Wednesday, December 3, 2008

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SAMPAI hari ini Awang merasakan kerajaan telah melakukan kesilapan pada awal era kemerdekaan apabila membenarkan sistem pendidikan yang berbeza berasaskan kaum.
Rasanya tiada negara lain termasuk negara jiran serantau yang melaksanakan sistem tersebut.
Akibatnya sehingga saat ini, Malaysia berdepan dengan masalah polarisasi kaum yang serius walaupun setelah 50 tahun merdeka.
Ternyata kewujudan sekolah jenis kebangsaan tidak membantu penyatuan kaum.
Sebab itu, Awang bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir agar kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan berteraskan semangat kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan sedia ada.
Menerusi sistem tersebut, pelajar kaum Cina dan India tetap diwajibkan mempelajari bahasa ibunda walaupun menggunakan perantaraan Bahasa Malaysia di sekolah.
Walaupun cadangan sedemikian pernah dikemukakan oleh beberapa tokoh tetapi keperluannya kini lebih mendesak.
Sebenarnya sistem pendidikan yang berbeza mengikut kaum tidak lagi relevan.
Dalam hal ini, semua kaum seharusnya lebih mengutamakan kepentingan negara. Apa maknanya menjadi warganegara jika kita masih berkiblatkan negara asing.
Awang – Di mana bumi dipijak...