DUA isu mutakhir ini - pelaksanaan hukum hudud dan pemberian hak milik tanah kekal - membuka mata rakyat berbilang kaum di negara ini tentang apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh pakatan pembangkang di negara ini.
Di sinilah dan ketika inilah rakyat sepatutnya bertindak sebagai 'hakim' untuk mengadili sama ada nasib serta masa depan mereka akan lebih terjamin jika pakatan pembangkang diberi peluang serta ruang untuk menjadi pemerintah.
Atau jika gabungan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diberi mandat untuk membentuk kerajaan, siapakah yang paling mendapat manfaat daripada dasar-dasar yang akan dilaksanakan kelak?
Isu hudud yang muncul semula ketika berlangsungnya dialog antara Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden Pas, Husam Musa umpama imbasan otak rakyat Malaysia tentang isu yang agak lama tidak diperkatakan itu.
Bantahan segera orang kuat DAP seperti Lim Guan Eng dan Karpal Singh sebaik Husam melontarkan ketegasan Pas untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang memerintah kelak juga bukan perkembangan yang memeranjatkan.
Hakikatnya, setiap kali berbangkitnya isu pelaksanaan hukum hudud dan qisas, DAP akan tampil dengan paras ketegasan yang sama dan tidak pernah beranjak sedikit pun.
Namun di sebalik ketegasan barisan pimpinan DAP, Husam menongkah arus mengendurkan nadanya apabila membuat kenyataan bahawa hukum hudud hanya dilaksanakan selepas mendapat persetujuan PKR dan DAP.
Dan dunia amat mengetahui bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan bersetuju dengan hasrat Pas manakala PKR tidak diketahui pendiriannya.
Ini kerana pemimpin PKR tentunya enggan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kemahuan ahli-ahlinya yang terdiri daripada pelbagai bangsa walaupun penasihat parti itu sering menggunakan al-Quran dan hadis untuk menyokong kata-katanya.
Persoalannya, mengapa DAP boleh mempertahankan pendirian tidak akan membenarkan hukum hudud dilaksanakan pada bila-bila masa sekali pun manakala Husam pula mengambil langkah kebelakang dan menunjukkan keakuran Pas kepada DAP?
Bukankah sebagai wakil parti yang memperjuangkan pemerintahan Islam Husam sepatutnya mesti bertegas sekurang-kurangnya menyamai tahap ketegasan Guan Eng dan Karpal.
Mengapa Husam mesti merujuk kepada persetujuan rakan-rakan pakatan pembangkang sedangkan beliau amat arif bahawa tiada restu jauh sekali persetujuan di pihak DAP dalam hal pelaksanaan hukum hudud dan qisas.
Apakah kedudukan Pas yang sebenarnya dalam pakatan pembangkang sehingga parti itu perlu merujuk kepada DAP dan PKR untuk melaksanakan hukum Islam jika memerintah kelak.
Dan adakah Pas akan membatalkan hasratnya untuk melaksanakan hudud dan qisas jika terus mendapat tentangan rakan-rakannya atau parti itu sanggup berjuang bersendirian meninggalkan peluang untuk menerajui negara?
Adakah kenyataan pertama Husam tidak disengajakan atau Naib Presiden Pas itu ingin menguji 'rakan-rakannya' - dengan harapan mungkin DAP dan PKR akan mengendurkan suara terutama menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi.
Hakikatnya, ketegasan Pas amat ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini terutama bangsa Melayu yang satu ketika dulu menyanjung perjuangan serta ketegasan parti itu dalam hal ehwal pelaksanaan hukum Islam.
Begitu juga dalam hal pemberian hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun yang majoriti berbangsa Cina oleh kerajaan negeri Perak.
Keputusan kerajaan negeri yang Menteri Besarnya juga mewakili parti Pas dilihat terburu-buru dan ada agenda di sebaliknya yang bertentangan dengan dasar Pas itu sendiri.
Banyak kerja yang perlu dibuat sebelum keputusan tersebut diluluskan oleh kerajaan negeri kerana biar pun tanah tersebut telah dihuni oleh penduduk di situ sejak lebih 50 tahun lalu, namun itu bukan bermakna mereka layak menjadi pemilik selama-lamanya.
Siapa pemilik sebenar tanah tersebut dan apakah syarat-syarat pembukaan kampung baru dan kampung tersusun di situ perlu diselongkar dan diberi perhatian. Adakah klausa yang membenarkan mereka menjadi pemilik kekal tanah tersebut?
Pasti ada fakta-fakta tersembunyi di sebalik keputusan kerajaan memperuntukkan tanah tersebut untuk diduduki oleh majoriti kaum tertentu ketika itu bagi mengelak ancaman komunis.
Selain apa yang terbentang di dalam Kanun Tanah Negara, banyak perkara yang perlu dibuktikan sebelum kerajaan negeri Perak membuat keputusan sedemikian. Kaitannya dengan isu pelaksanaan hukum hudud ialah apa dan siapa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri yang diterajui oleh pakatan pembangkang.
Jika dalam isu hudud yang kumpulan sasarnya ialah rakyat beragama Islam, DAP menunjukkan bantahan keras, lain pula dalam isu pemberian hak milik tanah kekal.
Maka tidak keterlaluan jika dirumuskan keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini akan menjadi kayu ukur pertama sejauh mana rakyat 'menghadam' kedua-dua isu tersebut.
Dan kaum Melayu tidak perlu menunggu lama untuk memahami maksud tersurat di sebalik kedua-dua episod itu.