Friday, June 19, 2009

Lihatlah realiti wahai Lim Kit Siang...


Lim Kit Siang cukup nyaring, berapi-api dan kasar semalam ketika membangkitkan mengenai isu biasiswa kerajaan di Dewan Rakyat - yang dakwanya ia diagihkan secara tidak adil dan hanya mengutamakan orang Melayu dan bumiputera sahaja.


Saya sungguh hairan mengapa beliau membangkitkan isu mengenai kaum itu. Kaum mana yang beliau sebenarnya perjuangkan dalam partinya? Jika orang Melayu ketinggalan dalam serba-serbi adakah beliau akan membelanya?


Jika kebanyakan orang Melayu dan kaum bumiputara lain masih terkial-kial di luar bandar - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang - membanting tulang di sawah-sawah padi, sedangkan tauke-tauke hidup senang-lenang, adakah DAP akan turut menjadi juara membela mereka?


Mengapa DAP yang mendakwa berjuang berdasarkan hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi tidak mahu memperjuangkan nasib kaum bumiputera yang masih ketinggalan dalam ekonomi, sosial dan serba-serbi?


Mengapa isu biasiswa kerajaan (yang terlalu sedikit jumlah itu) digembar-gemburkan sehingga menjadi sebagai isu yang membara dan terlalu besar? Apakah Kit Siang mahu meraih simpati politik dan mahu mencetuskan suasana panas di kalangan kaum?



Tahukah Kit Siang kaum mana yang paling ramai belajar di luar negara sekarang? Berapa banyak yayasan-yayasan persendirian yang dikuasai oleh tauke-tauke besar, jutawan dan bilionair Cina yang menaja pelajar-pelajar bangsa mereka.
Jika kerajaan tidak memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar bumiputera yang cerdik pandai ini siapa lagi yang mahu memberinya?



Tahukah Kit Siang siapakah anak- anak bumiputera yang pandai-pandai itu. Kebanyakannya mereka datang dari luar bandar. Siapa yang mahu mempedulikan mereka jika bukan kerajaan? Apakah yayasan-yayasan yang disebut tadi mahu menaja anak-anak kampung itu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terbaik?



Kita tidak menafikan soal meritokrasi amat penting dalam penganugerahan biasiswa itu. Siapa yang layak dia akan dapat, tapi janganlah terlalu mempersoalkan isu ini sehingga menyebabkan kaum- kaum lain marah kepada kerajaan dan orang Melayu - kononnya kaum lain (terutamanya kaum yang banyak menyokong DAP) dinafikan hak dan diketepikan.



DAP cuba menonjolkan bahawa yang jahat ialah orang Melayu dan kerajaan.
Lihatlah hakikat di depan mata kita sekarang. Berapa ramai pelajar-pelajar bukan Melayu yang mendapat tajaan - malah oleh negara jiran untuk belajar di negara itu dan akhirnya terus menetap di sana, di Hong Kong malah di Taiwan.



Kita hairan, salahkah jika kerajaan mahu menolong anak-anak bumiputera yang mewakili kaum majoriti di negara ini? Di negara jiran Singapura juga, masih wujud jurang dan ketidaksamaan meklibatkan kaum.


Tapi Melayu di sana tidak pernah berkobar-kobar pun seperti Kit Siang? Apakah orang Melayu di Singapura tidak boleh berkata apa-apa? Itu kita tidak tahulah. Tapi negara itu juga mengamalkan pendekatan yang sama seperti yang diamalkan oleh DAP di negara ini, bukan?



Oleh itu Kit Siang dan pihak-pihak lain, lihatlah kenyataan di depan anda. Siapa dia barisan bilionair-bilionair dan laksawan (terlalu kaya) yang hidup mewah di negara ini? Siapa dia yang menguasai ekonomi di negara ini? Siapa ahli-ahli profesional yang bersepah di negara ini? Siapa pemilik kedai-kedai perniagaan kecil atau besar di merata pelosok tempat di tanah air ini? Siapa yang tinggal di banglo-banglo besar yang merata di bandar-bandar besar di negara ini?



Saudara Kit Siang, tolonglah janganlah membangkitkan soal-soal yang boleh membakar perasaan antara kaum lagi. Kita sudah letih, kita sudah bosan. Kita mahu hidup dengan aman, tenteram dan harmoni. Kita mahu supaya kekayaan di negara ini dikongsi bersama - bukan oleh satu pihak sahaja. Kita mahu orang Cina juga mengajar orang Melayu berniaga.



Hakikatnya jika kita perincikan dasar-dasar kerajaan sebenarnya ia sebenarnya telah 'mengkayakan' bangsa lain yang mendapat tempiasan lebih lumayan daripada orang Melayu dan kaum bumiputera itu sendiri.



Jika dulu selepas peristiwa 13 Mei 1969 rakyat Malaysia kembali bertaut untuk hidup aman damai dan hormat menghormati - bagi membantu antara kaum memperbaiki diri masing-masing - mengapa falsafah itu semakin longgar?
Apakah kita semua sudah lupa? Apakah kita semua ini semakin selesa? Apakah kita ini sudah terlalu sombong dan bongkak?



Hakikatnya orang bumiputera di negara ini masih perlu dibantu. Lihatlah di mana orang Melayu berada? Jika saya katakan orang Melayu di Pulau Pinang adalah golongan kelas kedua - apakah DAP akan marah? Tapi itulah hakikatnya. Di mana pula orang Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lainnya? Mereka semua masih perlukan bantuan.


Hayatilah puisi Usman Awang (seperti Cuit minggu lepas) yang menggambarkan murahnya hati orang Melayu:
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan


Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak dipangkuan mati kebuluran


"Lihatlah realiti itu wahai Kit Siang. Janganlah emosional, anda mewakili kaum yang paling bernasib baik di muka bumi ini.