Sunday, September 13, 2009

Bagan Pinang medan cipta tsunami balas


DI ANGKASA kelihatan bulan tiga suku penuh, tetapi malap diselaputi awan. Dalam sebuah dewan kelab golf di Port Dickson kira-kira jam 11 malam itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, memberi amanat kepada lebih 300 pemimpin empat peringkat 12 cawangan Umno dan Bahagian Teluk Kemang.

Terdahulu, ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Samad, memberi ucapan berapi atas kehadiran Menteri Besar dan taklimat ringkas persediaan Umno bahagian menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, tidak lama lagi. “Jika jentera (Umno) baik, insya-Allah kita menang. Kita mesti ikhtiar (bagi meraih) majoriti lebih besar. Kepung semua penjuru, insya-Allah kita menang,” kata Isa.

Dalam ucapan balas, Mohamad hanya mahu seorang calon dipilih dan boleh memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) kerana menyifatkan DUN Bagan Pinang adalah benteng. Ia boleh menahan kemaraan tsunami pembangkang seperti Pilihan Raya Umum 2008 daripada memasuki Melaka dan Johor.

Jika Isa merujuk antara kekuatan adalah jentera kempen, Mohamad mahu tumpuan diberi kepada ‘orang pangkal’, iaitu akar umbi. “(Kalau) orang pangkal meragam, susahlah. Tapi nampak gaya orang pangkal di sini tidak ada masalah dan kuat-kuat belaka,” katanya dalam dialek Negeri Sembilan sambil menegaskan jika DUN Bagan Pinang terlepas ke tangan pembangkang, maka itu tamparan hebat kepada Umno dan BN serta masa depannya.

Rata-rata orang pangkal di DUN Bagan Pinang teguh di sisi Isa. Tempoh lebih 22 tahun di gelanggang politik dan menduduki kerusi Menteri Besar sebelum ini meletakkan beliau sebagai ‘ayah’ yang sangat dihormati. Malah dimaklumkan, tiada nama kedua, ketiga dan seterusnya bagi calon BN di DUN Bagan Pinang kecuali Isa.

Tonggak kekuatan Isa ialah menyemai sikap jangan bergaduh dan akur keputusan di kalangan pemimpin bawahannya. Beliau ada kelebihan kerana miliki ‘PR’ yang menambat hati rakyat, merendah diri dan tidak terikat protokol sehingga sukar orang untuk meminggir atau melupakannya walau dikatakan tidak banyak pembangunan mega dilaksanakan sepanjang menjadi Menteri Besar, kata seorang pemimpin Jawatankuasa Umno Bahagian Teluk Kemang.

Sehinggakan ketika isterinya sakit tenat pun, Isa masih berkempen untuk BN di Kelantan. “Ini jelas Isa selepas melalui turun naik dalam politik tetap kekal dalam Umno, malah meneruskan perjuangan parti,” katanya lagi.

“Saya nak tengok kita (BN) menang. (Apabila) dah menang, kita kenduri. Kita buka lembaran baru dalam Umno Negeri Sembilan. Komander (di sini) adalah Tan Sri,” kata Mohamad merujuk Isa sebagai Pengarah Pilihanraya Umno DUN Bagan Pinang, manakala beliau Pengarah Pilihanraya BN Negeri.

Mohamad secara tidak langsung juga seperti mahu menafikan ada masalah dengan Isa apabila menegaskan: “Antara saya dan Tan Sri saling faham memahami dan saya tidak ada agenda peribadi...”

Melihat struktur jentera BN, ia menggembleng kekuatan dan komitmen satu negeri. Selain Teluk Kemang, tujuh lagi Umno bahagian akan bekerja di bilik gerakan kecil dengan satu arahan dari bilik gerakan pusat diketuai Isa. Cuma perhatian lebih perlu diberi kepada pengundi muda kerana sudah ada tanda-tanda pengaruh kempen pembangkang melalui blog dan laman web ke atas golongan itu.

Tugas menjinakkan mereka diletakkan di atas bahu sayap Pemuda Umno. Pemimpin MIC pun perlu bekerja kuat membantu kerana ada lebih 2,800 pengundi keturunan India di sini. Tumpuan ini perlu diberi di Siliau, Aterthorn, Sua Betong dan Sungai Salak kerana BN hampir tidak mendapat sokongan langsung ketika Pilihan Raya Umum 2008.

