- Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengajaran mata pelajaran teras termasuklah Sains dan Matematik seperti diperuntukkan dalam Seksyen 1 dan 6, Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996, di sekolah rendah dan menengah kebangsaan;
- Pendekatan PPSMI sebagai cara atau kaedah pembelajaran bahasa Inggeris adalah salah kerana mempelajari sesuatu bahasa itu memerlukan pendekatan kejiwaan bahasa yang berkenaan, yang sama sekali berbeza daripada apa yang dilakukan melalui PPSMI.
- Pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah kebangsaan kebelakangan dan masa kini, bermasalah iaitu gagal mencapai objektif terminalnya untuk membolehkan pelajar selepas mengikuti sistem pembelajarannya mampu membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris yang betul dan fasih.
- Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini gagal untuk menyelesaikan masalah kelemahan yang amat ketara berkaitan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar (kebanyakannya Bumiputera) sungguhpun setiap IPTA mempunyai unit atau Jabatan Bahasa Inggeris masing-masing, mempunyai pensyarah berkelulusan tinggi dan mempunyai kelengkapan canggih seperti makmal bahasa, dan
- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan Negara gagal dalam memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan dengan secukupnya buku-buku rujukan di peringkat tinggi dalam bahasa Melayu di semua bidang ilmu. Dalam konteks ini, IPTA yang juga mempunyai tanggungjawab sama, turut gagal memainkan peranan ini. Inilah kebenaran yang harus mendasari pemikiran kita dalam menyelesaikan pemasalahan PPSMI. Sudah tentu penyelesaiannya amat mudah gunakan bahasa Melayu semula dalam pengajaran bagi mata pelajaran teras Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah dan menengah dan pada masa sama, lakukan usaha radikal dan bersifat transformasi. Ini bagi memastikan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah berkesan iaitu pelajar berupaya menguasai pertuturan, pembacaan dan penulisan bahasa Inggeris dengan fasih.
Pembelajaran bahasa Inggeris di IPTA yang diwajibkan kepada pelajar selama empat tahun perlu dipastikan dapat menggilap dan meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris pelajar ke tahap objektif terminal yang lebih tinggi. Keadaan di mana guru bahasa Inggeris tidak ada, tidak mencukupi dan tidak terlatih, sudah tidak boleh diterima lagi. Sesiapa yang bertanggungjawab pada peringkat perancangan dan pelaksanaan harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kelemahan dan kegagalan ini. Mesti ada sesuatu yang tidak kena jika mata pelajaran lain tidak mempunyai masalah seperti mata pelajaran bahasa Inggeris.
Pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menghasilkan buku-buku rujukan ilmiah dalam bahasa Melayu mestilah, tanpa lengah lagi melakukan perubahan radikal dan bersifat transformasi dalam cara bekerja serta mencapai hasil. Pencapaian objektif terminal perlu diukur setiap bulan untuk memastikan buku yang dihasilkan mencukupi dan memenuhi keperluan di samping dikekalkan mutu setiap penghasilan. Banyak model yang dapat dipelajari seperti digunakan di Jepun, China, Perancis, Jerman dan Russia.
Kalau diteliti sejarah, sebenarnya pada awal 1970-an hinggalah ke awal 1980-an, kita sudah berjaya melakukan yang betul dalam isu penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pada semua peringkat rendah, menengah dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pengisian penubuhan ini dengan jayanya merakamkan kejayaan kita melakukan perkara yang betul dalam membangun dan membina negara bangsa mengikut acuan yang benar.
Pada ketika itu, buku rujukan ilmu dalam bahasa Melayu dihasilkan pada kadar yang mencukupi sementara penuntut pada semua peringkat pembelajaran tidak menghadapi masalah menguasai dengan fasih bahasa Inggeris serta membuat rujukan ilmiah di dalam bahasa Inggeris. Mengapakah selepas itu dan pada masa kini memuncak dengan masalah? Dan mengapakah penyelesaian yang begitu mudah menjadi terlalu sukar untuk dicapai?
Tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ialah peguam dan bekas Pengarah Urusan MAS