BEBERAPA orang kawan Muslim Amerika bertanya apa yang terjadi dengan politik Malaysia. Mereka terkejut dengan politik Malaysia sejak akhir-akhir ini khususnya selepas pilihan raya umum Mac lalu.
Sebenarnya perkembangan politik Malaysia kini menjadi perhatian dunia khususnya negara-negara Islam. Mereka mempunyai pandangan yang tinggi terhadap Malaysia sebagai sebuah negara bermajoriti penduduk Islam moden dibandingkan dengan negara lain termasuk negara Timur Tengah yang kaya dengan hasil minyak.
Mereka menganggap Malaysia model kepada negara-negara Islam. Lantaran itu mereka harap Malaysia tidak terjerumus ke dalam konflik seperti mana yang sedang dialami oleh beberapa buah negara Islam seperti di benua kecil India, Afrika dan Timur Tengah. Begitu tingginya harapan mereka terhadap Malaysia.
Sebenarnya ramai rakyat luar yang mempunyai penghormatan tinggi terhadap Malaysia dan bukan sekadar orang Islam sahaja. Jangan terkejut kalau penduduk di sebuah perkampungan kecil di Afrika tahu mengenai Malaysia.
Namun rakyat Malaysia mempunyai pandangan yang berlainan terhadap negaranya sendiri. Kalau dibaca komen-komen dan tulisan di beberapa blog dan portal, Malaysia seolah-olah sebuah negara yang paling tidak selamat. Kerajaan mengamalkan pemerintahan diktator, pembersihan etnik dan dasar-dasar ekonomi hanya menguntungkan Melayu.
Melayu seolah-olah satu perkataan yang paling kotor. Meskipun Melayu salah satu komponen bumiputera tetapi nampaknya sengaja dipisahkan dengan kaum bumiputera lainnya. Seolah-olah wujud satu usaha untuk mengadu-dombakan kaum bumiputera melalui perbezaan agama. Apakah 'Perhimpunan Orang Asal' di Kuala Lumpur tidak lama dulu merupakan permulaan kepada satu pergeseran yang panjang.
Malahan ada pihak-pihak yang menghentam Melayu meskipun berselindung di sebalik perkataan UMNO. Ini untuk membuktikan bahawa mereka tidak menghentam Melayu keseluruhannya semata-mata untuk mengambil hati orang Melayu dalam Pas dan PKR atau orang Melayu yang dikira mempunyai pemikiran liberal dan anti-UMNO.
Ketegangan
Tidak syak lagi kempen-kempen seumpama ini boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk mempraktikkan dasar-dasar keterbukaan.
Oleh itu jangan marah kalau kerajaan dan ramai orang Melayu yang merasakan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih perlu. Provokasi-provokasi terhadap orang Melayu nampaknya melintasi sempadan agama dan lain-lain perkara yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.
Perkara seumpama ini tidak berlaku pada masa lalu. Orang Islam menghormati adat resam dan agama bukan Islam dan begitulah sebaliknya. Pihak berkuasa agama Islam boleh mengeluarkan sebarang undang-undang atau fatwa sekiranya sesuatu perkara dikira bertentangan dengan Islam. Tidak terdengar bantahan daripada bukan Islam.
Begitu juga dengan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tindakan menggunakan pelbagai bahasa di tapak-tapak warisan dunia kononnya untuk tujuan memudahkan pelancong.
Bekas-bekas diplomat dan para diplomat kita yang masih bertugas di negara yang mempunyai tapak-tapak warisan tidak menemui papan-papan tanda jalan ataupun papan kenyataan ditulis dalam pelbagai bahasa di dunia (kalau sekarang sudah berubah tidak tahulah). Kalau ada pun cuma bahasa Inggeris (di negara-negara bahasa rasmi bukan bahasa Inggeris) untuk memudahkan pelancong di samping bahasa tempatan.
Kempen-kempen bersifat memburuk-burukkan imej negara dan menghilangkan kepercayaan Malaysia di mata dunia melalui tulisan-tulisan dan kenyataan-kenyataan negatif di dalam internet dibaca oleh rakyat negara-negara asing. Apatah lagi kalau tulisan tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris.
Baru-baru ini penulis terbaca satu surat pembaca yang mendakwa orang Cina telah menjadi miskin, sementara Melayu pula dikatakan menjadi kaya raya.
Lalu penulis terbayang bangunan-bangunan dan gedung-gedung perniagaan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan lain-lain bandar besar Malaysia dipunyai oleh orang Melayu. Nama-nama gedung terpampang nama-nama syarikat dan korporat Melayu. Daripada senarai 40 orang terkaya di Malaysia lebih dua pertiga orang Melayu. Ini adalah mimpi penulis yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Dibandingkan dengan Martin Luther King Jr. mimpi beliau untuk melihat kaum kulit hitam mempunyai hak sama rata dengan rakyat kulit putih akhirnya tercapai dan kemuncaknya kemenangan Barack Hussein Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 4 November lalu.
Kalau kaum kulit hitam berjaya menjadi presiden 160 tahun selepas hamba abdi diharamkan, penulis tidak berani meneka berapa ratus tahun dari sekarang Melayu akan menguasai ekonomi. Mungkin tidak tercapai langsung. Mungkin akan hilang kesemuanya termasuk politik. Mungkin juga kita memerlukan mimpi seorang Martin Luther King Malaysia.
Sekarang tibalah masanya pemimpin-pemimpin politik dari segenap kaum mengendurkan ketegangan yang dikira telah mula tiba ke tahap bahaya. Mungkin para pemimpin menganggap bahawa apa yang berlaku sekarang hanya lakonan politik, tetapi mereka mesti sedar bahawa pemahaman politik di kalangan rakyat biasa adalah berlainan dengan para pemimpin. Mereka jujur dan tidak pandai bersandiwara.