Namun BN dikatakan masih ada penyokong di Bradwall. Undi masyarakat India sangat bermakna jika BN mahu meningkatkan majoriti kemenangan sebagai manifestasi kepada pembangkang bahawa BN mampu mencipta tsunami balas dan menguasai semula kerusi diduduki pembangkang.

Tiga hari lalu, sokongan kepada Isa turut dinyatakan sekumpulan pemimpin cawangan MIC yang tampil awal-awal mahu mengundi semula BN kali ini selepas mereka ‘memakai kemeja-T dan mengibarkan bendera cap bulan’ dalam pilihan raya umum lalu atas pengaruh gerakan mahu menukar kerajaan ketika itu.

Mengenali masyarakat Port Dickson sendiri adalah satu kekuatan. Lebih separuh penghuni di sini adalah tentera dan bekas tentera. Pastinya, perhubungan baik kerajaan negeri dan Umno dengan komuniti itu akan memberi hasil tuaian baik dalam pilihan raya kecil ini.

Malah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Rabu lalu, mengumumkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas untuk anak anggota dan pesara tentera. Justeru, projek itu wajar dibawa ke Port Dickson khususnya dalam zon pusat latihan serta kem tentera di Bagan Pinang.

Jika projek itu dilaksanakan di Port Dickson, maka ia jangan dianggap modal menjelang kempen pilihan raya kecil. Rasionalnya, ada tujuh institusi ketenteraan sedia ada di situ. Wujudnya MRSM itu akan menyokong Pusat Latihan Asas Tentera Darat; Institut Kejuruteraan Jentera dan Elektrik Tentera Darat; kem Pusat Latihan Armor; kem Pusat Latihan Artileri; Kolej Tentera Darat; kem Pusat Olah Perang Tentera Bangsa-Bangsa Bersatu dan ILMI.

Usaha membina MRSM itu pasti akan memanjangkan darah wira apabila anak mereka melalui proses pendidikan yang menjamin masa depan dalam pelbagai kerjaya, termasuk menjadi pegawai tentera.

Maktab khusus untuk anak tentera dan pesara anggota keselamatan itu juga satu pernyataan menghargai jasa dan memastikan anak mereka tidak bersaing sengit dengan puluhan ribu pelajar lain yang lulus 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk memasuki MRSM, setiap tahun.

Port Dickson, khususnya di Bagan Pinang ada ribuan bekas tentera yang menetap terus di taman perumahan di situ selepas mereka tamat perkhidmatan. Ini tidak termasuk kira-kira 4,000 anggota tentera yang masih berkhidmat. Dengan wujudnya MRSM di situ, anak mereka akan menimba ilmu dengan lebih sistematik dan berkualiti.

Lulusan MRSM lazimnya memiliki masa depan cerah dan selepas tamat pengajian di universiti, mereka mampu membela ibu bapa yang masing-masing berstatus perwira dan srikandi negara.

Seperkara lagi yang wajar dipertimbangkan ialah mewujudkan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sembilan dengan seorang pengarah yang bertanggungjawab menguruskan projek dan pembangunan nelayan di Negeri Sembilan.

Ketika ini seorang pengarah mentadbir LKIM Melaka/Negeri Sembilan dan berpejabat di Melaka. Jika wujud LKIM Negeri Sembilan, maka nasib ratusan nelayan pantai atau tradisional khususnya di Port Dickson, termasuk kira-kira 30 hingga 40 orang dan DUN Bagan Pinang, lebih terbela. Penggabungan pangkalan dan kawalan bot beserta enjin dan pukat adalah antara masalah mereka.

Ketika minum, seorang ahli Umno mendakwa menerima pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin yang dikatakan menyebut: “Kalau hati secerah bulan, undilah bulan. Terima kasih kerana memberi sokongan...” Tetapi apakah cahaya bulan tiga suku penuh malam Jumaat semalam menggambarkan Pas yang belum dapat mencari calon terbaik.

Dan, persoalan lain kenapa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu meletakkan calonnya apatah lagi kerana mereka menguasai Parlimen Teluk Kemang, DUN Chuah dan Linggi.

Siapakah yang berpaut dan siapa yang dipaut atau kedua-duanya akan rebah ke bumi di Bagan Pinang ini. Hakikatnya, Pas tidak ada rekod menang di sini dalam tempoh dua penggal pilihan raya umum sebelum ini.