Tuesday, September 29, 2009

Lembu sudah jadi badi dalam pentadbiran Khalid di Selangor

Lembu macam sudi jadi badi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak dipilih sebagai Menteri Besar Selangor oleh parti PKR,DAP dan PAS yang membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Pertama kali, isu lembu dikaitkan dengan dakwaan beliau menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri Selangor membekal lembu korban ke kawasan parlimen Bandar Tun Razak, akhir tahun lalu.

Ogos lalu, sekali lagi lembu menghantui pentadbiran Khalid ekoran demonstrasi kira-kira 200 penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang dicemari dengan insiden mengarak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) gara-gara membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan majoriti Melayu itu.

Terbaru, seramai 75 ahli Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor berarak dan berkumpul mengadakan demonstrasi di depan pintu masuk utama SUK membawa lebih 25 kenderaan termasuk lori dan trak pikap yang memuatkan hampir 80 ekor lembu, kambing. Malah, mereka juga membawa tong susu haiwan itu.


Cuma kali ini demonstrasi itu nampak lebih aman kerana membabitkan penternak Melayu, India dan Cina. Mujurlah, tiada ‘lembu naik minyak’kecuali pertengkaran kecil antara wakil persatuan itu yang mahu berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada wakil Exco Pertanian, Yaakob Sapari ataupun wakil pejabat Menteri Besar.

Penternak terbabit mula berkumpul depan pintu SUK kira-kira jam 1.45 petang.

Pengerusi persatuan Samad Kassim kemudian berbincang dengan pegawai polis yang bersiap sedia bagi mengawal keamanan dan pegawai keselamatan SUK untuk berjumpa wakil Yaakob ataupun pejabat Menteri Besar.

Sekitar jam 2.05 minit petang, hanya pegawai kepada Exco Alam Sekitar, Elizabetth Wong tiba untuk menerima memorandum tetapi Samad dan beberapa ahli jawatankuasa bertegas mahu berjumpa exco bertanggungjawab.

Rasa tidak puashati kalangan penternak terbabit hingga menyebabkan ada antara mereka melaung dan menjerit meminta Yaakob berhenti atau berundur daripada jawatannya.

“Kalau jaga lembu pun tak boleh, macam mana nak jaga manusia,” jerit seorang daripada penternak terbabit.

Selepas pertengkaran kecil, Samad beredar dari pintu SUK sementara menunggu wakil Yaakob atau pejabat Khalid berjumpa beliau dan jawatankuasannya.

Sementara menunggu, Samad memberitahu media, demonstrasi aman itu mereka kerana tidak berpuas hati dan kecewa kerana kerajaan negeri gagal menangani masalah yang dihadapi dua orang anggota persatuan itu, malam Khamis lalu.

Dalam insiden itu, ladang ternakan yang menempatkan lebih 300 ekor lembu dan kambing di Sungai Keetas, berhampiran Hulu Yam ditenggelami air dan sampah sarap apabila sebuah tempat takungan air berhampiran ladang itu pecah dan menghanyutkan sampah sarap dari sebuah kawasan pelupusan sampah berdekatan.

Menurut Samad, mereka kecewa kerana tidak ada wakil rakyat atau Exco Pertanian turun ke tempat kejadian bagi melihat tempat tragedi itu dan menghulurkan bantuan kepada penternak yang ditimpa ‘tsunami sampah’.

Samad berkata bantuan yang diterima setakat ini ialah bantuan makanan haiwan yang diberikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Selangor.

Malah, tindakan seorang Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mempertikaikan kandang lembu dan kambing itu didirikan secara tidak sah amat mengecewakan persatuan itu kerana seorang daripada penternak terbabit, Mohd Sharif Gulam yang menternak 200 lembu daging mempunyai permit dan membayar cukai kepada MPS.

Menurut Samad, memorandum itu antara lain meminta kerajaan negeri membantu dua penternak terbabit selain menyediakan tapak penternakan yang lebih sesuai kepada mereka.

Jika gagal katanya, persatuan akan membawa lebih banyak lembu ke perkarangan SUK ataupun menghantar lori-lori berisi haiwan itu ke rumah anggota Exco dan ahli parlimen pakatan Rakyat di Selangor.

Kira-kira jam 2.30 petang, Setiausaha Politik Menteri Besar Nik Nazmi Nik Ahmad berjumpa kumpulan itu dan selepas perbincangan, beberapa ahli jawatankuasa itu dibawa berjumpa dengan Yaakob di tingkat 14, bangunan SUK.

Samad yang ditemui selepas pertemuan itu, berkata pihak kerajaan negeri berjanji memberi bantuan bekalan makanan, air bersih, bahan binaan bagi membina kandang sementara dan jentera bagi membersihkan kawasan kandang dan menanam bangkai-bangkai haiwan.

"Kita bagi tempoh seminggu, kalau tidak ada bantuan kita akan buat satu lagi press conference (sidang akhbar)," katanya.

Demonstrasi membawa lembu dan kambing ke bangunan SUK petang Isnin sudah tentu kejadian yang boleh menconteng arang ke muka Yaakob dan Khalid sendiri kerana mereka gagal memberikan bantuan setimpal bagi membela nasib penternak haiwan di negeri itu.

Seperti dinyatakan, Samad, nasib mereka ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’ kerana kerajaan negerei boleh menyediakan tanah untuk ladang babi tetapi tidak kepada penternak haiwan lain.

Sedangkan katanya, mereka juga penggerak ekonomi di Selangor dengan menyedia dan membekalkan haiwan itu kepada rakyat negeri itu.

Apa yang pasti, jika persatuan yang mempunyai kira-kira 400 ahli itu tidak bertindak mengadakan perarakan membawa lori berisi lembu dan kambing pada hari ini, nasib mereka terus terabai terutama dua penternak yang ditimpa musibah pada 23 September lalu.

Justeri itu, Khalid mahupun Yaakob perlu segera membantu penternak terbabit bagi mengelak lori-lori berisi haiwan itu berada depan rumah masing-masing jika janji dibuat Yaakob pada persatuan itu gagal ditunaikan dalam tempoh seminggu ini.

Bagi Khalid pula, beliau tentu tidak mahu tahun Lembu sepanjang 2009ini terus menghantuinya