Monday, August 24, 2009

Setiap undi sangat bermakna di Permatang Pasir


PAS hanya bermodalkan satu kerusi iaitu Permatang Pasir dalam pakatan pembentukan kerajaan pembangkang di Pulau Pinang. Apabila wakil mereka sejak tiga penggal lepas, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia 31 Julai lalu, PAS berdepan dengan risiko tinggi untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

Semangat Manek Urai yang ditiupkan oleh Barisan Nasional (BN) ekoran kejayaan mengurangkan majoriti dalam pilihanraya kecil di situ pasti memberi kesan kepada PAS dan jentera kerjanya untuk mempertahankan kerusi tunggal berkenaan.

Kebimbangan itu jelas tidak dapat disembunyikan lagi apabila Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar, menyatakan menang satu undipun sudah cukup bermakna.

Demikianlah halnya, menang tetap menang. Walaupun hanya berbeza satu undi, seorang calon pasti menang dan seorang lagi pasti tewas.

Sudah pastilah untuk menang, satu undipun akan menjadi penentu ke arah manakah perjalanan politik tanahair kelak. Perjalanan UMNO sudah jelas, cuma banyak dicalari dengan pelbagai sekatan atau rintangan

Berdasarkan majoriti piliharaya Mac 2008 iaitu 5,433 undi, PAS sepatutnya merasa selesa di Permatang Pasir. Semangat Manek Urai yang mengurangkan majoriti dari 1,532 kepada 65 undi sahaja bagaimanapun membuatkan PAS terpaksa bertuungkus lumus bukan sahaja menggerakkan jentera kerjanya tetapi juga mewujud dan membangkitkan isu-isu peribadi dan dakwaan-dakwaan yang tidak sepatutnya.

Bukan sahaja calon BN Rohaizat Othman yang diserang, pemimpin lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang turut terpalit.

Dengan tempoh berkempen telah berlalu lima hari, BN dan PAS nampak lebih menumpukan perhatian untuk menemui atau sekurang-kurangnya mendekati para pengundi. Lantaran itulah, ceramah-ceramah atau majlis penerangan bukan agenda utama kerana setiap peraih sedang berusaha memancing undi dari rumah ke rumah atau mencari pengundi di kedai, warung atau pasar-pasar terbuka termasuk pasar malam.

Pada lazimnya, kira-kira 20 peratus pengundi berdaftar tidak melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam sesuatu pilihanraya. Jika andaian ini menjadi kenyataan, dengan jumlah 20,290 pengundi kira-kira 16,000 orang sahaja akan menunaikan tanggungjawab massing-masing di Permatang asir pada 25 Ogos ini.

Dengan andaian ini, tentulah kemenangan akan berpihak kepada calon yang bakal meraih lebih daripada 8,000 undi, atau apa juga angka yang melebihi 50 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi.

Dengan pengundi Melayu sebanyak 72 peratus atau kira-kira 14500 orang, tentulah perhatian PAS dan BN atau UMNO tertumpu kepada mereka. Berdasarkan keahlian dari 25 cawangan, UMNO hanya mempunyai 5,544 orang ahli, tetapi bukan semuanya pengundi.

Jadi perhatian tetap terhala kepada pengundi di luar UMNO. Ini juga terjadi kepada PAS yang keahliannya juga kurang daripada jumlah pengundi Melayu. Lantaran itulah, seperti kata Mahfuz, satu undipun sangat berharga.

Berdasarkan risik-risik, UMNO kini amat yakin sekurang-kurangnya dapat mengurangkan majoriti PAS melebihi 50 peratus daripada yang dikecapi pada 8 Mac 2008. Tentulah hasrat dan matalamat utamanya memenangi pilihanraya kecil ini sebagai bukti momentum kepada sokongan rakyat yang telah beralih angin sejak pertukaran pucuk pimpinan April lalu.

Jika UMNO bermodalkan 4,400 undi iaitu mengandaikan 80 peratus daripada ahlinya yang mengundi, Rohaizat Othman perlukan kira-kira 3,600 undi sahaja lagi untuk melengkapkan 8,000 undi. Dari manakah pula mereka akan mendapat undi berkenaan? Jawapan hanya ada pada para petugas atau jentera serta ahli-ahli di cawangan UMNO untuk memastikan mereka dapat mengepung pengundi di luar parti supaya tidak terlepas ke tangan PAS.

Pengundi cina ada 25.7 peratus atau lebih sedikit daripada 5,000 orang.. Bagi BN jika mereka boleh mendapat 1,500 ke 1,800 undi cina, mereka boleh dianggap berada dalam zon selesa untuk memiliki kerusi DUN ini. Jika boleh mendapat 1,800 undi dari cina, bermakna Rohaizat hanya perlukan 2,000 undi sahaja lagi daripada orang Melayu di samping kira-kira 250 orang pengundi India dan keturunan lain.

Teori atau analisis ini nampak mudah, tetapi untuk menjadikannya satu kenyataan bukanlah mudah. Kejayaannya bergantung kepada kesungguhan dan pengorbanan setiap ahli UMNO untuk memenangkan calon mereka yang bernaung di bawah BN

Setiap ahli UMNO dan orang Melayu harus bersetuju dengan Mahfuz bahawa satu undipun sangat penting. Ahli PAS dan pembangkang yang lain juga setuju dan tidak akan leka daripada mengawasi setiap pengundi khususnya yang berada di atas pagar atau yang belum membuat keputusan muiktamat.

Kedua -dua pihak BN dan PAS tentulah sama-sama mahu berjinak-jinak dengan pengundi cina. PAS pasti mengharapkan bantuan dan pertolongan rakan sekutunya DAP manakala BN pula mengharapkan MCA dan Gerakan melaksanakan strategi berkesan untuk menambat hati setiap orang yang disasarkan.

BN dan PAS tiada pilihan selain daripada menjejaki pengundi bukan Melayu kerana di kalangan pengundi Melayu sudah pasti berlaku perpecahan. Apabila berlaku perpecahan, sokongan tidak padu dan tidak mencukupi untuk mnentukan kemenangan.

Oleh itu, undi bukan Melayu pasti sekali lagi akan menjadi penentu parti mana yang bakal menang.. Bagaimanapun, pengundi cina juga harus ingat bahawa undi mereka akan hanya menjadi penentu sekiranya besar

Mereka juga tidak boleh mendabek dada sebagai hero kerana harus juga menginsafi mereka hanyalah 25.7 peratus sahaja. Kehadiran mereka hanyalah sebagai pelengkap

Pengundi cina juga harus menyedari bahawa sekiranya mereka tidak menunaikan tanggungjawab membuat pilihan, mereka pasti kesal kerana tidak dapat memulakan pembaharuan kelak. Satu undi harus dijadikan dorongan untuk menentukan masa depan yang lebih gemilang



Bookmark and Share