Monday, June 8, 2009

Bersatulah Melayu demi Agama dan Bangsa


Pribumi Malaysia, terutamanya orang Melayu, sedang dilanda dilema politik dan ekonomi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan.


Faktor-faktor penyebabnya berada di depan mata. Kesannya sedang kita rasakan. Implikasinya semakin mencabar. Kalau gagal ditangani, dilema ini boleh menyebabkan nasi menjadi bubur, orang Melayu rugi besar, ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan, Tanah Melayu mungkin menjadi milik orang.


Contohnya, satu: kuasa Melayu dalam pemerintahan Malaysia kini semakin hari kelihatan seolah-olah kian terhakis. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 adalah manifestasinya.


Dua: baru-baru ini, UMNO dilanda krisis kredibiliti dan dicemari amalan rasuah politik yang serius. Tindakan disiplin kepada beberapa calon jawatan utama UMNO dalam pemilihan parti berkenaan pada Mac 2009 yang lalu adalah buktinya.
Tiga: pada hujung tahun lalu, wibawa UMNO selaku teras kepada Barisan Nasional (BN) dipersendakan oleh beberapa parti komponen BN sendiri. Kontroversi mengenai ketuanan Melayu dan asal-usul Melayu yang dicetuskan oleh MCA dan Gerakan pada Disember 2008 adalah bukti fenomena ini.



Empat: parti-parti Melayu alternatif, khususnya Pas, juga dalam keadaan yang dipertikaikan. Sikap, gelagat, kenyataan serta tindakan sesetengah pemimpin serta penyokong Pas baru-baru ini menjadikan persepsi ini lebih berasas.



Lima: Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti pelbagai etnik yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu, kini seakan-akan mempertaruhkan nasib dan masa depan bangsa Melayu kepada segolongan pemimpin politik bukan Melayu, semata-mata kerana pemimpin besar parti berkenaan dikatakan terlalu ghairah untuk berkuasa. Krisis moral pemimpin tertentu dalam PKR kini menjadikan parti itu lebih gawat.



Enam: hak-hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam perdagangan, perniagaan dan pendidikan, kebelakangan ini diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu. Desakan terhadap kuota biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera, serta kritikan mereka terhadap kuota 30 peratus dalam ekonomi negara yang dikhaskan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah contoh mengenainya.



Inilah dilema pribumi, khususnya orang Melayu di abad ke-21. Dilema ini perlu segera diatasi oleh semua orang Melayu, professional Melayu, cendekiawan Melayu, parti politik Melayu dan seluruh pemimpin Melayu melangkaui batas-batas kelompok serta ideologi.


Tetapi, perjuangan mempertahankan hak orang Melayu kini menjadi satu daripada dilema politik orang Melayu di abad ke-21. Banyak faktor yang menyebabkan dilema ini. Antaranya adalah seperti berikut.


Pada penghujung 2007, satu pertubuhan haram bernama Hindraf menuduh kononnya UMNO melakukan genocide dan pembersihan etnik ke atas keturunan India di Malaysia. Pertubuhan itu menuntut ganti rugi RM1,000,000 bagi setiap mereka yang terkorban (butiran 12 dalam memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri Malaysia 12 Ogos 2007).



Pada 28 November 2008, Ketua Wanita MCA menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak relevan pada hari ini kerana semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara. Beliau menyokong kenyataan seorang Timbalan Presiden MCA mengenai perkara yang sama pada 27 November 2008 (Utusan Malaysia).
Pada 30 November 2008, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan istilah ketuanan Melayu di negara ini tidak sesuai digunakan kerana ia menggambarkan seolah-olah seperti hubungan tuan dengan hamba (Utusan Malaysia).



Pada 6 Februari 2009, seorang pemimpin Pas diberitakan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh.



Pada 26 Februari 2009, ADUN DAP Skudai di Johor, Dr. Boo Cheng Hau menuduh kononnya dasar-dasar afirmatif untuk Melayu dan Bumiputera adalah serupa dengan dasar aparteid (The Malaysian Insider 26.2.2009).



Pada 14 Mei 2009, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu kerajaan mengkaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah mendapat banyak aduan mengenai pelajar terbaik dari beberapa negeri yang tidak menerima biasiswa tersebut. Beliau juga mahu pemberian biasiswa itu dilakukan berasaskan meritokrasi, dengan tidak menafikan peluang pelajar cemerlang (Utusan Malaysia).



