Jika kenyataan Soi Lek diteliti adalah jelas berlaku salah tafsiran berhubung konsep ketuanan Melayu yang diperkatakan oleh beliau. Ini kerana maksud sebenar ketuanan Melayu bukanlah melibatkan soal seorang tuan dengan hambanya.
Sebaliknya ketuanan Melayu seperti mana ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis ialah induk negara ini adalah orang Melayu. Tetapi malangnya Soi Lek cuba melihat konsep ini dari sudut yang sempit sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu.
Sebagai pemimpin yang memegang jawatan kedua dalam sebuah parti yang merupakan salah sebuah parti besar dalam dalam komponen BN, Soi Lek seharusnya berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau mungkin hendak mencari populariti atau menunjukkan beliau sudah mula bekerja tetapi membuat kenyataan sensitif seumpama itu bukanlah caranya.
Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, apa yang dilakukan oleh Soi Lek tidak akan mampu memperkukuhkan BN sebaliknya hanya akan mencetuskan kontroversi.
‘‘Sepatutnya Soi Lek berusaha bagaimana untuk menarik sokongan rakyat menyokong BN, bukannya dengan cara mengeluarkan kenyataan yang dilihat bertujuan untuk mencari populariti sahaja,’’ katanya ketika dihubungi. Malah Razali juga menyifatkan kenyataan Soi Lek itu tidak layak untuk dilafazkan oleh seorang bertaraf Timbalan Presiden.
Popular:
‘‘Soi Lek perlu tahu tanggungjawab besar sebagai orang nombor dua dalam parti tetapi malangnya kenyataan yang dibuat benar-benar tidak mencerminkan tugas beliau sebagai Timbalan Presiden,’’ kata beliau.
Dalam memperkatakan isu ini, penganalisis politik, Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak mempunyai pandangan tersendiri. Beliau berkata, ada dua cara untuk menjadi popular dan mendapat perhatian dalam politik sekarang iaitu pertama ‘membelasah’ UMNO dan kedua memperlekehkan orang Melayu. Mungkin pandangan Dr. Mohamed ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang terlibat tetapi hakikat jika dikaji apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, ia ada kebenarannya.
Selepas pilihan raya umum lalu seolah-olah menjadi satu trend di kalangan ahli politik tanpa mengira sama ada komponen BN atau pembangkang cuba mencetuskan isu-isu berbaur perkauman untuk menunjukkan kehadiran mereka.
Jika ia dilakukan oleh pembangkang, mungkin tidak ada salahnya kerana memang sifat pembangkang begitu apa tah lagi apabila ada rakan seperjuangan mereka biarpun berasal daripada parti Melayu menyokong apa yang diperkatakan. Tetapi malangnya di kalangan komponen BN sendiri sudah ada suara-suara ala-ala pembangkang ini.
Seharusnya sebagai komponen BN, pemimpin-pemimpinnya perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan. Tafsiran bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan tidak akan menguatkan parti komponen itu sebaliknya hanya akan mencetuskan perbalahan baru. Kalau UMNO atau orang Melayu hendak bertindak sebagai tuan seperti mana Inggeris menjajah dahulu, sudah pasti kaum lain tidak akan mendapat tempat di negara ini.
Oleh itu Soi Lek atau mana-mana pemimpin yang cuba menimbulkan soal ketuanan Melayu ini harus belajar dahulu erti sebenar konsep berkenaan. Kalau benarkan UMNO sebagai parti induk Melayu mengamalkan sikap tuan sudah pasti MCA yang merasakan diri mereka adalah hamba tidak akan mendapat jawatan dalam Kabinet termasuk menjadi Menteri Kesihatan.
Bekerjasama:
Mungkin contohnya ini agak keterlaluan tetapi inilah salah satu hujah paling tepat untuk menggambarkan bahawa selama ini orang Melayu termasuklah juga UMNO tidak pernah mencuba untuk menjadi tuan kepada sesiapa. Sebaliknya sejak sebelum merdeka lagi orang Melayu sentiasa berusaha bekerjasama dengan kaum lain membangunkan negara ini.
Cumanya, kaum lain harus memahami bahawa ini adalah tanah Melayu dan orang Melayu adalah induk tetapi dalam masa yang sama nasib bukan Melayu tetap dibela. Berikutan sikap tolak ansur inilah Malaysia boleh mencapai kemajuan pada tahap sekarang. Justeru kepada pemimpin-pemimpin seperti Soi Lek berhati-hatilah membuat kenyataan.
Janganlah cuba menutup kelemahan sendiri dengan cara menuding jari menyalahkan orang lain dan ini termasuklah juga cuba meraih sokongan dengan membuat kenyataan yang secara nyata bertujuan untuk mencari populariti semata-mata.
Adalah lebih baik sebagai insan yang baru diberi semula ‘talian hayat’ untuk berpolitik, Soi Lek menumpukan perhatian bagi memperkukuhkan BN melalui MCA. Cabaran menanti BN dalam pilihan raya umum akan datang adalah sangat getir.
Jika Soi Lek atau mana-mana pihak komponen terus cuba memainkan isu sensitif ia tidak akan menguntungkan BN. Kita memahami MCA berada dalam keadaan terdesak bagi meraih semula sokongan masyarakat Cina tetapi janganlah sampai dalam usaha tersebut, pemimpin-pemimpin tenggelam punca.
Segala pandangan atau masalah harus dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama komponen BN yang lain bukan dilontar keluar sehingga ia menimbulkan suasana tegang. Semoga Soi Lek akan belajar daripada bekas pemimpin MCA bagaimana hendak berperanan sebagai Timbalan Presiden