PILIHAN raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang bakal berlangsung pada 17 Januari depan turut menjadi ujian kepada ketiga-tiga sayap dalam UMNO.
Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO mempunyai tanggungjawab yang cukup berat bagi membantu Barisan Nasional (BN) meraih undi dalam pilihan raya berkenaan. Ini boleh dianggap ujian kedua selepas Permatang Pauh, apabila di kawasan Parlimen itu BN tewas dan ia juga menyaksikan kemampuan jentera ketiga-tiga sayap BN dipertikaikan terutama dalam meraih sokongan pengundi muda.
Walaupun dalam pemilihan UMNO pada Mac nanti ketiga-tiga sayap itu bakal menyaksikan pertarungan bagi jawatan ketua masing-masing namun adalah diharapkan soal berkenaan dapat dilupakan seketika.
Tumpuan semua pemimpin dan ahli ketiga-tiga sayap itu tanpa mengira siapapun yang mereka sokong ialah memastikan kemenangan BN.
Kemenangan BN adalah lebih penting daripada soal untuk menjadikan kawasan Parlimen Kuala Terengganu sebagai pentas bagi menonjolkan siapa lebih layak memimpin.
Bagi Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah pasti akan menjadikan Kuala Terengganu sebagai medan terakhirnya memberikan sumbangan kepada pergerakan itu. Beliau sudah tentu berhasrat untuk meninggalkan Pemuda UMNO dengan kenangan manis apabila memastikan panji-panji BN terus tegak di kawasan Parlimen berkenaan.
Cabaran Pemuda agak hebat memandangkan prestasi Pemuda UMNO Terengganu dalam setiap pilihan raya di negeri itu dikatakan tidak begitu menyerlah.
Dalam soal ini seorang pemimpin Pemuda Terengganu ketika dihubungi berkata, Pemuda negeri itu perlu membuktikan bahawa mereka bukanlah sekadar 'pasukan menggantung poster' semata-mata.
''Sebaliknya, mereka perlu membuktikan bahawa mereka adalah pergerakan peringkat negeri yang berwibawa untuk membantu jentera dari seluruh negara memenangkan BN,'' katanya.
Bagi Wanita pula, Ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz awal-awal lagi sudah berjanji akan mengetepikan soal pemilihan parti buat seketika bagi menumpukan perhatian kepada memastikan kejayaan BN.
Semangat
Dalam soal ini, Rafidah dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil perlu menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi biarpun mereka bersaing bagi merebut kerusi Ketua Wanita.
Sebarang tindakan yang menunjukkan hubungan mereka tidak mesra boleh mengakibatkan jentera Wanita menjadi berpuak-puak dan sekali gus akan menggugat peluang BN.
Begitu juga dalam Puteri, mana-mana calon yang bertanding untuk pemilihan parti tidak harus cuba menonjolkan diri dan bertindak seolah-olah ingin menjadi 'Srikandi'.
Pilihan raya kecil adalah soal kerja berpasukan dan bukannya gelanggang untuk menunjukkan kehebatan mana-mana tokoh secara individu atau kelompoknya.
Sebarang ketidakseragaman dalam perancangan dan tindakan sudah pasti akan menjejaskan keseluruhan jentera BN.
Justeru itu adalah wajar bagi ketiga-tiga sayap BN turun ke Kuala Terengganu dengan semangat berpasukan yang tinggi. Misi utama mereka ialah memenangkan calon BN bukannya meraih undi bagi pemilihan Mac.
Hakikatnya, cabaran BN di Kuala Terengganu bukanlah mudah. Dengan tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) berada dalam tangan pembangkang iaitu Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Burok, tanggungjawab sayap-sayap UMNO adalah amat berat.
Mereka perlu bergerak secara menyeluruh ke seluruh pelosok Parlimen Kuala Terengganu bagi memastikan pengundi memilih BN. Ini kerana biarpun satu undi, ia amat berharga bagi parti tersebut.
Perkiraan itu dilakukan kerana pilihan raya kecil tersebut tidak mustahil bakal menyaksikan pertarungan lima penjuru iaitu antara BN, Pas, AKIM dan dua calon Bebas. Jika jangkaan ini menjadi kenyataan, cabaran BN adalah lebih getir daripada apa yang diduga.
Oleh itu mulai dari saat ini ketiga-tiga sayap UMNO perlu membuat persediaan rapi bagi memastikan BN menjadi pilihan pengundi.
Kelompok pengundi baru dan generasi muda perlu diberi tumpuan. Mereka ini yang dikatakan ada yang berpaling tadah pada pilihan raya umum harus dibawa kembali ke pangkuan BN.
Langkah untuk membawa orang muda pulang dari ibu negara bagi membolehkan mereka mengundi adalah digalakkan tetapi jangan mengulangi kesilapan pilihan raya umum lalu, apabila ada dakwaan, sepanjang perjalanan pengundi-pengundi 'dibrainwash' supaya mengundi BN.
Adalah lebih baik, pengundi-pengundi berkenaan diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri kenapa mereka perlu mengundi BN.
Selain itu, pendekatan-pendekatan kempen juga haruslah berhemah dan penuh dengan budi bahasa. Apa yang perlu difahami biarpun Parlimen Kuala Terengganu dianggap kawasan bandar tetapi hakikatnya ia berada di negeri yang dianggap 'luar bandar'.
Ertinya, pengundi-pengundi di kawasan itu tetap mempunyai nilai kesopanan dan ketertiban yang tinggi. Justeru jentera BN yang digerakkan oleh sayap-sayap BN perlu memahami situasi ini.
Seperkara lagi ketiga-tiga sayap UMNO terutamanya Pemuda perlu memainkan peranan penting dalam 'perang saraf'.
Pengedaran risalah di warung-warung kopi, masjid-masjid dan kepada pemandu kenderaan harus menjadi salah satu daripada corak kempen BN.
Langkah tersebut bagi membolehkan BN mampu menjawab setiap dakwaan pembangkang dengan cepat dan tepat tanpa perlu menunggu ia disiarkan di media-media massa atau Internet.
Kewujudan blog mengenai pilihan raya kecil tersebut juga perlu dilaksanakan bagi membolehkan pengundi terutama generasi muda memahami setiap isu yang dibawa oleh BN.
Dalam soal ini, jentera sayap BN dan UMNO perlu bekerja 24 jam bagi memantau suasana kerana itulah yang dilakukan oleh pembangkang dalam mana-mana juga pilihan raya kecil.
Apa pun keadaannya adalah diharapkan pemimpin dan ahli daripada ketiga-tiga sayap UMNO itu dengan dibantu oleh sayap-sayap parti komponen BN lain akan memahami bahawa Kuala Terengganu bukan sahaja medan untuk mempertahankan maruah tetapi juga bagi menebus kekalahan di Permatang Pauh.
Keangkuhan pembangkang yang sebelum ini menguar-uarkan bahawa BN semakin ditolak oleh rakyat harus ditamatkan. Semua ini hanya boleh dicapai jika seluruh jentera BN benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan parti itu.
Ingatlah pertarungan di Kuala Terengganu tidak mengizinkan mana-mana pihak bersandiwara kerana berdasarkan keputusan pilihan raya umum kawasan berkenaan terlalu longgar berada dalam genggaman BN.