Monday, June 8, 2009

Bergaduh di P.Pinang, Ayuh! Teruskan lagi



Banyak blog yang telah membincangkan isu Lim Guan Eng yang mengenepikan rakan politik beliau di dalam pemilihan jawatankuasa MPSP dan isu di MPPP. Kita pun sudah tahu beberapa ahli majlis MPSP dari PKR telah memboikot majlis perlantikan Dipertua Majlis MPSP yang baru.
Mereka bertekak sesama sendiri sehinggakan ada yang mencabar agar pemimpin PKR meletakkan jawatan sebagai ahli majlis. Berat sebenarnya drama PKR-DAP kali ini!


Perkara ini merumuskan kepada satu jawapan mudah iaitu ikatan di dalam Pakatan Rakyat sebenarnya terlalu rapuh. Yang mengikatkan semua parti di dalam PK selama ini ialah perjuangan untuk mendapat kuasa dan pangkat, tidak lebih daripada itu.

Apabila parti tersebut berjaya mendapat kuasa, maka pertimbangan mereka menjadi kabur dan 'persaudaraan' di antara parti bukan lagi menjadi perkara asas yang perlu diusahakan. Mereka pun tahu bahawa PRU-13 masih lama lagi.

Jika mereka 'berperang' dan bertegang leher hari ini, parti-parti pembangkang akan kembali berlakon dan kononnya bersatu kembali untuk PRU-13. Bagi mereka, yang penting sekali ialah rakyat akan percaya bulat-bulat dengan lakonan mereka nanti. Mereka akan berpeluk 'rindu' dan bersalaman seolah-olah segala sengketa yang berlaku lenyap begitu sahaja.

PAS dan DAP pernah gagal di dalam pakatan mereka menjadi entiti gagasan politik. Tatkala itu, kaum bukan Melayu kecewa dengan tindakan DAP yang bersekongkol dengan parti PAS yang ketika itu dilihat 'ultra-Islam' dan memperjuangkan hukum hudud.
Akan tetapi, PAS telah menggadaikan konsep perjuangan parti mereka dan meliberalkan pendekatan mereka untuk menarik minat kaum bukan Islam.

Malah, jika kita lihat kepada logo-logo baru parti PAS, ianya lebih menonjolkan entiti 'kemalaysian' dibandingkan dengan Islam!
Sikap berpura-pura ini perlu difahami oleh rakyat dan dijadikan kayu pengukur untuk menilai sesebuah parti.
Lim Guan Eng pula telah gagal di dalam legasi beliau untuk memakmurkan negeri Pulau Pinang.

Tindakan beliau yang melantik Timbalan Ketua Menteri 1 yang baru, Mansor Othman memegang potfolio Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koorperatif dan Komuniti jelas menunjukkan bahawa Guan Eng bukan seorang pemimpin yang mampu membantu negeri Pulau Pinang semasa krisis ekonomi ini.
Beliau takut untuk menggalas tanggungjawab besar ini.
Sebaliknya,
Lim Guan Eng memegang InvestPenang, satu organisasi yang telah aktif dan serba boleh sejak BN menjadi kerajaan negeri Pulau Pinang dahulu.
Makanya, tidak perlulah Guan Eng 'bergayut' kepada InvestPenang , mendapat kredit dan mendakwa beliau telah berjaya menjalankan tugas sedangkan InvestPenang boleh berfungsi tanpa kehadiran beliau di dalamnya!