SETIAP kali sama ada dalam pilihan raya kecil atau umum, masalah utama yang dihadapi oleh Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO ialah memilih calon.
Setiap kriteria dan sudut diambil kira bagi memastikan pemilihan calon mampu dilaksanakan secara tepat dan mampu mengelakkan sebarang perpecahan yang boleh menggugat perjalanan jentera parti.
Walaupun setiap ahli UMNO sudah diberi pemahaman berkali-kali bahawa kepentingan parti mengatasi segala-galanya dan pemimpin boleh datang dan pergi, namun acap kali, parti akhirnya menjadi mangsa ketidakpuasan hati ahli-ahlinya sendiri.
Kesudahannya dalam pilihan raya maka wujudlah kelompok-kelompok pembelot dan pengkhianat yang lebih rela melihat tangan parti lawan dijulang sebagai pemenang dan sekali gus mencalarkan maruah parti sendiri.
Namun senario pemilihan calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu boleh dianggap akan membuka era baru kepada parti itu dalam berhadapan dengan pilihan raya.
Ini kerana pemilihan Ketua Bahagian UMNO kawasan berkenaan iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disokong seratus peratus oleh kesemua ahli UMNO bahagian itu. Kalau pun ada seorang dua yang 'berbisik' membantah namun ia tidak akan menjadi kudis kepada BN.
Mungkin sehari dua mereka akan membantah tetapi ia akan 'sejuk semula' selepas soal calon tidak lagi menjadi isu.
Keadaan itu sekali gus memberikan isyarat yang jelas kepada jentera-jentera BN yang akan berkampung di Kuala Terengganu bahawa mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah dalaman parti.
Wan Ahmad Farid telah dipilih berdasarkan sokongan padu semua ahli jawatankuasa UMNO Kuala Terengganu, persetujuan kesemua penyelia DUN di bawah Parlimen Kuala Terengganu dan sokongan sebulat suara ahli-ahli cawangan.
Ertinya, tidak akan ada sebarang unsur sabotaj yang boleh menggugat peluang BN mempertahankan kerusi tersebut dan sekali gus meneruskan agenda yang tidak sempat disempurnakan oleh Allahyarham Datuk Ahmad Razali Ismail.
Kesepaduan sokongan yang diberikan oleh UMNO Kuala Terengganu kepada Wan Ahmad Farid itu juga bermakna ia memusnahkan impian pembangkang yang amat mengharapkan perpecahan berlaku dalam UMNO bagi membolehkan mereka meraih undi.
Justeru misi BN dan UMNO kini adalah menumpukan sepenuh perhatian untuk menyakinkan pengundi-pengundi bahawa parti itu harus dipilih mewakili mereka.
Kemenangan BN di Kuala Terengganu adalah detik paling penting bagi memastikan maruah UMNO yang tercalar di Permatang Pauh dapat dipulihkan semula.
UMNO dan BN akan menerima kritikan dan kecaman paling hebat jika mereka tewas di Kuala Terengganu. Ini kerana pilihan raya kecil tersebut diadakan ketika BN di ambang menyambut pemimpin baru berikutan peralihan kuasa kepimpinan negara dan parti antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah bagi parti pembangkang mereka pasti akan ketawa sepuas-puasnya kerana tumbangnya BN di Kuala Terengganu jika berlaku akan mengukuhkan teori mereka bahawa BN sudah semakin ditolak oleh rakyat.
Persoalannya mahukan pemimpin dan ahli-ahli UMNO membiarkan maruah mereka dipersenda oleh parti lawan?
Mampukah pemimpin dan ahli UMNO 'menahan telinga' untuk mendengar 'nyanyian' pembangkang yang akan mendendangkan lagu kekalahan UMNO di Kuala Terengganu sepanjang tahun dan paling perit dianggap 'hadiah perpisahan untuk Perdana Menteri' dan kalungan bunga selamat bertugas kepada Najib?
Sudah pasti UMNO tidak mahu ini semua berlaku. Kuala Terengganu bukanlah kubu Pas dan Kuala Terengganu juga bukan lubuk UMNO tetapi Kuala Terengganu adalah gelanggang yang memperlihatkan pengundinya memilih siapa yang terbaik.
Maruah UMNO Terengganu terletak di Kuala Terengganu. Di gelanggang itulah, peluang terbaik untuk mereka membuktikan bahawa kemenangan majoriti yang kecil di kerusi Parlimen tersebut pada pilihan raya umum lalu bukanlah kerana nasib tetapi UMNO dan BN sememangnya layak berada di situ.
Sikap berpuak-puak atau usaha untuk mencalarkan rekod sesiapa seharusnya tidak ada dalam kamus perjuangan UMNO Terengganu dalam pilihan raya tersebut.
