PRINSIP 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang menjadi teras kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mula menampakkan perubahan struktur dan prosedur yang jelas.
Lantaran itu, kita tidak mahu gagasan murni, idea bernas, dan kesungguhan Perdana Menteri akhirnya menjadi backclash kepada imej kepimpinannya apabila kesemua 'jentera' di bawahnya gagal berfungsi seperti diharapkan.
Contoh duluan melalui lawatan mengejut, ke kawasan tumpuan rakyat, kurangnya sambutan permaidani merah, penamatan majlis rasmi kerajaan yang tidak melewati jam, 11 malam, daya upaya melonjakkan transformasi pelbagai sektor dan perkhidmatan untuk menjadi pemain utama di peringkat global adalah antara pelan taktikal dan KPI yang kini kian menemui hasratnya.
Apa yang 'penting' outcome dari kesemua usaha itu akhirnya diterjemahkan dalam bentuk wujudnya kepuasan maksimum di hati rakyat.
Dengan penguncupan pertumbuhan KDNK negara -6.2 peratus, peningkatan harga minyak mentah yang kian menunjukkan pola menaik, menurunnya harga komoditi, kos sara hidup yang kian terasa, soal pemberhentian secara sukarela dan pembuangan kerja yang berlaku meskipun terkawal, penularan wabak HINI yang menjejaskan sektor pelancongan dan meningkatnya kos tanggungan sosial kerajaan, biaya kesihatan dan pendidikan yang kian mahal maka langkah dan tindakan taktikal yang bersifat segera, pantas wajar disegerakan.
Selain pelan tindakan ekonomi berkenaan menguntungkan majoriti rakyat bukan sekadar berpusat untuk memuaskan hati masyarakat pedagang dan konglomerat besar semata-mata.
Dalam konteks inilah, pakej rangsangan ekonomi pertama dan kedua yang menelan belanja RM67 bilion sungguhpun telah berjalan pada kadar yang agak memuaskan namun masih banyak ruang atau segmen sektor perbelanjaan ekonomi perlu dipelbagaikan.
Rasionalnya ada tiga. Pertama biarlah perbelanjaan awam ataupun apa jua pengumuman peruntukkan kerajaan sampai kepada golongan sasar. Kedua, nikmat pengagihan itu dirasai secara menyeluruh bukan sekadar dinikmati oleh kelompok yang sama. Ketiga, biarlah perbelanjaan itu akhirnya akan menghasilkan kitaran ekonomi yang lebih holistik sifatnya.
Menyedari hakikat itulah disarankan agensi dan jabatan terlibat dalam pengagihan peruntukkan ini mempercepatkan proses kelulusan, proses kerja dan kurangnya isu remeh-temeh yang boleh menyusahkan rakyat. Barangkali punca kenapa institusi ah long diminati rakyat marhein kerana pinjamannya meskipun berisiko tinggi sehingga ke tahap bergadai nyawa namun prosedurnya lebih segera, pantas dan mudah.
Ada beberapa pakej rangsangan ekonomi marhein yang boleh digerakkan untuk kurangkan beban rakyat seperti aspek kesihatan dan pendidikan. Dalam hal ini dicadangkan langkah berikut sebagai usaha tambahan kerajaan untuk mencergaskan pertumbuhan ekonomi negara dalam masa yang sama mengurangkan tahap bebanan kos sara hidup dan perbelanjaan yang kian meningkat yang terpaksa ditanggung rakyat marhein.
Antaranya :
a) Mewujudkan kembali skim baucar tuisyen bagi semua peringkat peperiksaan yang akan dihadapi oleh pelajar. Keutamaan kepada masyarakat pelajar tanpa mengira bandar atau luar bandar.
b) Elaun sara hidup anak, bagi suami isteri bekerja di kawasan bandar yang mempunyai tiga anak atau lebih. Elaun hanya layak dinikmati oleh tiga orang anak. Pendapatan gabungan suami isteri mestilah kurang dari RM3,000. Disarankan setiap anak dibayar RM100 setiap orang sebulan.
c) Diskaun harga buku kerja sekolah, buku teks, buku ilmiah kegunaan pelajar rendah, menengah dan IPTA serta IPTS sebanyak 50 peratus.
d) Bayaran minimum tidak melebihi RM500 bagi pendaftaran kemasukan pelajar baru ke IPTA dan IPTS.
e) Penghapusan bayaran pendaftaran RM1 bagi pesakit luar yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
f) Diskaun 50 peratus bagi pesakit kronik yang menghuni di wad-wad hospital kerajaan.
g) Geran bantuan awalan minimum RM500 bagi keluarga yang berpendapatan RM2,500 ke bawah yang mempunyai tiga atau lebih anak yang bersekolah. Geran ini diberikan sebelum penggal persekolahan baru dibuka.
h) Potongan 50 peratus bagi harga komputer untuk pelajar IPTA dan IPTS selain kemudahan broadband percuma yang ditaja oleh syarikat telekomunikasi percuma sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka.
i) Kemudahan pendidikan percuma bagi peringkat diploma, dan kolej komuniti
Saya yakin jika dua sektor yang berteraskan perkhidmatan sosial ini yakni pendidikan dan kesihatan diberi keutamaan, beban tanggungan sebahagian besar rakyat marhein dapat dikurangkan.
Hanya dengan cara ini, bebanan rakyat dapat diminimumkan, persekitaran kondusif dapat dijayakan selain punyai korelasi untuk mengurangkan jenayah juvana dan kes-kes jenayah kecil akibat kesempitan hidup.