Thursday, December 4, 2008

Bukan Melayu patut contohi pemimpin dulu

MENJELANG kemerdekaan negara, 80 peratus penduduk Persekutuan Tanah Melayu adalah Melayu - kaum miskin dan ketinggalan dalam pelajaran. Kedaifan yang melampau ini cukup memberikan tekanan psikologi kepada orang Melayu sehingga apabila berlakunya provokasi di kalangan bukan Melayu menyebabkan berlakunya konflik perkauman yang buruk.


Peristiwa hitam 13 Mei 1969 akhirnya membawa kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun dasar ini memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dengan penetapan 30 peratus ekuiti negara perlu dimiliki orang Melayu, sepanjang pelaksanaannya (1970 - 1990), ia memberikan manfaat cukup besar kepada semua kaum, terutama orang Cina yang menguasai ekonomi negara.


Penetapan 30 peratus ekuiti negara untuk orang Melayu bertujuan melahirkan masyarakat perindustrian dan perdagangan di kalangan Bumiputera menjelang 1990. Bagaimanapun matlamat ini tidak tercapai sepenuhnya.

Mengikut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima (1990), pemilikan dan pengawalan sektor korporat 1990 adalah seperti berikut: Bumiputera 19.6 peratus, bukan Bumiputera 56.7 peratus dan pemilikan asing 23.7 peratus



Pada 2006, pemilikan ekuiti Bumiputera hanya 19.4 peratus sementara kaum Cina terus menguasai lebih 40 peratus ekonomi negara. Anehnya, sudah ada suara yang mahukan 30 peratus untuk Bumiputera dihapuskan.

Kita tidak hairan jika suara itu datang daripada pihak pembangkang yang kononnya memperjuangkan kesamarataan dan keadilan. Namun, persoalan timbul apabila ia datang daripada rakan politik Umno yang selama ini turut akur dan menerima pelaksanaan DEB. Kurang jelas apakah persepsi mereka sebenarnya sehingga sanggup menyuarakan sesuatu yang menggores perasaan orang Melayu.


Adakah ia satu bentuk tekanan ke atas Umno atau satu bentuk provokasi liar terhadap orang Melayu? Lebih daripada itu, konsep 'ketuanan Melayu' yang selama 50 tahun sunyi daripada dipersoalkan, tiba-tiba menjadi kritikan dikalangan pemimpin bukan Melayu, termasuk di kalangan rakan politik Umno sendiri.



Pemimpin bukan Melayu terdahulu mempunyai persepsi yang betul dalam memahami kedudukan orang Melayu. Tun V Sambathan dan Tun Tan Siew Sin mengkritik ahli politik bukan Melayu ketika itu seperti KL Devaser dan SM Yong yang mempertikaikan hak istimewa yang diberikan kepada orang Melayu dalam perlembagaan. Menurut pengkritik itu, orang Melayu dijadikan penduduk kelas pertama di negara ini. Benarkah dakwaan berkenaan? Kita cari jawapannya daripada kedua-dua pemimpin bukan Melayu itu.
Tun Sambathan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Majlis Perundangan Persekutuan (Julai 1957) berhujah bahawa orang Melayu yang dikatakan rakyat kelas pertama pada hakikatnya hidup dalam keadaan yang daif. Beliau memberikan gambaran orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di luar bandar tiada kemudahan jalan raya, bumbung rumah bocor dan tidak mampu mendapatkan khidmat doktor walaupun anak mereka sakit tenat. Beliau bertanya kepada pengkritik, adakah mereka (Melayu) sama ada yang tinggal di kampung atau di bandar memiliki rumah banglo di ibu kota mahupun di Cameron Highlands?


Siew Sin turut sama berhujah membela orang Melayu. Antara lain beliau melontarkan pandangan bahawa bukan Melayu jangan terlalu mengharap dan meminta orang Melayu melepaskan apa yang mereka miliki. Beliau berpendapat orang Melayu sangat ketinggalan dalam bidang ekonomi dan perlu dibantu. Beliau menyifatkan pengkritik bersifat keterlaluan apabila mereka meminta hak istimewa orang Melayu dihapuskan. Beliau berpendapat orang Melayu yang memiliki sifat kebijaksanaan akan dengan sendirinya menghapuskan hak keistimewaan itu apabila sampai masanya nanti.


Apa yang disuarakan oleh kedua-dua pemimpin bukan Melayu itu memang benar. Keadaan orang Melayu sebelum dan pada awal kemerdekaan berada dalam lingkaran kemiskinan. Keadaan mereka bagaikan 'geluk tinggal di air'. Mereka sangat mengharapkan bantuan. Sehingga 1968, majoriti keluarga Melayu, terutama yang tinggal di luar bandar adalah daripada golongan miskin dengan pendapatan di bawah $100 sebulan (dolar adalah nilai mata wang ketika itu).


Ramai yang miliki empat hingga 10 anak, malah ada yang lebih. Mereka tidak berupaya menyediakan makanan berzat kepada anak-anak menyebabkan peratusan anak Melayu kampung diserang 'deman kura' adalah tinggi. Hampir semua negeri mencatatkan penyakit 'deman kura' di kalangan orang Melayu.

Kedah dan Terengganu mencatatkan lebih 80 peratus, sementara Kelantan mencatat 91 peratus. Hanya Melaka mencatatkan 21 peratus. Kadar keciciran persekolahan anak Melayu juga tinggi. Pada keseluruhannya, keciciran murid Melayu pada peringkat sekolah rendah adalah 40 peratus daripada jumlah murid yang masuk sekolah.

Pada peringkat sekolah menengah pula, 10 peratus yang tercicir sebelum menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Walaupun tiada yuran dikenakan pada peringkat sekolah kebangsaan tetapi ibu bapa dibebani dengan beberapa bayaran seperti yuran peperiksaan, buku teks dan pakaian seragam.

Anggaran perbelanjaan murid di sekolah rendah ketika itu ialah $217.50 sementara sekolah menengah $337.50 (Education Statistic of Malaysia 1938-1967, DBP,1968). Bilangan siswazah Melayu dalam bidang penting ketika itu amat rendah. Di Universiti Malaya, pada 1969/70 siswazah Melayu dalam bidang sains (BSc) 22 orang, bidang perubatan (MBBS) empat orang dan hanya satu orang dalam bidang kejuruteraan (B Engin).

Dalam buku Peristiwa 13 Mei terbitan Mageran merekodkan statistik orang Melayu dalam pekerjaan profesional hanya 19.2 peratus, sementara orang bukan Melayu 80.8 peratus. Kesimpulan, persepsi yang betul di kalangan pemimpin bukan Melayu terdahulu terhadap keadaan orang Melayu serta kefahaman mereka terhadap konsep 'ketuanan Melayu' menyebabkan semangat toleransi dan kerjasama tercipta dengan begitu erat di kalangan pelbagai kaum di negara ini.

DEB dapat diterima serta dilihat cara berkesan memenuhi semangat kontrak sosial yang bertujuan mewujudkan keharmonian, solidariti dan keselamatan masyarakat. DEB dilahirkan untuk mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan ekonomi negara. Justeru, tidak salah semangat DEB diteruskan dalam Dasar Pembangunan Negara (DPN).