Sunday, December 14, 2008

Apakah Punca BN Kalah Di Lima Negeri?


Berikut adalah keputusan undian yang dibuat dalam blog ini berkaitan soalan "Apakah Punca Kekalahan BN di Lima Buah Negeri". Daripada 550 orang responden, 288 orang menyatakan bahawa ianya kerana undi protes dalam diam terhadap Barisan Nasional sendiri. 39% mengakui bahawa masalah dalaman UMNO adalah punca kekalahan BN di lima buah negeri tersebut. Isu Minyak dan Harga Barang dikatakan oleh 136 orang sebagai puncanya. Manakala selebihnya, iaitu 93 orang menyatakan bahawa kelemahan kempen internet oleh Barisan Nasional sebagai punca.




Pendapat umum sekarang ini menyatakan bahawa selagi tidak berlaku peralihan kuasa pada Mac ini maka selagi itu keadaan politik negara tidak akan menentu. Biarpun begitu, harus diakui bahawa majoriti rakyat sekarang ini adalah golongan yang bersederhana dalam politik. Mereka ini lebih suka melihat dan menilai sesuatu berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Isu tempatan tidak sama dengan isu di peringkat nasional. Mungkin sesetengah isu menjadi faktor pengubah kepada sokongan rakyat kepada sesuatu parti politik, tetapi faktor penyumbang yang terbesar adalah faktor calon itu sendiri. Calon yang baik akan melenyapkan semua isu-isu yang terpendam dalam hati pengundi.



Barisan Nasional dilihat sampai sekarang ini masih lagi belum melakukan pemulihan bagi menghadapi pilihan raya yang ke-13. Tuntutan sesama parti komponen yang keterlaluan akan menyebabkan lebih ramai golongan yang sederhana ini lari dari BN. Tambahan pula sikap sesetengah pemimpin komponen BN yang tampil membangkitkan isu-isu sensitif untuk mencari populariti secara "pak man telo".



Selagi BN tidak memperkemaskan komponen dan kelemahan yang ada, selagi itu undi protes dalam diam akan terus ada. UMNO sebagai parti terbesar dalam BN baru sahaja selesai mengalami proses pemilihan pada Oktober lepas di peringkat bawahan. Sebenarnya, di peringkat grassroot kehadiran ramai ahli-ahli UMNO memenuhi mesyuarat-mesyuarat cawangan, menandakan bahawa ramai lagi yang masih berminat kepada UMNO.



Tidak kira tua atau muda, mereka datang untuk membuat pemilihan. Bila ada unsur politik wang, ini yang mencalarkan niat pemilihan itu sendiri. Perubahan tersekat di peringkat bawahan akibat permainan wang. Namun, mereka masih lagi mengharapkan sesuatu perubahan dilakukan oleh peringkat atasan.



Kedudukan BN dalam PRU13 bergantung kepada sejauh mana kemampuan BN sendiri untuk memperbaiki kelemahan yang ada, melestarikan sikap pemimpin dalam BN dan menyakini kembali hati rakyat kepada BN. Sebenarnya Pakatan Rakyat tiada pun organisasi yang tersusun dan berstruktur seperti BN. Logo pun tiada lagi. Bagi mereka selagi ada orang tidak suka kepada BN, mereka akan mendapat undi alternatifnya.



Maka sebab tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim sendiri pun sampai kini belum lagi menjadi ahli mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim tahu Pakatan Rakyat akan dipilih selagi BN berkrisis.
Oleh itu, lemparkanlah Harapan kepada rakyat. Cetuskan perasaan tidak puas hati, dendam, marah, bangkitkan emosi, pembunuhan karakter pemimpin dan akhirnya mempotretkan Pakatan Rakyat sebagai parti pilihan.
Pakatan Rakyat kini sedang mengurus emosi rakyat agar benci, meluat dan bosan dengan BN. Kerja memainkan emosi tidak sesukar kerja mengurus kebajikan, pembangunan dan hal ehwal rakyat. Ini strategi Pakatan Rakyat.



Selagi BN tidak berubah, selagi itu lima buah negeri ini sukar untuk diambil kembali. Jangan jadi macam Bukit Antarabangsa, biarpun sudah berlaku Higland Towers tetapi ikthibar kejadian tidak pernah diambil peduli. Bila runtuh lagi baru hendak tergadah kembali.