Friday, June 5, 2009

UMNO di Muktamar Pemuda PAS: PAS tak dapat menafikan kekuatan UMNO




Ada dua cerita berbeza mengenai UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dibangkitkan dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke 50 di Taman Melewar, malam Khamis.

Ketika Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayob memperlekeh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang banyak masalah dan mengelarnya Mr Altantuya, Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa melihat ada kebaikan dalam kerajaan sekarang.


Maka tidak hairanlah beliau meminta pemimpin dan ahli PAS melihat kekuatan serta kejayaan kerajaan BN dalam pengurusan ekonomi dan pemikiran polisi. Menurut Nasharudin, PAS perlu meminggirkan kekurangan dan kelemahan pimpinan UMNO dan BN yang baru senbaliknya perlu melihat kekuatan kerajaan sekarang menguruskan ekonomi dan polisi.



Malah dalam sidang media selepas perasmian itu, beliau sekali lagi menjelaskan bahawa UMNO memang lemah tetapi ada kekuatan lain yang perlu ditandingi oleh PAS.


Katanya, beliau melihat perkara itu dari dua aspek yang berbeza – UMNO lemah tetapi ada kelebihan. Nasharudin yang dilabel "sebagai terlalu liberal ke arah UMNO" dan dikaitkan dengan usaha kerajaan perpaduan dalam ucapannya menegaskan, kepimpinan parti itu tiada niat langsung untuk sertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Saya ambil kesempatan di sini untuk sekelian kalinya menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk UMNO atau BN.



"Dan, saya amat percaya adik-adik saya di dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya.


Penjelasannya malam tadi ada kaitan dengan dirinya yang jadi kecaman sebahagian pemimpin PAS ekoran beliau dikatakan terbabit mengorak perbincangan menjalin hubungan dengan UMNO.

Pada pemilihan parti itu Jumaat ini, Nasharudin akan dicabar Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang dikaitkan dengan kumpulan pro-Anwar serta Mohamad Sabu. Malah Husam pernah membuat kenyataan bahawa keputusannya mencabar Nasharudin kerana permintaan ahli parti yang kononnya tidak bersetuju dengan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.


Dalam pada itu Nasharudin juga berkata, imej PAS sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula.


"PAS bukan sekadar parti pembangkang - asal bantah sahaja semua tindakan parti kerajaan tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang telah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdekat dan membawa pimpinan alternatif kepada seluruh Malaysia dengan izin Allah.


"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," katanya. Terdahulu, Salahudin berkata,kepimpinan ulama harus jadi tunggak perjuangan parti itu terutama oleh pemimpin muda PAS.


Beliau juga berkata, PAS tidak boleh memandang sebelah mata terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang berkeupayaan dan berkebolehan menguasai jiwa golongan muda untuk menyokong UMNO.


“Jangan nanti kita gigit jari lihat Pemuda UMNO merampas semula kepercayaan golongan muda,” ujar Salahudin yang melepaskan jawatan Ketua Pemuda PAS dan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu Jumaat ini