Pada 17 Mei 2009, Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Yong Khoon Seng juga mendesak supaya pemberian biasiswa JPA diberikan mengikut sistem meritokrasi tanpa mengira pelajar itu daripada kaum Bumiputera atau bukan Bumiputera (mysarawak.org 17.5.2009).



Pada 20 Mei 2009, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta Chin Peng selaku bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) diizinkan pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan (Malaysiakini 20.5.2009).



Pada awal Jun 2009, Presiden MIC mengatakan Awang Selamat, kolumnis Mingguan Malaysia, perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana kolumnis itu memperkatakan fakta sejarah mengenai etnik India di Malaysia.



Banyak lagi contoh jika mahu dihuraikan satu persatu, temasuklah tuntutan supaya bukan Melayu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apapun, seluruh kenyataan di atas menyebabkan adanya orang Melayu yang mulai bimbang terhadap masa depan bangsa Melayu di Malaysia.



Ada orang Melayu yang mulai dibelenggu dilema siasah. Ada golongan Melayu yang mulai jadi acuh tak acuh terhadap nasib serta kelangsungan bangsanya. Ada pula kelompok Melayu liberal dan universalis yang rela mengetepikan fakta-fakta sejarah bangsanya sendiri.



Kecelaruan seperti ini di kalangan orang Melayu adalah berbahaya. Ia boleh menyebabkan survival bangsa Melayu di Malaysia di hari muka terumbang-ambing bagaikan layang-layang terputus tali.



Inilah dilema politik Melayu di abad 21. Jika sewaktu perjuangan menentang penjajah British pada 1946, orang Melayu sentiasa bersatu padu untuk menjadi kuat dan teguh, hari ini orang Melayu berpecah belah.



Pendek kata, segolongan orang Melayu pada ketika ini sudah tidak lagi menghargai kata-kata Datuk Onn Jaffar pada tahun 1946, bahawa orang Melayu wajarlah melonjak dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa Melayu menerusi perpaduan supaya tanah air dan bangsa Melayu terselamat dan kuat.



Oleh itu, orang Melayu mestilah insaf akan hal ini. Maruah kita sedang dicabar. Masa depan kita terumbang-ambing. Keistimewaan kita dipersoalkan. Raja-Raja Melayu dipersenda-sendakan. Kita perlu kembali bersatu demi masa depan kita bersama.



Kita perlu gabungkan seluruh tenaga dan pemikiran kita untuk mempertahankan Melayu dan ketinggian syiar Islam dalam konteks Malaysia yang majmuk. Kalau kita berpecah belah, kita akan kalah. Kalau kita terus berbalah, kita akan dibelah-belah.



Kalau kita bersatu,
suara dan tindakan kita akan jadi jitu, dihormati dan digeruni oleh pihak kawan dan lawan. Oleh sebab itu, marilah kita bersatu padu demi orang Melayu dan demi rakyat Malaysia seluruhnya.


Orang Melayu juga mesti tidak takut dan tidak gentar untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan kita di bumi bertuah ini. Kita tidak perlu curiga untuk menyatakan hakikat bahawa Melayu adalah paksi kepada segala-galanya di Malaysia yang berbilang keturunan.



Sejarah Melayu adalah paksi kepada sejarah Malaysia. Kebudayaan Melayu adalah paksi kebudayaan Malaysia. Kesejahteraan Melayu adalah paksi kepada kesejahteraan Malaysia. Kemakmuran Melayu adalah paksi kepada kemakmuran negara. Kestabilan politik Melayu adalah paksi kepada kemantapan siasah nasional.



Segolongan pihak bukan Melayu yang sering mempertikaikan keistimewaan orang Melayu di Malaysia mestilah insaf bahawa orang Melayu memang sentiasa rela untuk berkongsi kuasa dengan bukan Melayu di negara ini.



Hakikat ini terbukti bila orang Melayu langsung tidak membantah tindakan British menjadikan pendatang Cina dan India sebagai warganegara Malaysia menerusi kemerdekaan tanah air pada 1957.



Tapi, janganlah bersikap seperti Belanda minta tanah: dah diberi seinci, nak lagi sekaki. Janganlah jadi duri dalam daging. Jangan pura-pura lupa kepada sejarah. Jangan dicabar kewibawaan Melayu. Jangan diuji kesabaran orang Melayu.



Hidup kita bersama yang aman, makmur, rukun dan damai selama ini jangan diharu-birukan. Masa depan kita bersama sebagai rakyat Malaysia, jangan digerhanakan dengan tuntutan demi tuntutan yang ekstrem dan melulu. Hormatilah orang Melayu dan Bumiputera sebagai pribumi.