KENYATAAN Mursyidul Am Pas kelmarin mungkin boleh ditafsirkan begini: Kita bebas berkata apa sahaja jika kita jahil mengenai sesuatu perkara. Dan mungkin memang begitulah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.
Jika dibaca secara tersurat mahupun tersirat, maknanya tetap sama.Pemimpin yang digelar Tuan Guru itu mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Tetapi ia pasti dapat diterima oleh pakatan pembangkang.
Mengelirukan kerana beliau menegaskan, tidak salah sekiranya pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan menghina Islam. Alasannya mudah. DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.
"DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,'' tegasnya.
Jika kenyataan pembelaan oleh Nik Abdul Aziz terhadap DAP itu dijadikan pegangan, maka, maknanya kita juga boleh menghina agama lain. Jika ada yang melenting, berikan sahaja jawapan mudah. Kita jahil mengenai agama tersebut.
Sekiranya kenyataan Nik Abdul Aziz itu diterima pakai, maka "kejahilan" boleh menjadi alasan kuat untuk kita bebas menghina mana-mana agama.
Itu adalah hujah yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan itu ketika cuba menangkis kritikan hebat orang Melayu dan umat Islam terhadap sikap segelintir pemimpin DAP kebelakangan ini.
Bayangkan jika kenyataan tidak bertanggungjawab itu dipersetujui oleh semua orang. Soal sensitiviti akan diketepikan. Maka tidak akan ada lagi sebarang usaha untuk "menjaga hati". Kita bebas mengkritik apa sahaja walaupun sehingga ke tahap menghina.
Jika ada yang marah, jawab sahaja kita tidak faham tentang agama itu. Tidak perlu pun untuk mengeluarkan permohonan maaf.
Tetapi bayangkan sekiranya seorang pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan menghina agama Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh.
Adakah Nik Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang sama? Adakah beliau akan membela pemimpin UMNO tersebut dan memberitahu rakan satu pakatannya bahawa pemimpin UMNO itu boleh berbuat demikian kerana beliau tidak faham mengenai agama tersebut?
Adakah pembelaan itu akan dilakukan oleh Nik Abdul Aziz. Rasanya tidak mungkin. Jauh panggang dari api.
Penulis tidak faham apa sebenarnya yang dirasai oleh Nik Abdul Aziz. Adakah beliau tidak sensitif walaupun agama suci anutannya ini diperlekehkan dan dirujuk dalam ayat berbentuk makian dan carutan sekali pun? Adakah beliau tidak sedar kesan buruk yang sedang menanti?
Seperti biasa apabila timbul sesuatu isu membabitkan sensitiviti agama, Tuan Guru ini akan menempelak pemimpin UMNO. Dalam kenyataannya kelmarin, beliau menyalahkan sikap "pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam". Dan yang dimaksudkannya itu pastinya pemimpin dari UMNO. Menurutnya sikap itu menyebabkan agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
Tidak sedarkan beliau bahawa pemimpin yang dikatakannya menolak Islam itulah, yang kini tampil mendesak tindakan tegas agar Islam tidak lagi dihina?
Namun apakah peranan Pas dalam soal ini? Ke mana perginya ulama-ulama dalam parti itu? Adakah fenomena menjaga hati rakan satu pakatan membuatkan mereka terus menjadi seperti harimau kehilangan taring? Sampai bilakah mereka akan terus diibaratkan seperti kucing yang telah dikembiri?
Sanggupkah mereka membiarkan penghinaan itu dibuat dari semasa ke semasa tanpa berani bersuara hanya kerana ingin menjaga perpaduan di dalam pakatan?
Sampai bila lagi ulama-ulama di dalam Pas akan terus berdiam diri? Adakah menjaga hati rakan di dalam pakatan lebih penting daripada mempertahankan maruah agama?
Kenapa Nik Abdul Aziz dan pemimpin Pas yang lain tidak boleh menjadi seberani Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Bukankah menegakkan kebenaran itu tuntutan agama? Jika salah perlu dikatakan salah, bukan sebaliknya. Ketepikan soal "menjaga hati", ini soal maruah Islam.
Harussani nampaknya sentiasa konsisten dalam semua kenyataannya. Tegas dan tidak pernah beralah pada desakan biar pun kedudukannya mungkin menjadi taruhan. Pastinya bagi beliau, yang penting adalah agama dan apa yang bakal dijawab olehnya di hadapan Tuhan nanti. Maka kenyataannya tidak pernah berunsur "menjaga batang leher sendiri".
Ketegasan Harussani boleh dilihat apabila beliau kelmarin menegaskan bahawa mereka yang tidak menghormati institusi raja dan agama Islam boleh keluar dari negara ini. Katanya, kedua-dua perkara termaktub di dalam Perlembagaan.
Seperti kata Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agama daripada dihina. Malah umat Islam tidak boleh menyokong penghinaan itu dengan apa pun alasan. Maka hujah bahawa orang bukan Islam boleh menghina Islam hanya kerana dia tidak memahami Islam tentu merupakan hujah yang tidak masuk akal.
Jadi, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz untuk membetulkan keadaan ini? Beliau sekadar menegaskan Pas akan berusaha meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam.
Katanya, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.
Jika kenyataan itu boleh diterima, maka maknanya Pas cuba memberi kefahaman tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di dalam pakatan dengan mendekati mereka melalui "forum, wacana dan perbincangan".
Namun rasanya Pas tidak melakukannya. Sekiranya ia mengambil pendekatan-pendekatan tersebut, sudah pasti apa yang dilakukan oleh Pas itu telah menemui kegagalan. Bayangkan pakatan Pas dengan PKR dan DAP telah pun dijalin sejak sekian lama.
Adakah tempoh tersebut masih belum cukup untuk Pas memahamkan pemimpin DAP mengenai Islam?
Atau mungkinkah pendekatan Pas itu tidak mendapat sambutan? Maka, rakan-rakan di dalam pakatan itu masih terus jahil tentang Islam dan akhirnya bebas menghina Islam hanya semata-mata kerana mereka 'tidak faham'.
Sepatutnya Nik Abdul Aziz telah memberitahu rakan-rakan di dalam pakatan bahawa lebih baik untuk mereka berdiam diri sekiranya mereka tidak arif mengenai Islam.
Tuan Guru ini sepatutnya memberitahu rakan-rakannya bahawa sikap bodoh sombong tidak menguntungkan sesiapa.
Namun nampaknya Nik Abdul Aziz dan Pas gagal berbuat demikian. Mungkin mereka tidak berani bersuara kerana bimbang tidak dapat merasai kuasa yang dijanjikan oleh DAP dan PKR.
Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Mursyidul Am Pas ini jika beliau menganggap isu serangan terhadap Islam hanya melibatkan serangan ke atas kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO.
Beliau sendiripun sejak awal-awal lagi telah menyatakan keengganan untuk campur tangan dalam isu kontroversi rakan-rakan sepakatannya sama ada di Selangor mahu pun di Pulau Pinang.
Mungkin umat Islam dan rumpun Melayu yang tercalar hati akibat penghinaan oleh segelintir pemimpin DAP ini hanya boleh mengharap tindakan undang-undang seperti yang disyorkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Apa yang pasti, kita tidak lagi memerlukan permohonan maaf kerana ia pasti akan berulang jika tiada tindakan tegas dikenakan ke atas puak-puak yang biadap terhadap Islam ini.