Diterokai
Seperti mana kata Wan Ahmad Farid kepada penulis, BN tidak ada pilihan selain menang kerana pilihan raya kecil Kuala Terengganu terlalu banyak signifikannya.
Seperti mana kata Wan Ahmad Farid kepada penulis, BN tidak ada pilihan selain menang kerana pilihan raya kecil Kuala Terengganu terlalu banyak signifikannya.
Jentera BN yang turun berkampung di situ harus diberi bantuan sepenuhnya oleh ahli- ahli UMNO Terengganu supaya setiap kubu dan kawasan Pas mampu diterokai.
Peristiwa jentera BN dari negeri lain yang hanya datang makan dan tidur seperti mana berlaku di Permatang Pauh sama sekali tidak boleh diulangi di Kuala Terengganu.
Sebaliknya kesemua jentera BN tidak kira dari negeri mana sekalipun dengan bantuan UMNO Terengganu perlu berpeluh di siang hari dan bersengkang mata di malam hari untuk memastikan panji-panji BN dapat dipertahankan.
Apa yang perlu difahami, parti pembangkang akan turun habis-habisan untuk memastikan calon mereka mencapai kemenangan. Mereka akan mengeksploitasi setiap inci kelemahan UMNO dan BN bagi meraih undi.
Matlamat utama mereka bukanlah untuk berkhidmat kepada rakyat seperti mana cita-cita BN sebaliknya tujuan mereka ialah untuk memalukan BN dan ingin membuktikan kepada rakyat bahawa BN kini berada di hujung jalan kekuasaannya.
Atas sebab itu, pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bukan sekadar satu pilihan raya yang ingin menggantikan seorang wakil rakyat yang meninggal dunia. Sebaliknya ia adalah satu pilihan raya yang mempertaruhkan imej, maruah dan kredibiliti BN dan UMNO.
Sejarah sudah membuktikan bahawa BN dan UMNO bukanlah sebuah parti yang lemah, malah parti itu mempunyai rack record yang cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Inilah yang seharusnya menjadi sandaran kepada UMNO dan BN di Kuala Terengganu nanti. Keangkuhan pembangkang yang begitu bermegah dengan kejayaan dalam pilihan raya umum dan begitu bongkak dengan kemenangan di Permatang Pauh harus ditamatkan 'nyanyiannya' di Kuala Terengganu.
Jika sebelum ini UMNO dan BN tidak mampu mengangkat kepala berikutan kekalahan di Permatang Pauh, tetapi kini peluang terbuka luas kepada mereka untuk menebus kekalahan.
Impian ini hanya akan menjadi kenyataan jika pemimpin dan ahli BN turun berkempen dengan satu hasrat iaitu memastikan kemenangan.
Hakikatnya, pembangkang juga ada masalahnya sendiri, tetapi mereka mampu menyerap atau menyembunyikan setiap kali pilihan raya, apa yang penting bagi mereka ialah parti mesti menang kerana di situlah letaknya maruah mereka sebagai pemimpin dan ahli parti.
Keazaman inilah yang seharusnya menjadi contoh dan kita yakin pemimpin serta ahli UMNO juga mempunyai semangat membara bagi melihat kemenangan BN.
Apa pun keadaannya, adalah diharapkan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu akan menjadi medan kebangkitan UMNO dan ia juga harus menjadi platform untuk membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO tidaklah seburuk mana dan masih mampu mendapat sokongan mereka.
Semoga panji-panji BN akan terus kekal di Kuala Terengganu kerana agenda parti itu dalam memperjuangkan nasib rakyat Terengganu masih belum selesai.
Masih terlalu banyak agenda Allahyarham Razali yang perlu dilunaskan terutamanya dalam soal pendidikan anak-anak Melayu.
Memang benar Kuala Terengganu adalah sebuah kawasan bandar tetapi ini tidak bermakna ia harus diserahkan kepada pembangkang.
Ini bukanlah soal beri kepada sesiapa sahaja pun tak apa tetapi ia adalah soal untuk memastikan agenda membangunkan umat Melayu melalui UMNO akan dapat diteruskan.
Semoga UMNO Terengganu akan menyedari tanggungjawab berat yang menanti mereka. Kemenangan BN bukan sesuatu yang mustahil ia pasti akan tercapai jika ahli-ahlinya berkempen dengan penuh ketekunan dan keikhlasan kerana sejarah telah membuktikan bagi kawasan yang bukan kubu kuat mana-mana parti, BN acap kali mencapai kejayaan.
Jangan biarkan tafsiran bahawa pembangkang tidaklah kuat tetapi UMNO yang tidak mahu menang menjadi kenyataan kerana kawasan Parlimen tersebut adalah penentu maruah BN khususnya UMNO.