kini 'memijak' bumiputera yang kononnya sarat dengan pelbagai keistimewaan sehingga tertinggal jauh di belakang?


Pengenalan biasiswa nasional misalnya membuka ruang yang sama rata kepada pelajar cemerlang tanpa mengira kaum.


Begitu juga agenda pembangunan ekonomi yang tidak membataskan kaum selain bidang pendidikan yang memberi layanan sama rata kepada semua kaum.
Manoharan mesti menyelak teks sejarah atau meneliti Perkara 153 Perlembagaan dan lain-lain peruntukan yang terkandung di dalamnya.


Cukuplah menyentuh hati orang Melayu yang dengan rela hati berkongsi hak dan kepentingan yang sepatutnya dinikmati bersendirian secara bersenang-lenang.
Sedarlah kaum bukan Melayu tidak pernah dilayan berasingan jauh sekali dipinggirkan.


Buka mata dan pandang sekeliling. Jika kaum India masih ada yang merempat di ladang-ladang, orang Melayu tidak kurang dihimpit lara di pedalaman.


Jika bukan Melayu muncul sebagai orang terkaya, kaya raya dan kaya, di mana pula kedudukan Melayu yang begitu 'istimewa' hanya kerana status bumiputeranya!



Bookmark and Share