Friday, September 18, 2009

Ekuinas mampu perkasa ekonomi Bumiputera


KEBANYAKAN daripada masyarakat khususnya usahawan dalam dan luar negara sudah tahu kewujudan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), sebuah dana ekuiti persendirian yang bermatlamat menjamin pembabitan Bumiputera secara sama rata, berterusan dan berkesan menerusi aktiviti perniagaan yang telus dan mesra.

Namun, di sebalik penubuhan tabung yang boleh diibaratkan sebagai 'kekasih' (darling) kepada usahawan Bumiputera itu, terdengar juga suara sumbang sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan corak aktivitinya.

Antara suara sinis yang diluahkan termasuk kononnya Ekuinas yang bakal memulakan kegiatan membiayai penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi korporat dalam masa enam bulan dari sekarang, ditubuhkan kerajaan untuk menolong kroninya, sekali gus menguntungkan segelintir pihak. Biasalah, semua benda baru memang menggoda pelbagai komen, khususnya daripada golongan berhaluan kiri yang boleh dikategorikan sebagai berfikiran sempit.

Namun hakikatnya, sesuatu benda jika mahu berjaya wajib berdepan cabaran, tidak terkecuali Ekuinas. Sebenarnya, Ekuinas ditubuhkan khusus bagi memastikan penyertaan lebih bermakna dan berkesan Bumiputera dalam perniagaan.

Rasionalnya ialah mengimbangi pelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang menggugurkan syarat pemilikan Bumiputera dalam beberapa sektor ekonomi.

Liberalisasi garis panduan FIC itu dibuat berikutan inisiatif yang diwujudkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), gagal meningkatkan pembabitan ekuiti Bumiputera. Walaupun peraturan FIC yang pada awal kewujudannya memihak kepada Bumiputera, akhirnya ia dilihat gagal memberi kelebihan kepada kaum itu.

FIC yang sebelum ini ditugaskan membantu agenda ekonomi Bumiputera dengan memastikan 30 peratus saham terbitan awam syarikat yang hendak disenarai di Bursa Malaysia, dikhaskan untuk Bumiputera, entah bagaimana, gagal berbuat demikian walaupun diberi masa yang begitu panjang.

Bayangkan, dalam dua dekad lalu, pegangan ekuiti Bumiputera di syarikat awam masih pada tahap 19 peratus, manakala pegangan asing meningkat dengan begitu ketara dan kini menghampiri 30 peratus.

Justeru, Ekuinas diharap mampu memperkasakan kembali pembabitan ekonomi Bumiputera dan pada masa sama, membina perkongsian tulen di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat serta ekonomi negara.

Ekuinas ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh Yayasan Ekuiti Nasional, sebuah agensi amanah Bumiputera. Ia diberi mandat mengurus portfolio pelaburan sendiri manakala sebahagian daripada dana akan disalurkan untuk diuruskan oleh firma pelaburan ekuiti swasta yang cekap.

Bagaimanapun, persoalan sering ditimbulkan ialah apa relevan pelonggaran garis panduan FIC dengan pertumbuhan ekonomi negara. Juga apa jaminan Ekuinas boleh membantu Bumiputera berjaya kerana pelbagai rancangan, pelan, subsidi dan bantuan disediakan sebelum ini. Begitu juga dengan isu ketirisan, serta pelbagai masalah sampingan lain. Apakah Ekuinas mampu mengatasinya?

Sebenarnya, penubuhan Ekuinas dilihat sebagai unik kerana ia memberi nafas baru kepada Bumiputera mencapai sasaran pegangan ekuiti yang seimbang bersama kaum lain. Menerusi tabung yang akan mengurus dana permulaan RM500 juta dan kemudian ditingkatkan sehingga RM10 bilion kerajaan menetapkan sasaran jelas mewujudkan generasi baru usahawan Bumiputera yang mampu menggalas cabaran dengan memiliki dan mengurus syarikat mereka sendiri, sama ada persendirian atau disenaraikan di Bursa Malaysia.

Dalam erti kata lain, Ekuinas, yang akan membuat purata pelaburan dalam sesebuah syarikat iaitu kira-kira RM50 juta dengan tempoh antara lima hingga tujuh tahun dan menjadi rakan kongsi cergas kepada seseorang usahawan Bumiputera, boleh membantu syarikat terbabit. Ini khususnya yang bersaiz sederhana dengan membekalkan modal institusi dan kemahiran pengurusan mengembangkan perniagaan seterusnya menjadi peneraju pasaran dalam tempoh lima tahun.

Oleh itu, sebarang unsur pengagihan kekayaan adalah dalam bentuk penyertaan terus Bumiputera dalam sesuatu projek atau aktiviti ekonomi yang disertai menerusi pembiayaan dan bimbingan Ekuinas.

Pemilihan usahawan Bumiputera pula dibuat berdasarkan meritokrasi bagi mengurus syarikat yang dipilih untuk pelaburan, manakala pegangan saham pula boleh kekal dalam jangka masa panjang. Faedah yang diperoleh kesan penguasaan ekuiti ini tentunya melangkaui peluang pekerjaan dan pengembangan perniagaan, tetapi juga mewujudkan usahawan tulen.


Bookmark and Share