Tuesday, September 15, 2009

Reformasi jadikan Umno lebih terbuka, demokratik


Keputusan hapus kuota pencalonan jawatan beri ruang pembaharuan

KEPUTUSAN menghapuskan kuota untuk pencalonan jawatan dalam Umno tentunya sesuatu yang ditunggu oleh ahli parti, khasnya orang Melayu.

Ia mungkin juga diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat Malaysia keseluruhannya kerana secara lazimnya, jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah, pimpinan utama Umno juga merupakan pemimpin negara.

Kesan daripada penghapusan itu nanti, jika diluluskan mesyuarat agung parti bulan hadapan, ialah sesiapa pun boleh menawarkan diri untuk merebut apa-apa jawatan parti. Walaupun Umno akan menentukan kriteria untuk calon, namun reformasi ini akan dapat menghakis pandangan umum bahawa jawatan parti ialah hanya untuk mereka yang sudah bertapak lama, atau berkuasa.

Ia akan memberi peluang kepada pembaharuan. Manalah tahu jika ada orang baru, yang bukannya terbentuk dari puluhan tahun proses politik parti, menawarkan diri untuk berkhidmat untuk Umno.

Proses politik parti ada baik dan ada yang tidak, contohnya seperti politik wang sudah banyak dibincangkan. Budaya cantas-mencantas atau ketua-ketua cawangan atau bahagian yang enggan menerima orang baru yang mungkin boleh mencabar mereka nanti adalah juga antara ciri tidak baik proses politik.

Sekarang ini untuk merebut jawatan kenalah mendapat cukup pencalonan, jika tidak nama tidak boleh berada di kertas undi. Lagi besar jawatan lagi banyak perlu pencalonan untuk melepasi kuota. jadi kempen akan jadi dua kali, ketika mencari pencalonan dan kedua ketika mencari undi di perhimpunan.

Banyak perkara tidak baik mungkin berlaku jika perlu berkempen keterlaluan.

Walaupun apa tujuan sistem kuota yang diwujudkan dua dekad lalu, keberkesanan atau relevannya sudah tiada lagi. Ini bagaimanapun tidak bermakna tindakan dulu salah. Tetapi kini masa dan kehendak ahli parti dan masyarakat berubah. Banyak undang-undang dan peraturan sudah menjadi lapuk.

Penghapusan kuota juga disaingi satu lagi reformasi parti iaitu membolehkan pemilihan dibuat oleh lebih ramai anggota parti, mungkin puluhan ribu dan bukannya oleh 2,500 perwakilan ke perhimpunan agung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tiga tahun sekali.

Memang ada risikonya, tetapi demi demokrasi Umno perlu mengambil jalan tengah yang boleh diterima orang, selari dengan kehendak kini.

Mungkin nanti ada orang luar parti yang manis mulut, pandai berjanji dan berkata-kata, segak rupa dan penuh bergaya, yang akan menyertai Umno dan menggoda ahli untuk memilihnya memimpin Umno. Manalah tahu.

Tetapi Umno tidak perlu takut reformasi sebegini. Tentu ada sistem yang mana anggotanya boleh menilai yang mana kaca dan mana permata, yang mana penawar dan yang mana racun.

Apakah kesan daripada dua reformasi ini? Jelas Umno akan menjadi parti politik yang paling demokratik di negara ini.

Jika sekarang sedikit yang menentukan kepemimpinan, nanti mungkin puluhan ribu. Jika sekarang hanya orang lama saja yang mungkin boleh bertanding, nanti mungkin tidak.

Diharap dengan menjadi lebih demokratik, Umno akan menjadi lebih terbuka dan sentiasa membuka pintu dan membuat ruang untuk orang baru, pendapat baru, serta cara politik baru.

Kedua-dua reformasi ini adalah hasil daripada pengorbanan kepemimpinan parti untuk menjadikan Umno lebih terbuka dan demokratik. Tidak banyak pemimpin politik berkuasa yang sanggup berkorban yang mana korbannya boleh juga memakan tuan.

Reformasi seterusnya untuk Umno ialah melihat semula asas pembentukannya dengan tujuan utama memperjuangkan hak Melayu, yang termasuk agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Mungkin ada parti yang memperjuangkan Islam, atau berkata mereka mempertahankan hak Melayu, tetapi cuma Umno yang jelas nampak mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Ada sesetengah parti, melalui tindak-tanduk mereka, kalau boleh hendak menjadikan Malaysia sebuah republik.

Untuk reformasi ini, Umno mungkin perlu menoleh kebelakang untuk melihat dan mengkaji semula kenapa dan apa punca Umno ditubuhkan. Umno menggabungkan puluhan persatuan Melayu di bawah satu bendera, tidak kiralah demokrat atau nasionalis, sosialis atau memperjuangkan Islam.

Umno adalah khemah di mana aktivis Melayu banyak berkumpul. tetapi adakah Umno masih memperjuangkan agenda puluhan pertubuhan Melayu yang bergabung, ataupun adakah Umno kini sudah lupa?

Sudah tentu jika yang telah lapuk dan tidak berguna kini, eloklah dilupakan. Tetapi mana tahu ada yang masih boleh digunakan dan relevan, tetapi telah dilupakan kini.

Jika Umno menjadi suara orang Melayu, sebagai parti yang dominan di dalam kerajaan, Umno juga perlu melihat apakah peranannya untuk orang bukan Melayu.

Bagaimanakah Umno hendak meyakinkan semua bahawa ia adalah yang paling layak untuk memimpin – the privilege to lead? Rasanya di dalam keadaan yang penuh cabaran sekarang yang mana kepemimpinan Umno selalu dipersoal dan dikecam, ini adalah satu isu penting untuk dihadapi.

Reformasi yang dijanjikan adalah langkah awal untuk Umno meyakinkan orang ramai yang ia sebuah parti yang demokratik, dan pimpinannya terdiri daripada mereka yang dipilih daripada satu sistem yang terbuka, telus dan adil.



Bookmark and Share