Saturday, September 12, 2009

Isu perarakan kepala lembu dedah hipokrasi Suhakam, Majlis Peguam


ISU bantahan terhadap pemindahan kuil di Shah Alam yang membawa kepada perarakan kepala lembu masih hangat diperkatakan. Pelbagai pendapat diluahkan dan banyak dipolitikkan. Namun yang mahu saya sentuh ialah ia mendedahkan hipokrasi sesetengah pemimpin, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Peguam, pejuang hak asasi dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Mereka hanya berdiam diri atau mengecam demonstrasi itu.

Dulu merekalah yang memperjuangkan hak untuk berdemonstrasi. Mengapa dalam kes ini mereka marah. Mana Majlis Peguam dan Suhakam? Mengapa tidak katakan ini hak asasi yang anda perjuangkan?

Mengapa apabila berkaitan dengan Islam dan Melayu, anda anggap ia tidak dibolehkan? Mengapa anda semua meminta pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap mereka yang terbabit dengan demonstrasi ini mengikut Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Sedangkan sebelum ini merekalah yang mendesak dan mengecam kezaliman akta itu dan minta ia dihapuskan.

Mana Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas, DAP dan pemimpin mereka yang sebelum ini begitu lantang memperjuangkan berhimpun tanpa had? Mengapa dalam isu ini anda menentangnya? Jika betul anda pejuang hak asasi, bermakna demonstrasi dan perarakan kepala lembu itu tidak salah dan tidak harus jadi isu. Inilah hipokrasi mereka seperti sesumpah dalam isu yang sama. Mujur negara mempunyai Akta Hasutan dan ISA.

Kepada kerajaan jangan layan lagi desakan memansuhkan akta ini dan jangan membenarkan perhimpunan haram dengan atas alasan apa sekali pun. Mereka yang memperjuangkan kebebasan berhimpun bukan ikhlas. Kebebasan berhimpun dan hak asasi mereka hanya dalam hal terpilih.

Jika bukan atas kepentingan mereka maka mereka menentang kebebasan berhimpun dan berucap. Jika menguntungkan, mereka halalkan dan mengecam kerajaan. Inilah wajah sesumpah dan mereka sebenarnya hipokrit.




Bookmark and Share