HARI ini Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekali lagi akan menyaksikan siapa terpilih dan siapa tersingkir dalam barisan kepimpinan MIC.
Selepas S.Samy Vellu mencatatkan rekod sebagai Presiden MIC paling lama (penggal ke-11) dan mungkin bagi parti komponen Barisan Nasional (BN), tumpuan kini kepada jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden dan 23 ahli jawatankuasa pusat.
Pertandingan kali ini menjadi tumpuan kerana ia melibatkan pertembungan "calon pilihan presiden" dan "calon tidak rasmi".
Perhatian lebih kepada jawatan No.2 dengan pertandingan tiga penjuru melibatkan penyandang, G. Palanivel, bekas Timbalan Presiden, S. Subramaniam dan Naib Presiden, S. Sothinathan.
Samy yang kini mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti parti, berkempen habishabisan untuk memastikan kemenangan pasukannya. Tindakan itu menyebabkan beliau dianggap sebagai 'calon keempat' bagi jawatan Timbalan Presiden.
Di atas kertas pencalonan, kemenangan sudah memihak kepada Palanivel yang memperoleh 184 pencalonan diikuti Sothinathan (10) dan Subramaniam (4).
Memandangkan setiap kertas pencalonan perlu ditandatangani oleh enam perwakilan, ini bermakna Palanivel mempunyai sokongan 1,104 daripada 1,464 perwakilan, Sothinathan (60) dan Subramaniam (24).
Masih ada 276 perwakilan atas pagar. Tetapi jumlah pencalonan tidak menggambarkan hasrat sebenar. Pada pemilihan Timbalan Presiden 2006, Subramaniam mendapat pencalonan kurang 10 tetapi memperoleh 495 undi. Palanivel pula mendapat 933 undi.
Jika dibiarkan pertandingan secara terbuka tanpa dibayangi restu Presiden, Subramaniam mempunyai peluang lebih baik berbanding Palanivel.
Jika perwakilan masih mahukan Samy, maka peluang Palanivel cerah. Sebaliknya jika perwakilan mahu memberi signal terhadap pemimpin veteran itu, maka Subra boleh mendapatkan semula jawatan yang pernah disandangnya selama 25 tahun. Memilih Subra bererti perwakilan bersedia untuk melakukan perubahan terhadap MIC. Pengalaman suku abad sebagai orang No.2 MIC akan memudahkan peralihan kuasa sekiranya Samy benar-benar mahu berundur.
Walaupun rebutan tertumpu kepada Subra dan Palanivel, kehadiran Sothinathan juga menarik perhatian. Bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang ini dikenali sebagai orang kepercayaan Samy dan pemimpin pelapis masa depan. Tetapi Sothinathan bertindak lebih berani dan meninggalkan Naib Presiden.
Sothinathan mampu membuat kejutan bagi mengurangkan undi Palanivel malah menggugat peluang Subra. Tetapi jika setakat menggugat kenapa Sothinathan menawarkan diri? Adakah beliau sengaja diturunkan bagi menjamin kemenangan Palanivel? Bagaimanapun Sothinathan menafikannya.
Apa pun, pertandingan kali ini dilihat paling sengit selepas pertembungan pertama Samy-Subra bagi jawatan Presiden pada 1989. Walaupun ini bukan pertembungan peribadi tetapi ia dilihat begitu kerana corak kempen Samy yang mahu mengalahkan Subra.
Pemilihan kali ini dipenuhi pelbagai kaedah kempen. Perang slogan juga menarik. Palanivel yang mendapat angka 2 dalam kertas undi berkempen Vote no. 2 for the no.2 post. Tetapi ada yang berkempen untuk Subra yang mendapat no. 1 berkempen Vote no. 1 for the next no. 1 post'. Empat laman web juga menjalankan undian dalam talian.
Kemuncak kempen tentunya perang mulut apabila Samy-Subra mengakui mempunyai 'bom' untuk 'memusnahkan' antara satu sama lain. Samy juga memberi beberapa amaran keras kepada Subra yang mendapat jolokan Pemimpin Masyarakat atau Makkal Thalaivar itu. Antaranya, tindakan disiplin yang lebih menjurus ke arah pemecatan.
Ternyata, terdapat usaha untuk 'menamatkan' riwayat politik Subra. Kalah atau menang, nasib Subra sukar ditentukan. Banyak pihak melihat kemenangan Subra akan memberi tekanan kepada Samy untuk berundur lebih awal. Subra perlu menang kali ini untuk menghidupkan semula nyawa politiknya dalam MIC. Sama ada tindakan disiplin akan berlaku selepas ini, itu soal kedua.
Palanivel pula yakin menang bersandarkan rekod perkhidmatannya kepada masyarakat sejak menjadi Timbalan Menteri.
Apa pun perwakilan perlu diberi peluang tanpa rasa takut atau diugut. Keputusan hari ini bukan sahaja dinantikan ahli-ahli MIC sebaliknya parti komponen BN. Setelah hampir semua parti 'berubah wajah' MIC masih di takuk lama. Samy tetap ada di situ.
Faktor ini menyebabkan MIC kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Ramai yang bukan sahaja tidak minat menyertai tetapi tidak menyokong MIC. Parti politik kaum India tumbuh bagaikan cendawan yang sebahagian daripadanya melibatkan bekas ahli MIC sama ada yang dipecat atau keluar parti itu. Maka MIC perlu dipulihkan supaya ia lebih bersedia menghadapi PRU akan datang dan tidak menjadi beban kepada BN.